Anak Muda Dan Pelaburan

Golongan muda perlu lebih cakna ketika merancang kewangan dengan melakukan pelaburan kerana ia dapat menjadikan diri mereka lebih yakin sekali gus mempunyai matlamat yang jelas pada masa hadapan. Namun begitu, golongan muda harus sentiasa berhati-hati dalam urusan pemilihan pelaburan agar tidak mudah terpedaya dengan janji-janii manis seperti skim cepat kaya yang acap kali dilakukan oleh scammer pada masa kini.

Sepatutnya pada usia muda inilah mereka perlu berusaha seperti peribahasa sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Hal ini dikatakan demikian kerana, usaha tidak akan mengkhianati hasil dan kesabaran dalam melakukan sesuatu sehingga mendatangkan ganjaran. Setiap usaha yang dilakukan pasti akan memberikan kesenangan suatu hari nanti. Pelaburan yang dilakukan juga mampu menjadi sumber pendapatan sampingan demi meneruskan kelangsungan hidup.

Seterusnya, golongan muda yang mula memasuki usia 20 tahun perlulah bijak membuat keputusan sendiri dalam usaha untuk mengurus kewangan peribadi. Terdapat beberapa tips berguna kepada golongan muda antaranya ialah anak muda hendaklah mula membuat simpanan awal dan tiada istilah harus bekerja dahulu barulah boleh menyimpan. Amalan ini perlu diterapkan sejak kecil agar mereka terbiasa menyimpan bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tips yang ketiga dan perlu disematkan dalam minda ialah kad kredit merupakan satu hutang dan bukanlah lambang kemewahan atau satu perkara yang perlu dimegahkan kerana risiko kad kredit amat bahaya jika mereka tidak mampu membayar dengan kadar bunga yang ditetapkan maka mereka boleh berhadapan risiko muflis. Harus diingat, usia muda sangatlah berharga kerana dan apa yang dibuat oleh anak muda pada masa sekarang akan memberi impak di usia tua kelak. Oleh itu, setiap aktiviti dan perkara yang dilakukan perlulah berpada-pada kerana penyesalan tidak mengenal umur. 

Tips seterusnya ialah janganlah memegang prinsip menunggu kaya untuk memulakan pelaburan. Hal ini kerana, masyarakat kita mempunyai stigma bahawa pelaburan hanyalah untuk mereka yang kaya sahaja. Sekarang ada banyak produk pelaburan yang boleh dimulakan dengan modal yang sangat minima malah pelajar juga boleh menceburkan diri dalam bidang pelaburan.

Namun begitu, perlu diingat bahawa melaburlah dengan duit lebihan dan pastikan kita mempunyai simpanan kecemasan sebanyak 3 hingga 6 bulan gaji kita. Penasihat Kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir berkata “pelaburan yang menawarkan pulangan besar dalam tempoh singkat biasanya tidak boleh dipercayai dan lebih menjurus kepada skim cepat kaya”. Terdapat enam jenis pelaburan yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu dalam bank atau institusi kewangan, anak syarikat bank, insurans atau takaful, pelaburan dalam unit amanah dan koperasi. Walaupun begitu, umat Islam digalakkan memilih pelaburan yang patuh Syariah dan berteraskan prinsip serta hukum Islam. Pelaburan patuh syariah mengikut garis panduan kewangan Islam ialah melarang aktiviti tertentu seperti transaksi berasaskan faedah (riba), spekulasi (gharar), dan pelaburan dalam perniagaan yang dianggap haram (dilarang) dalam Islam.

Apabila membuat pelaburan patuh Syariah ini, banyak faktor penting mesti dipertimbangkan, termasuk tapisan pematuhan Syariah, perkongsian untung rugi, dana bersama Islam dan ekuiti Islam. Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa ulama atau lembaga penasihat yang berbeza mungkin mempunyai tafsiran dan kriteria penapisan yang sedikit berbeza untuk pematuhan Syariah. Perkara yang lebih kritikal ialah kita sering melibatkan diri dalam pelaburan konvensional dan mengambil riba tanpa disedari. Oleh itu, pelabur harus memastikan mereka memilih pelaburan yang diperakui oleh ulama atau institusi Syariah yang berwibawa. Sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan, individu yang berminat dalam pelaburan patuh Syariah harus menjalankan penyelidikan secara menyeluruh, mendapatkan nasihat daripada profesional yang berkelayakan, dan mempertimbangkan matlamat kewangan mereka sendiri, toleransi risiko dan kepercayaan agama.

Artikel sumbangan: SITI NUR NAJIHAH BINTI ABDUL RASHID (285597)

BIFS3013 ISLAMIC INVESTMENT, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Emel: [email protected]

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.