Strategi Pasaran: Rumusan Perolehan Bagi Suku Mac 2026

Prestasi suku Mac 2026 yang lebih lemah

Perolehan syarikat untuk suku yang dikaji ini kelihatan lemah dalam tempoh yang lazimnya lebih lemah, sementara sejak tercetusnya krisis di Asia Barat, banyak syarikat mengambil pendirian yang lebih berjaga-jaga. Empat sektor gagal mencapai jangkaan (tiada prestasi melangkaui jangkaan) – fenomena ini kali terakhir berlaku pada Mac 2023 (Dis 2025: Satu sektor tersasar, tiga mengatasi ramalan). Penyelarasan ramalan perolehan pasaran bersih ternormal jelasnya negatif (FY26: -1.3%, FY27: -1.1%), selepas menolak semakan positif yang besar dan luar biasa terhadap perolehan Petronas Chemicals (PCHEM MK, NEUTRAL, TP: MYR5.92). Semakan perolehan adalah kecil: Naik 1.2% untuk FY26F, dan 0.8% lebih rendah bagi FY27F.

Pertumbuhan perolehan masih pada paras positif

Hanya 12.1% syarikat mencatat perolehan yang mengatasi unjuran, iaitu nisbah terendah yang dilihat sejak Sep 2018. 31.8% daripada syarikat yang melaporkan keputusan dilihat tersasar daripada anggaran, lalu membawa nisbah prestasi tersasar berbanding yang mengatasi jangkaan kepada 2.6 daripada 1.6 pada suku Dis 2025. Empat sektor yang berprestasi rendah: Perbankan, perladangan, hartanah, dan barangan getah. Dalam perubahan nasib yang mendadak untuk PCHEM – iaitu penerima manfaat yang jelas bagi segmen huluan minyak & gas (O&G) daripada kenaikan harga minyak mentah – ramalan disemak naik dengan mendadak bagi mencerminkan perbezaan harga produk yang lebih tinggi.

Tema-tema berulang yang dinyatakan semasa tempoh pelaporan kewangan ini termasuklah tekanan kos tidak langsung yang lebih tinggi akibat harga minyak lebih mahal, kekukuhan rantai bekalan, dan impak inflasi lebih tinggi terhadap tingkah laku pengguna. Sektor-sektor yang melaporkan penyelarasan perolehan positif termasuklah O&G, REIT, institusi kewangan bukan bank (NBFI), telekomunikasi, dan hartanah. Hal ini diimbangi oleh potongan anggaran perolehan rata-ratanya dalam sektor perbankan, perladangan, teknologi dan tenaga.

Saham-saham bermodal besar FBM KLCI

Penyelarasan perolehan FY26F mencatat paras positif yang kecil (+2.0%) bagi mencerminkan semakan perolehan positif yang besar untuk PCHEM, walaupun untung bersihnya bagi FY27F direndahkan 0.8%. Tanpa mengambil kira PCHEM, perolehan FY26-27F direndahkan sebanyak 1.5% dan 1.3%. Tiada pindaan dibuat pada wajaran sektor kami. Pihak pengurusan daripada bank-bank pandu terus mengawasi impak daripada keadaan Asia Barat namun menekankan bahawa kualiti aset setakat ini terkawal, dibantu oleh penimbal peruntukan yang dilaksanakan. Bank-bank juga kelihatan lebih optimis bahawa 2Q akan mencatat prestasi lebih baik berikutan momentum non-II yang bertambah baik

Strategi

Kami masih menyarankan pendekatan pelaburan teras yang berdaya tahan, selain mengamalkan daya pemikiran pelaburan yang berhemat dengan berpandukan strategi pembelian semasa harga rendah. Dengan terbubarnya dewan undangan negeri Johor yang membuka ruang untuk pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari yang mengundang risiko politik dalam pelaburan, hal ini menandakan pasaran-pasaran mungkin akan mengalami penurunan. Langkah pengelakan risiko akan menyaksikan lebih banyak tumpuan diberikan pada sektor-sektor bertahan (tenaga, perladangan, penjagaan kesihatan, telekomunikasi, pengguna, dan M-REIT) dan pemegangan tunai yang lebih tinggi.

Berdasarkan kes terdahulu, kami ramalkan FBM KLCI akan mencatat paras nilai terendah pada -2SD atau 1,433 mata. Semakan negatif pada perolehan FY27F mendorong kami untuk merendahkan sasaran akhir 2026 bagi FBM KLCI kepada 1,750 mata (daripada 1,780 mata) setelah mengenakan P/E sasar yang sama sebanyak 15.5x pada untung bersih FY27F.

Penganalisis
Alexander Chia +603 2302 8119 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.