Malaysia Terus Kukuh Untuk Tarik Pelaburan Berkualiti – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Ekonomi Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk menarik pelaburan berkualiti, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam temu bual dengan CNBC pagi ini, beliau berkata walaupun cabaran masih ada disebabkan ketidaktentuan ekonomi global, langkah China untuk membuka semula sempadannya minggu depan memberi petanda baik untuk negara memandangkan China adalah rakan dagang terbesar Malaysia.

“Langkah itu akan membantu eksport dan ekonomi kami. Di dalam negara, usaha yang memfokuskan pada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor-sektor utama, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menggerak naik rantaian nilai dalam sektor yang kami amat kukuh juga akan membantu mengurangkan kesan tekanan ekonomi global.

“Malaysia mengunjurkan pertumbuhan empat peratus pada 2023. Angka (pertumbuhan) kami kelihatan baik, inflasi pada empat peratus dan kadar pengangguran pada 3.6 peratus,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekitar 8.0-9.0 peratus pada 2022.

Bagi sembilan bulan pertama 2022, ekonomi negara berkembang sebanyak 9.3 peratus, katanya sambil menambah negara mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 di tengah-tengah permintaan domestik dan luar yang kukuh serta pasaran buruh yang bertambah baik. .

Dalam temu bual itu, Tengku Zafrul turut menyatakan beberapa kebimbangan yang mungkin boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi global, antaranya dasar monetari dan fiskal yang lebih ketat, ketegangan global seperti perang Ukraine-Rusia yang mengganggu rantaian bekalan serta kapasiti pengeksport dalam memenuhi tuntutan pasaran ESG. 

CPTPP diteruskan 

Menteri itu seterusnya berkata Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat komited terhadap penyertaan negara dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang berkuat kuasa pada 29 Nov 2022 di Malaysia.

Menjawab soalan sama ada akan terdapat penilaian semula baharu bagi perjanjian perdagangan 11 anggota itu, Tengku Zafrul berkata bahawa Perdana Menteri sendiri telah menandatangani semua perjanjian pentadbiran yang diperlukan untuk memastikan eksport dan import dapat diteruskan di bawah perjanjian yang telah diratifikasi.

“Jelas sekali terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pelbagai kumpulan dan kami telah menanganinya dengan mengambil beberapa tindakan untuk mengurangkan beberapa kebimbangan, jadi kami sangat komited untuk menyertainya,” katanya.

Ringgit akan terus mengukuh

Ketika ditanya sama ada apa yang dialami oleh ringgit telah berakhir yang mana mata wang tempatan telah menyusut nilai sebanyak enam peratus pada 2022, Tengku Zafrul berkata beliau optimis ringgit akan kembali dan terus mengukuh pada 2023, didorong oleh unjuran pertumbuhan Malaysia bagi tahun itu.

“Saya berpendapat perkara utama di sini ialah apa yang akan berlaku kepada dolar AS. Dari sudut pandangan saya, saya rasa dolar (AS) telah mencapai tahap yang selesa,” tambahnya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-terus-kukuh-untuk-tarik-pelaburan-berkualiti-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA