MYAirline Rancang Untuk Disenaraikan Pada 2026 – CEO

SUBANG JAYA, 3 April (Bernama) — Syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd menyasarkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rayner Teo. 

“Mana-mana syarikat yang mempunyai pemegang saham, sudah tentu terdapat hasrat untuk penyenaraian dan kami mahu menyenaraikan di Bursa Malaysia selepas kami mempunyai keupayaan dalam tempoh tiga tahun,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam usaha mencapai tujuan itu, Teo berkata banyak faktor dan kerja telah dibuat  bagi memastikan syarikat penerbangan itu berada pada kedudukan yang baik untuk disenaraikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Pajakan 17 pesawat Airbus A320

Beliau juga berkata syarikat penerbangan itu telah memeterai perjanjian untuk memajak 17 pesawat Airbus A320-200 dan menyasarkan penyewaan sejumlah 20 pesawat berbadan sempit menjelang akhir 2023. 

“Secara teknikal sekarang, kami beroperasi dengan lima pesawat dan tambahan satu lagi, telah mengalami kelewatan penghantaran baru-baru ini, bagaimanapun, kami berusaha supaya operasi dapat kembali normal,” katanya. 

Baru-baru ini, syarikat penerbangan itu mengumumkan bahawa ia mengalami masalah teknikal yang telah menyebabkan kelewatan dan pembatalan penerbangan.  Penambahan pesawat baharu itu sepatutnya mampu menyelesaikan isu-isu tersebut tetapi kelewatannya telah menyumbang kepada masalah berkenaan.

“Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah, kami pada dasarnya mengoperasikan pesawat berbadan sempit sambil memberi tumpuan kepada laluan jarak dekat. Oleh itu, kami menghadkan penerbangan dalam jarak empat jam untuk pesawat badan sempit dan kami juga memilih pesawat daripada keluarga model yang sama,” katanya, sambil menambah syarikat penerbangan itu akan mempertimbangkan model dalam keluarga A320 bagi pesawat yang lebih panjang dan cekap bahan api pada masa akan datang.

Lebih banyak laluan, permintaan kukuh

Mengulas lanjut mengenai pengembangan laluan syarikat penerbangan itu, MYAirline mengendalikan lapan laluan yang merangkumi Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Kota Bahru, Pulau Pinang, Tawau, Sibu dan Miri. 

“Menjelang April, laluan kesembilan akan beroperasi iaitu yang menghubungkan Kota Kinabalu ke Tawau iaitu laluan domestik Sabah. Kami akan meneroka sektor domestik yang lain. malah pasukan kami sedang membuat kajian pasaran untuk Sandakan dan Bintulu,” jelasnya. 

Syarikat itu banyak memberi tumpuan untuk melancarkan beberapa laluan serantau membabitkan beberapa negara jiran sebagai permulaan.

“Antaranya adalah Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan kami sibuk berbincang dengan pengawal selia yang berkaitan di negara-negara ini bagi mendapatkan kebenaran penerbangan secepat mungkin.” 

Teo juga menjangkakan pasca COVID-19 akan menyaksikan lonjakan permintaan untuk perjalanan udara dan industri penerbangan pulih terutamanya di rantau ini. 

“Memandangkan kami adalah syarikat penerbangan yang baharu, keupayaan untuk melancarkan penerbangan tambahan adalah terhad dan kami tidak dapat melaksanakan penerbangan tambahan semasa Tahun Baru Cina. Bagaimanapun, kami merancang mengadakan satu atau dua penerbangan tambahan bagi Aidilfitri dan kami hanya akan menggunakan sebahagian kecil pesawat ganti kami.

MYAirline kini mempunyai hampir 600 kakitangan termasuk kira-kira 100 juruterbang. Ia juga sentiasa mengemas kini tawaran terkini melalui laman web dan aplikasi mudah alihnya. 

“Kami sepatutnya menamatkan tahun ini dengan lebih kurang 1,000 pekerja,” kata Teo. 

“Kami dipanggil ‘Gila’ kerana mahu memulakan sebuah syarikat penerbangan semasa COVID-19 yang menyaksikan semua pesawat pada dasarnya digantung tetapi kami percaya masa adalah sangat kritikal dan, pada masa yang sama, (kami) dapat memperoleh aset dengan tawaran menarik… permintaan sudah pasti akan kembali kukuh,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai usaha kelestarian berkata agenda hijau merupakan antara objektif utama dalam mengendalikan syarikat penerbangan itu, ia dilaksanakan dengan menubuhkan sistem pengurusan dokumen tanpa kertas, diikuti dengan membawa masuk kerusi pesawat mesra alam dan ergonomik pertama di negara ini. 

“Mengenai penggantian bahan api dengan bahan api penerbangan mampan (SAF), ia mungkin bukan masa yang tepat disebabkan oleh kos tetapi kami percaya SAF akan menjadi normal pada masa depan dan kami akan menjadi salah satu yang pertama menggunakannya apabila masa agak sesuai,” katanya.

Teo ketika menjelaskan mengenai Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang yang dicadangkan baru-baru ini memberitahu ia merupakan langkah kritikal bagi mewujudkan operasi lapangan terbang bandar, yang mungkin mengambil masa untuk melihat pembangunan semula itu selesai. 

“Kami telah pun menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan untuk menyatakan hasrat kami bagi menjadi sebahagian daripada pelan itu dan sasaran kami akan menjurus kepada perusahaan kecil dan sederhana serta korporat berdasarkan kedudukan pasaran untuk pelan penjanaan semula,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.