Syarikat MKD Sumbang Lebih RM50 Bilion Sebagai Dividen Kepada Kerajaan Pada 2022

PUTRAJAYA, 20 Julai (Bernama) — Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) menyumbang RM50.7 bilion daripada keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2022 sebagai dividen kepada kerajaan, lebih tinggi daripada RM28.1 bilion pada 2021, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata prestasi peningkatan sumbangan dividen itu perlu terus dipertingkatkan, bagi membolehkan ia dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan dan bantuan kewangan.

“(Ia boleh ditingkatkan) melalui usaha tadbir urus dan kaedah pengurusan syarikat yang baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kepimpinan dan Tadbir Urus Baik Lembaga Pengarah MKD dan Badan Berkanun Persekutuan (BBP), di sini hari ini.

Katanya sumbangan dividen tersebut, akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan pembangunan dan bantuan kewangan, untuk dinikmati segenap lapisan rakyat.

Syarikat MKD ialah badan korporat yang ditubuhkan di bawah Akta Menteri Kewangan (Pemerbadanan) 1957, yang memberi kuasa kepada MKD untuk menyertai kontrak, mengambil alih, membeli, mengambil, memegang dan menikmati segala harta alih serta harta tidak alih.

Antara syarikat MKD ialah Petronas, Amanah Raya Berhad, Cyberview Sdn Bhd, Felcra Bhd dan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Ahmad berkata syarikat yang terlibat dalam penyediaan infrastruktur dan utiliti, merupakan antara syarikat MKD yang menyumbang peratusan dividen rendah kepada kerajaan.

“Syarikat berkenaan menghadapi masalah tertentu dan tidak boleh menaikkan harga perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat, dengan sewenang-wenangnya,” katanya dengan memberikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai contoh yang terlibat dengan pengangkutan awam.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama