Dompet Saudagar B2B Boost Bantu Pendigitalan PMKS

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Dompet saudagar perniagaan ke perniagaan (B2B) di bawah Boost, cabang teknologi kewangan (fintech) spektrum penuh serantau Axiata mempunyai kapasiti untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam pendigitalan operasi perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata syarikat itu mempunyai sejarah panjang dalam menyokong PMKS di Malaysia dan berbangga menjadi yang pertama membawa dompet saudagar ke pasaran. 

“Sebagai sebuah syarikat digital, Boost berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membantu perniagaan seperti ini.

“Kami mempunyai jejak yang panjang dalam menyokong PMKS. Fokus awal kami adalah peniaga kecil, yang mana kaedah utama penerimaan pembayaran adalah wang tunai. Perkara pertama yang kami lakukan ialah membantu mereka memasuki era pendigitalan dan tanpa tunai dengan kod QR Boost DuitNow pada 2017,” katanya kepada Bernama.

Boost kemudian berusaha menawarkan penyelesaian pinjaman, menyediakan pembiayaan kepada PMKS dan telah mengagihkan pinjaman bernilai hampir RM2 bilion setakat ini. 

Beliau juga berkata Boost sedang dalam proses bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi mendigitalkan peniaga, menawarkan mereka kedai dan kaedah untuk penggunaan secara digital. 

“Semasa era pandemik COVID-19, kebanyakan perniagaan terpaksa menyesuaikan diri dan beralih kepada digital tetapi menghadapi banyak cabaran dalam perlaksanaan kerana ramai PMKS tidak tahu bagaimana untuk melakukannya.

“Daripada apa yang mereka beritahu, kami perlu menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi membantu PMKS mendigitalkan perniagaan mereka. Peniaga memerlukan titik permulaan, yang kami rasa terkait dengan dompet pengguna, dan kemudian membina kes penggunaan di sekelilingnya untuk peniaga mendapat manfaat.

“Pengguna kami telah mempunyai dompet sejak sekian lama, dan kami berbangga menjadi yang pertama membawa dompet saudagar ke pasaran untuk membantu pemilik perusahaan mendigitalkan operasi perniagaan mereka,” katanya. 

Memandangkan landskap digital terus berkembang, Sheyantha berkata Boost sentiasa merancang untuk mengikuti perkembangan ini dengan menawarkan lebih banyak pilihan kepada penggunanya.

“Kami sentiasa cuba berada di barisan hadapan dalam penerokaan perkara baharu disebabkan kehendak serta keperluan perniagaan dan pengguna akan sentiasa seiring dengan pengembangan teknologi.

“Kami sentiasa mengambil pendekatan aktif untuk mencari kesesuaian pasaran produk yang betul dan mengenal pasti teknologi apa yang akan membantu setiap segmen pasaran menangani cabaran mereka,” katanya lagi.

Memandangkan Boost telah berkembang menjadi perbankan digital di Malaysia, syarikat itu akan membawa sempadan baharu dalam inovasi serta membawa perkhidmatan terkini kepada segmen pasaran PMKS yang kurang mendapat perkhidmatan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost Biz Eric Chong berkata dompet saudagar Boost dibina khusus bagi membantu PMKS mengakses pembayaran digital dan menyelaraskan operasi perniagaan mereka.

“Dengan dompet saudagar ini, proses perniagaan menjadi lebih cekap kerana PMKS telah memudahkan akses kepada perkara-perkara seperti pembayaran bil dan pembekal terus dari dompet itu sendiri. Mereka juga boleh membeli barangan selain opsyen untuk mengeluarkan wang mereka. 

“Dengan ciri Penyelesaian Segera, peniaga tidak perlu lagi pergi ke bank untuk mengeluarkan tunai, malah mereka kini mempunyai wang tunai yang mudah didapati setiap kali ada transaksi atau keperluan pembayaran,” katanya. 

Chong berkata dompet peniaga itu menawarkan saiz dompet yang agak besar untuk PMKS.

“Bagi peniaga yang mendaftar dengan kad pengenalan, mereka mempunyai had sebanyak RM30,000, manakala peniaga yang mendaftar menggunakan lesen perniagaan akan mempunyai had sehingga RM500,000. 

“Ini bertujuan memastikan peniaga mempunyai wang tunai yang mencukupi untuk menguruskan semua bayaran perniagaan pada setiap masa,” katanya. 

Chong juga menyebut bagaimana dompet saudagar telah membolehkan PMKS akses lebih mudah kepada pinjaman Boost. 

“PMKS boleh memohon pinjaman kami secara terus melalui aplikasi Boost Biz dan dikreditkan terus ke dalam dompet saudagar mereka. Proses permohonan hanya mengambil masa lima minit dengan saiz pinjaman antara RM1,000 hingga RM100,000,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.