India Import 1.5 Juta Tan Minyak Sawit Dari Malaysia Sejak Enam Bulan Lepas

NEW DELHI, 12 Mei (Bernama) — India mengimport lebih 1.5 juta tan minyak sawit dari Malaysia sejak enam bulan lalu.

Ia terdiri daripada hampir 1.3 juta tan minyak sawit mentah (MSM), 205,387 tan metrik olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dan 24,988 tan minyak isirung sawit mentah.

Pada bulan April sahaja, India mengimport 175,384 tan minyak sawit dari Malaysia.

Import keseluruhan minyak boleh dimakan di India dalam tempoh November-April melebihi lapan juta tan, termasuk 4.9 juta tan minyak sawit, menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) pada Jumaat.

Malaysia merupakan pembekal kedua terbesar minyak makan ke India dalam tempoh enam bulan selepas Indonesia, iaitu sumber utama bekalannya.

Berdasarkan jumlah, 35 peratus daripada MSM India dan 18 peratus daripada olein sawit RBD adalah dari Malaysia.

Secara keseluruhannya, import minyak sawit India turun sebanyak 31 peratus kepada 505,000 tan pada April berbanding 728,000 tan pada Mac, 2023.

Import minyak sayuran India pada April turun 10 peratus berbanding Mac.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.