Industri Minyak Sawit Malaysia Akan Raih Manfaat Penyertaan UK Dalam CPTPP – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) — Industri minyak sawit Malaysia adalah antara sektor yang akan menerima manfaat daripada penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Malaysia berjaya memohon Britain mengurangkan tarif minyak sawitnya – yang ketika ini antara 12 peratus sehingga sifar – sebaik sahaja menyertai pakatan ini yang sewajarnya mendorong lebih banyak eksport ke UK.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara melebihi US$7.3 bilion (RM33.4 bilion) pada 2022 dengan UK mencatatkan lebihan dagangan kira-kira US$786 juta (RM3.5 bilion).

Lembaga Minyak Sawit Malaysia menjangkakan eksport minyak sawit akan meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 16.3 juta tan pada 2023 berikutan permintaan yang berterusan daripada negara-negara pengimport.

“Komoditi seperti getah (akan menerima manfaat daripada penyertaan UK) dan barangkali peningkatan bagi makanan segar boleh dimakan,” kata Innes kepada Bernama sambil memaklumkan UK sedang bergelut dengan pasca Brexit.

“UK bukanlah negara mampu diri dari segi pengeluaran makanan. Negara itu mengimport 48 peratus daripada jumlah makanan yang digunakan dan perkadaran ini meningkat. Oleh itu, sebagai negara perdagangan makanan, UK bergantung kepada import,” kata Innes.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menyifatkan hubungan Malaysia-UK adalah menyenangkan dari segi pelaburan.

Projek Battersea Power Station adalah contoh bagaimana kedua-dua negara ini saling membantu dan melengkapi untuk mencipta nilai.

“Banyak rakyat Malaysia yang menerima pendidikan tinggi di UK. Sehubungan itu, CPTPP perlu membantu mempromosikan perdagangan dan pelaburan dua hala berikutan kos menjalankan perniagaan akan menjadi lebih efektif selepas penyertaan UK dalam pakatan itu,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata UK perlu lebih mesra ekonomi dengan negara-negara lain di seluruh dunia kerana ia “bersendirian” berikutan perlu mengakses bahan mentah dan buruh untuk pengeluaran selain pasaran asing.

“CPTPP menawarkan pendedahan lebih luas kepada ekonomi global dan ia berpotensi melibatkan China yang turut dalam usaha untuk menjadi sebahagian daripada pakatan itu.

“Walaupun kita masih belum pasti bagaimana China akan diterima berikutan perselisihan sedia ada dengan beberapa negara anggota, aspirasi UK untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan itu adalah munasabah dari segi ekonomi,” kata Mohd Afzanizam.

UK adalah negara Eropah pertama yang menganggotai blok itu sejak diwujudkan pada 2018. Pakatan itu terdiri daripada negara-negara anggota G7 seperti Kanada dan Jepun, sekutu UK sejak sekian lama seperti Australia dan New Zealand, selain Brunei, Chile, Malaysia, Mexico, Peru, Singapura dan Vietnam.

Mengulas aspek ini, Innes pula mempersoalkan sejauh mana keadaan ini akan memberikan manfaat kepada pertumbuhan ekonomi UK.

“UK adalah ekonomi perkhidmatan yang besar dan sektor itu mungkin memiliki beberapa manfaat eksport. Bagaimanapun, saya berpandangan ia selari dengan sokongan rantaian bekalan UK yang boleh membawa kepada beberapa manfaat terhadap kos import domestik,” kata Innes.

Ditanya sama ada penyertaan UK akan menjadi benteng kepada dominasi China di rantau ini, beliau berkata negara-negara Barat sedang berusaha untuk mengelakkan bekalan barangan China.

“Jawapan ringkasnya barangkali tidak secepat ini. Tetapi, itu tidak mungkin menghalang mereka daripada menyesuaikan semula sebahagian besar daripada ekonomi global,” kata Innes.

 — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Perladangan: Inventori Susut Kepada 2.2 Juta Tan Apabila Eksport Menaik

Saham Pilihan Utama: Johor Plantations Group (JPG), Sarawak Oil Palms (SOP), IOI Corp (IOI), London Sumatra Indonesia (LSIP), SD Guthrie (SDG) dan First Resources (FR)

Pada Mac, inventori minyak sawit (PO) Malaysia merosot kepada 2.27j tan. Paras inventori dijangka terus berada sekitar paras 2j tan kerana permintaan sepatutnya tetap kukuh memandangkan CPO diniagakan lebih rendah daripada minyak sayuran lain. Kami mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap sektor ini, dan menyarankan para pelabur untuk terus berpegang pada dagangan positif.

Tahap pengeluaran menokok 7.2% MoM (-0.8% YoY) pada Mac

Lalu membawa pertumbuhan keluaran sejak awal 2026 hingga Mac kepada 11.1% YoY. Kenaikan MoM ini datang daripada ketiga-tiga wilayah yang didahului oleh Sarawak (+14.1%), Sabah (+7.4%) dan Semenanjung Malaysia (4.3%). Pertumbuhan YoY disokong oleh Sabah (+8.2%) and Sarawak (+0.6%), manakala pertumbuhan susut kepada 4.9% YoY di Semenanjung Malaysia.

Untuk Indonesia, data daripada Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI) hanya sehingga bulan Dis 2025, dengan keluaran CPO meningkat 8.7% pada awal 2025 hingga Dis. Dengan kenaikan keluaran tidak dijangkakan pada Mac, kita mungkin akan mencapai paras puncak dengan lebih awal tahun ini melainkan kejadian cuaca melampau berlaku. Kebarangkalian untuk kejadian El Nino berlaku kini mencecah 72-80% untuk Jun-Ogos 2026.

Eksport bagi Mac 2026 melambung naik 40.7% MoM (+54.3% YoY)

Lantas meningkatkan pertumbuhan eksport YTD-2026 kepada +28.4% YoY. Kenaikan secara MoM ini rata-ratanya telahpun diramalkan berlaku kerana CPO didagangkan pada harga purata yang lebih rendah sebanyak USD316/tan daripada minyak kacang soya (SBO) pada Mac 2026 (berbanding USD233/tan pada Feb 2026) walaupun pada harga diskaun lebih kecil sebanyak USD222/tan berbanding minyak bunga matahari (SFO) (berbanding USD297/tan pada Feb 2026). Kami ramalkan momentum eksport ini akan terus bertahan didorong oleh harga semasa CPO yang rendah bernilai USD325/tan berbanding SBO dan USD190/tan berbanding SFO, yang dapat menggalakkan minat membeli daripada negara-negara yang sensitif harga.

Pengimport menunjukkan minat bercampur baur pada Mac

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia, paras stok untuk Feb 2026 masih lagi belum tersedia. Walaupun
kenaikan MoM dalam eksport Malaysia mungkin menandakan berlakunya beberapa kegiatan penambahan semula stok, kami ingin menekankan bahawa import PO India menyusut hampir 19% pada Mac kepada paras terendah dalam 3 bulan memandangkan ia menangguhkan pembelian kerana harga yang tinggi. Makluman: Kegiatan pembelian akan masih terarah kepada PO Indonesia berikutan struktur cukainya yang lebih menguntungkan (kadar cukai 26% berbanding 10% di Malaysia).

Paras inventori Mac 2026 oleh Malaysia jatuh kepada 2.27j tan (-16.1% MoM, +45.1% YoY) daripada 2.70j tan pada Feb 2026

Hal ini disebabkan oleh kenaikan eksport dan penurunan import walaupun tahap pengeluaran semakin tinggi. Dengan ini, nisbah stok/penggunaan tahunan bagi Mac 2026 jatuh kepada 11.0% (daripada 17.9% pada Feb) walaupun ia masih lagi melebihi paras purata lampau 15 tahun berjumlah 10%. Melangkah ke hadapan, kita mungkin akan melihat paras stok terus berada pada sekitar paras 2j tan untuk beberapa bulan berikutnya kerana permintaan CPO mungkin masih kukuh.

Walaupun andaian harga CPO kami bernilai MYR4,250/tan untuk 2026 dan MYR4,100/tan untuk 2027-2028 sekarang dalam semakan

Kami menyarankan para pelabur untuk mengambil pendirian dagangan positif yang taktikal terhadap sektor ini.

Risiko-Risiko

Risiko-risiko negatif utama yang boleh menjejaskan prospek kami termasuk:
i. Perang perdagangan terus berlarutan
ii. Perubahan ketara dalam trend harga minyak mentah yang mengakibatkan pindaan dalam mandat biodiesel
iii. Ketidaknormalam cuaca yang menyebabkan berlakunya lambakan atau kekurangan bekalan minyak sayuran
iv. Perubahan mendadak dalam permintaan minyak sayuran yang disebabkan oleh perubahan dalam kitaran ekonomi atau dinamik harga
v. Keadaan buruh di Malaysia semakin memburuk lalu menyebabkan pengeluaran terjejas
vi. Semakan pada struktur cukai dan dasar-dasar perdagangan Indonesia
vii. Semakin banyak isu ESG yang perlu diteliti untuk syarikat-syarikat yang tersenarai di bursa

Penganalisis
Hoe Lee Leng +603 2302 8110 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.