Kerajaan Guna Strategi Pelbagai Serampang Bagi Stabilkan Harga Makanan – Menteri Ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) — Kerajaan sedang menggunakan strategi pelbagai serampang yang mempengaruhi seluruh rantaian makanan untuk menstabilkan harga makanan pada paras yang mampu beli, daripada bahan mentah sehingga ke makanan di luar rumah.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata inisiatif seperti Menu Rahmah dan Inisiatif Pendapat Rakyat yang membekalkan makanan siap pada harga RM2 bukan sahaja memberi pilihan yang murah kepada pengguna malah mendorong persaingan lebih sihat di pasaran.

“Mutu (keberkesanan) inisiatif ini sudah pun mula dilihat . Sebagai contoh, inflasi indeks harga pengguna (IHP) bagi komponen makanan di luar rumah telah mereda buat pertama kali sejak Ogos 2021, daripada 9.6 peratus pada bulan Disember 2022 ke 9.3 peratus pada Januari 2023.

“Kerajaan akan memastikan kesinambungan usaha sebegini supaya ia terus dapat meringankan beban rakyat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawaban harga berpatutan akan juga dilakukan secara berterusan dengan pembangunan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara, demi menyuntik keanjalan harga dan bekalan.

Selain itu, bagi menyeragamkan harga tujuh barangan asas yang terlibat iaitu beras putih, gula, minyak masak satu kilogram, tepung gandum, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel, Program Penyeragaman Harga (PPH) akan diteruskan oleh kerajaan.

“Ini untuk memastikan bekalan barangan tersebut sampai kepada penduduk di kawasan luar bandar/pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pelaksanaan program ini akan membolehkan semua rakyat membeli barangan keperluan pada harga yang seragam,” menurutnya.

Beliau berkata Kementerian turut meneliti kenaikan harga barang sewaktu musim Tahun Baru Cina, pertumbuhan bulan ke bulan pada tahun 2023 (0.2 peratus) adalah rendah berbanding tahun 2021 (0.3 peratus) dan 2022 (0.24 peratus).

Perkembangan itu amat menggalakkan kerana membuktikan bahawa Malaysia telah berjaya meredakan kadar kenaikan harga dan kekangan rantaian bekalan global dan lonjakan permintaan bermusim, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA