Kerajaan Perhalusi Kaedah Terbaik Untuk Rapatkan Jurang Pembangunan Ekonomi – Rafizi

MELAKA, 15 Jun (Bernama) — Kerajaan persekutuan akan terus memperhalusi kaedah terbaik dalam mengimbangi pembangunan ekonomi di Melaka dan Negeri Sembilan bagi merapatkan jurang kemiskinan di kedua negeri tersebut.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata ia termasuk aspek pemberian peruntukan dalam memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi di negeri yang terletak di tengah-tengah antara laluan selatan dan utara Semenanjung Malaysia itu.

“Walaupun tidak seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan juga Sarawak (yang jurang kemiskinannya agak tinggi) tetapi kita perlu mengimbangi keperluan kedua negeri ini.

“Ini kerana mereka tidak seperti negeri Selangor dan Johor yang pesat dengan aktiviti perindustrian dan perkilangan. Sebab itulah dalam kajian penggal dan tujuan RMK ke-13, kita akan tengok dan imbangi keperluan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 bersama Menteri Ekonomi di sini hari ini.

Rafizi berkata kedua negeri itu perlu bijak menggunakan kedudukan geografinya yang strategik yang mampu menjadi dua pusat ekonomi penting di negara ini.

“Sebagai contoh apabila pertumbuhan ekonomi meningkat di Johor dan Lembah Klang, ia akan melimpah ke Melaka dan secara langsung akan melahirkan lebih ramai usahawan dalam sektor pelancongan.

“Inilah perkara-perkara yang akan kita perhalusi dan kita pun tidak mahu Melaka bergantung kepada sektor pelancongan sahaja,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan kerajaan Melaka berkaitan peruntukan di bawah Rolling Plan ke-4 Rancangan Malaysia ke-12 yang bernilai RM13.93 bilion, Rafizi menjelaskan permohonan tersebut kini berada dalam peringkat tapisan belanjawan.

“Sebagai pihak terakhir yang meluluskan permohonan tersebut,  kita sentiasa memberi peluang kepada kerajaan negeri dan agensi untuk memohon dan ia akan diangkat secara rasmi melalui kementerian berkaitan.

“Ini perkara biasa memandangkan setiap kerajaan negeri mempunyai projek keutamaannya termasuklah Melaka dan kita akan mengharmonikannya antara keperluan kerajaan persekutuan dan keutamaan kerajaan negeri,” katanya. 

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TalentCorp Perluas Rangkaian Industri Wanita Bagi Melahirkan Generasi Baharu Pemimpin Wanita Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), telah melancarkan Kohort Mentor Rangkaian Industri Wanita (Women-Industry Network, WIN) 2025 di bawah inisiatif utama Wanita MyWira, sebagai usaha memperkukuh penyertaan, kepimpinan dan kesaksamaan wanita dalam tenaga kerja negara.

Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama Girls4Girls Malaysia (G4G) serta Paragon Group sebagai penaja strategik. Kohort ke-11 ini menghimpunkan lebih 300 wanita muda daripada 25 universiti dan institusi TVET di seluruh negara untuk mengikuti program bimbingan selama lima minggu yang dikendalikan oleh 41 pemimpin wanita daripada pelbagai sektor termasuk teknologi, kejuruteraan, kesihatan dan tenaga boleh baharu.

Membina Rangkaian Kepimpinan Masa Hadapan Malaysia Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, YB Wong Shu Qi, berkata bahawa WIN merupakan satu pelaburan penting dalam membina barisan kepimpinan masa hadapan negara.

“Melalui Rangkaian Industri Wanita, kita bukan sekadar melabur dalam potensi individu, tetapi dalam transformasi struktur yang diperlukan bagi mencapai sasaran penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 60% menjelang 2030,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa peningkatan perwakilan dalam kalangan wanita di peringkat lembaga pengarah — kini sebanyak 33.1% bagi 100 syarikat tersenarai awam utama di Bursa Malaysia, berbanding 14% pada tahun 2015 — adalah satu perkembangan positif, namun kemajuan ini perlu diteruskan dengan usaha pembangunan kepimpinan yang berterusan.

“Untuk mencapai dan mengekalkan sasaran nasional sebanyak 30% wanita sebagai pembuat keputusan, kita perlu membina keyakinan, kemahiran dan rangkaian yang dapat memperkasa wanita untuk memimpin dan membentuk masa depan tenaga kerja Malaysia,” jelas beliau.

Menghubungkan Kemahiran dan Kepimpinan Program WIN Wanita MyWira memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, keyakinan diri dan kebolehpasaran melalui modul seperti kepercayaan, komunikasi, rundingan, etika serta khidmat awam. Para peserta dipadankan dengan mentor untuk sesi bimbingan secara individu dan pendedahan kepada cabaran sebenar dunia industri.

Inisiatif ini memperkukuh kemajuan Malaysia dalam menutup jurang gender. Jurang gaji antara jantina telah menurun daripada RM211 pada tahun 2023 kepada RM18 pada Mac 2025, manakala penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.2%, melebihi purata ASEAN.

Kerjasama Demi Impak Izzana Salleh, Pengasas Bersama dan Presiden Global Girls4Girls International (G4G) berkata, kerjasama dengan TalentCorp membuktikan bahawa kolaborasi berasaskan matlamat bersama mampu mempercepat kemajuan wanita.

“Kerjasama kami bersama TalentCorp melalui Rangkaian Industri Wanita membuktikan bahawa matlamat bersama — mempertingkat peranan wanita dalam kepimpinan dan penyertaan tenaga kerja — boleh diterjemahkan kepada kesan yang nyata dan berkekalan,” katanya.

Sementara itu, Kruthiga Permar, Pengarah Kanan Bahagian Jalinan Korporat dan Perkongsian di Asia School of Business, turut berkongsi pandangan beliau dengan berkata bahawa “Visi TalentCorp dalam menerajui inisiatif transformasi seperti ini amat wajar dipuji. Rangkaian Industri Wanita memberi ruang kepada wanita muda untuk berkembang, membina jaringan perhubungan dan berjaya — ia benar-benar menjadi pemangkin perubahan dalam landskap bakat Malaysia.”

Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Rangkaian Industri Wanita (WIN) di bawah Wanita MyWira telah membimbing lebih 1,000 wanita di seluruh negara, dengan kerjasama organisasi terkemuka seperti PETRONAS, Telekom Malaysia, Microsoft, CTOS, dan Asia School of Business. Program ini kini diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Pantai Timur, membuka laluan baharu bagi wanita dalam bidang STEM, TVET dan sektor teknikal.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada mandat TalentCorp untuk memperkukuh tenaga kerja negara serta membina ekonomi berasaskan kemahiran dan inklusif di bawah kerangka dasar Malaysia MADANI.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.talentcorp.com.my/women