Kerajaan Cadang Usahakan Tanah Terbiar Untuk Pertanian Moden – Ahmad

SEREMBAN, 1 Feb (Bernama) — Kerajaan Persekutuan menerusi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan (MoF) sedang mencari tanah terbiar di negeri-negeri untuk disewa atau dipajak bagi mewujudkan projek pertanian moden.

 Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata terdapat keperluan mengenai perkara tersebut terutamanya dalam usaha untuk memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

“Ini antara maklum balas dalam sesi Dialog Belanjawan 2023 bersama kerajaan negeri. Kerajaan pusat kini mencari tanah kosong dan terbiar…GLC di bawah kementerian yang mempunyai kewangan mencukupi dapat membangunkan tanah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 di sini hari ini.

Ia turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta penjawat awam, pekerja swasta, teknorat, badan bukan kerajaan dan ahli akademik bagi memastikan penyediaan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini lebih menyeluruh. 

Beliau berkata Belanjawan 2023 tertumpu kepada usaha untuk menangani isu kos sara hidup dan pekerjaan rakyat, memperkukuh ekonomi negara, melaksanakan reformasi institusi, pengurusan bencana dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Ahmad berkata pada sesi dialog hari ini, antara cadangan diberikan oleh pihak kerajaan negeri adalah peruntukan untuk penyelenggaraan bangunan, empangan, pelaburan berkualiti serta membincangkan masalah kesesakan trafik di Seremban-Kuala Pilah-Jempol terutamanya ketika musim cuti umum.

Menurutnya, MoF mengalu-alukan penglibatan semua lapisan masyarakat bagi memastikan proses penyediaan Belanjawan 2023 lebih telus dan inklusif dan mempelawa orang ramai memberikan cadangan dan pandangan di laman khas bajet di www.mof.gov.my sehingga 10 Februari ini. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pusat Perubatan Sunway Velocity Dan Institut Sukan Negara Meterai Kerjasama Strategik Bagi Memperkukuh Penjagaan Dan Pemulihan Atlet Negara

KUALA LUMPUR – Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi merasmikan kerjasama strategik yang bertujuan untuk memperkukuh penjagaan kesihatan atlet dan ahli profesional sukan melalui penjagaan yang lebih lancar, selaras dan khusus.

MoU ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua institusi untuk menyokong atlet dan kakitangan ISN, dan merangkumi keperluan perubatan yang menyeluruh, dengan penekanan khusus kepada intervensi pembedahan, rehabilitasi dan pemulihan pasca pembedahan untuk memastikan mereka dapat kembali bersukan dengan selamat. Ia turut mewujudkan satu rangka kerja bagi kerjasama klinikal yang lebih erat, rujukan dua hala serta perkongsian ilmu yang berterusan di antara doktor pakar SMCV dan pasukan sains sukan serta perubatan ISN.

Majlis MoU ini telah disempurnakan oleh Puan Susan Cheow, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMCV, dan Dr Wee Tong Ming, Pengarah Perubatan merangkap Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di SMCV. Mereka turut disertai oleh delegasi Pakar Perunding Bedah Ortopedik dan Trauma SMCV, iaitu Dr Chang Kok Chun, Dr Ng Swee Soon dan Dr Yuen Jin Chuan, dengan dua nama terakhir juga merupakan Pakar Bedah Artroplasti. Turut hadir ialah Pakar Bedah Sukan SMCV, Dr Aminudin Mohamed Shamsudin dan Dr Raymond Yeak Dieu Kiat, serta Pakar Perunding Dermatologi, Datin Dr Nur Ashikin Ahmad.

Mewakili ISN ialah Dr Vellapandian A/L Ponnusamy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Mohamad Fajar Bin Mohamed Kasim; Pengarah Bahagian Sains Sukan, Dr Ahmad Munawwar Helmi Bin Salim; Ketua Jabatan Penjagaan Sukan, Dr Amir Azwan Bin Azman; Ketua Jabatan Perubatan Sukan, Encik Muhd Noorfaizalazrul Bin Muhammad Azalai; Ketua Jabatan Rehabilitasi, dan Puan Nor Azian Binti Khalid @ Abd Malek; Ketua Pusat Pengurusan Perubatan Sukan.

Rangkaian Penjagaan Kesihatan Menyeluruh yang Direka Mengikut Keperluan Atlet

Teras utama kerjasama ini adalah matlamat bersama untuk menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan yang holistik kepada atlet serta kakitangan ISN, dan memastikan mereka mendapat akses kepada rawatan, rehabilitasi dan sokongan pemulihan yang diperlukan yang tepat pada masanya.

Melalui kerjasama ini, atlet dan kakitangan ISN yang layak akan mendapat manfaat daripada pelbagai perkhidmatan utama di SMCV, termasuk rawatan pesakit luar dan kemasukan ke hospital, pemulihan pasca pembedahan, perkhidmatan radiologi seperti ujian MRI, imbasan CT dan sinar-X, penjagaan ortopedik bagi masalah tulang, kecederaan sukan, sendi dan otot, serta perkhidmatan dermatologi untuk penyakit kulit yang berkaitan sukan.

Bagi menyokong akses yang lancar kepada perkhidmatan ini, MoU ini mewujudkan sistem rujukan yang dipermudah antara SMCV dan ISN, membolehkan atlet dan kakitangan mendapat akses kepada kemudahan serta kepakaran daripada gabungan kedua-dua institusi sepanjang rawatan mereka.

Menurut Puan Susan Cheow, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMCV,“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan ISN dalam kolaborasi yang mencerminkan komitmen bersama untuk menyokong kesihatan dan pemulihan atlet negara serta ahli profesional sukan Malaysia. Apa yang lebih penting, ini bukanlah kerjasama sekali sahaja, tetapi merupakan sebuah permulaan kepada kerjasama berterusan yang menggabungkan kepakaran daripada kedua-dua institusi bagi memberikan manfaat yang berterusan dan dapat membuahkan hasil positif kepada atlet negara.”

Dengan intervensi pembedahan dan pemulihan pasca pembedahan sebagai fokus utama kerjasama ini, kedua-dua institusi ini berusaha memastikan pelan rawatan bukan sahaja tertumpu kepada pemulihan, tetapi juga disesuaikan dengan keperluan perubatan dan pembedahan khusus mengikut jenis sukan atau disiplin setiap atlet. Ini termasuk penekanan terhadap protokol kembali ke sukan yang berasaskan bukti bagi membantu atlet kembali bertanding dengan selamat, yakin dan pada tahap prestasi optimum.

Dr. Vellapandian A/L Ponnusamy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN berkata, “Atlet negara adalah kebanggaan kita, dan memastikan mereka mendapat akses kepada kepakaran perubatan bertaraf tinggi adalah teras kepada misi ISN. Kerjasama dengan SMCV ini meningkatkan keupayaan kami untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang komprehensif, khususnya apabila intervensi pembedahan khusus atau pengimejan diagnostik lanjutan diperlukan. Dengan merapatkan jurang antara kecemerlangan sukan dan klinikal, kami berharap untuk memberikan sokongan terbaik kepada atlet negara untuk pulih daripada kecederaan dan kembali ke podium.”

Memacu Perkongsian Ilmu dan Impak Jangka Panjang

MoU ini turut menyokong pertukaran berterusan ilmu perubatan dan kepakaran klinikal antara SMCV dan ISN. Melalui usaha ini, kedua-dua institusi ini berhasrat untuk meningkatkan kualiti rawatan, memperbaiki hasil pemulihan serta memperkukuh piawaian penjagaan menyeluruh untuk komuniti sukan Malaysia.

Selain itu, MoU ini memperkenalkan rangka kerja rujukan silang dua hala (mutual cross-referral network), yang membolehkan atlet dan kakitangan ISN mendapat manfaat daripada gabungan kepakaran serta fasiliti daripada kedua-dua institusi. Pendekatan bersepadu ini bertujuan menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh dan merangkumi perubatan sukan, pemulihan, pembedahan serta kepakaran perubatan lain yang berkaitan.

Melalui kerjasama ini, SMCV dan ISN menegaskan komitmen mereka dalam membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh bagi atlet dan profesional sukan negara, bukan sahaja dari aspek rawatan dan pemulihan, malah turut memastikan tahap kesihatan optimum, ketahanan fizikal serta prestasi sukan yang berterusan untuk jangka panjang.

Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk pertanyaan, sila hubungi +603 9772 9191 atau e-mel [email protected]. Untuk maklumat lanjut atau untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sunway Medical Centre Velocity, layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).