Kerajaan Hadkan Keluasan Tanaman Sawit Untuk Industri Sawit Mampan – TPM Fadillah

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) — Kerajaan komited dalam menerajui kemampanan industri sawit termasuk mengehadkan keluasan kawasan tanaman sawit negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata bagi meningkatkan pengeluaran minyak sawit, usaha difokuskan kepada kawasan tanaman sedia ada melalui aktiviti penanaman semula menggunakan baka yang akan memberikan hasil tinggi dan menerusi amalan pertanian baik. 

“Kemampanan sektor sawit kini merupakan isu global yang perlu ditangani bersama bagi keseimbangan antara kemakmuran ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.

“Sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang menggariskan kemampanan sebagai salah satu teras utama, saya menggesa semua pihak berkepentingan dalam industri sawit supaya memegang teguh prinsip kemampanan dalam usaha meningkatkan ekonomi tanpa menjejaskan alam sekitar dan kebajikan rakyat,” katanya pada majlis perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Mohamad Helmy Othman Basha.

Selain itu, Fadillah berkata pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) secara mandatori adalah bagi memastikan kemampanan industri sawit dan penghasilan produk minyak sawit berkualiti.

“Setakat 31 Mei 2023, sejumlah 95.81 peratus kawasan bertanam sawit telah dipersijilkan dengan MSPO. Justeru itu, saya yakin dengan penggunaan teknologi secara berkesan dan pematuhan kepada amalan pertanian mampan, industri sawit Malaysia mampu bersaing di peringkat global bagi memenuhi permintaan minyak dan lelemak yang semakin meningkat,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.