Lotus’s Malaysia potong harga 3,500 barang melalui kempen terbaharu

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) sedang melabur RM50 juta melalui kempen #LotussLebihMurah bagi membantu rakyat Malaysia menangani kenaikan kos sara hidup.

Pengarah Eksekutif Pelanggan Lotus’s Malaysia, Vivian Yap berkata untuk membolehkan pelanggan menerima nilai yang lebih bermakna apabila membeli-belah, syarikat akan mengurangkan harga lebih 3,500 barangan runcit dan bukan barangan runcit sehingga 37 peratus sebagai sebahagian daripada promosi itu. 

“Kami faham ramai rakyat Malaysia sedang cuba menangani cabaran kenaikan kos sara hidup dan mahukan kestabilan harga serta kos barangan runcit dan hasil segar yang lebih rendah.   

“Jadi apa yang kami cuba buat adalah dengan memperjuangkan nasib pelanggan, membantu mereka menabung, menguruskan belanjawan mereka dengan lebih baik dan mengurangkan kesan inflasi dengan menawarkan banyak inisiatif,” katanya pada taklimat media bagi memperkenalkan kempen #LotussLebihMurah di Lotus Kepong hari ini.

 Yap berkata senarai luas produk #LotussLebihMurah merangkumi banyak barangan kegemaran isi rumah Malaysia seperti beras, pasta, minyak masak, mi segera, sardin dalam tin, ikan kembung, sos, kopi, teh, makanan sejuk beku, biskut, lampin, detergen, pencuci badan, cecair pencuci pinggan mangkuk dan susu formula untuk kanak-kanak. 

Pelanggan boleh menikmati harga yang lebih murah apabila mereka membeli-belah di semua 66 kedai Lotus, Lotus’s Shop Online dan Lotus di Lazada, Shopee, Food Panda dan Grab.

“Untuk ahli My Lotus’s, mereka boleh berjimat lebih-lebih lagi apabila menggunakan mata Lotus’s mereka dalam pembayaran. Ahli mengumpul mata apabila mereka membeli-belah dan menggunakannya untuk membayar barangan runcit, bila-bila masa di kedai atau dalam talian. Ini membantu mereka mengurangkan bil runcit mereka,” katanya.

Selain kempen itu, Yap juga berkata Lotus telah memperkenalkan promosi pengurangan harga lain seperti Segar & Murah, yang menawarkan pilihan produk segar pada harga lebih rendah dan tawaran belian dengan pembelian pada Jun lepas. 

Bagi keluarga yang mencari alternatif yang lebih murah, Lotus’s Malaysia menawarkan lebih daripada 3,000 barisan produk jenamanya di kedai-kedai fizikal serta dalam talian.

Selain itu, kesemua 59 medan selera Lotus’s di seluruh negara akan terus menawarkan menu makanan Menu Rahmah pada harga RM5 setiap satu untuk pelanggan dan keluarga yang mengunjungi kedainya. 

Selain itu, rangkaian pasar raya besar itu akan memperluaskan inisiatif Rahmah tidak lama lagi dengan memberikan diskaun 10 peratus ke atas bahan-bahan utama kepada pengendali makanan yang menawarkan Menu Rahmah, kata Yap.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.