Sarawak Sasar Jana Tenaga 8 Gigawatt Menjelang 2030

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) — Sarawak menetapkan sasaran penjanaan tenaga lapan gigawatt (GW) menerusi loji hidroelektriknya pada 2030.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri, Dr Hazland Abang Hipni berkata penjanaan itu diperlukan sektor perindustrian pada masa hadapan serta akan menyokong agenda ekonomi hidrogen Sarawak.

Beliau berkata sasaran itu boleh dicapai menerusi pelaksanaan solar terapung di loji hidroelektrik negeri ini bagi meningkat penjanaan kuasa.

“Kapasiti tenaga kita sekarang tidak mencukupi terutama untuk industri hidrogen pada masa hadapan yang memerlukan tenaga yang banyak.

“Sasaran lapan GW ini boleh dicapai menerusi solar terapung dan kita akan mula di empangan Batang Ai tidak lama lagi selain memperkenalkan empangan melata yang bertingkat,” katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.

Solar terapung atau fotovolta terapung (FPV) ialah panel solar yang dipasang pada struktur yang terapung di atas permukaan air, lazimnya di kawasan tasik.

Pada 31 Mei lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tenaga hidro masih menjadi tumpuan utama sumber tenaga Sarawak dan telah menyarankan agar Sarawak Energy Bhd meneroka pembinaan empangan kuasa hidro di Sungai Trusan di Lawas.

Loji hidroelektrik pertama Sarawak Energy, empangan Batang Ai berkuasa 108 megawatt (MW) telah beroperasi pada 1985, diikuti oleh Bakun (2,400MW) pada 2011 dan Murum (944MW) pada 2014.

Pada masa ini, projek hidroelektrik Baleh (1,285MW) sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2027.

Jumlah kapasiti terpasang loji hidro besar Sarawak Energy ialah 3,452MW.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Organisasi Malaysia Terlepas Pandang Risiko AI Demi Mengejar Permintaan

KUALA LUMPUR, 23 April 2026 – Peneraju global keselamatan AI, TrendAI telah menerbitkan kajian baharu yang mendedahkan bahawa organisasi di seluruh dunia terus mempercepatkan pelaksanaan AI walaupun menyedari risiko keselamatan dan pematuhan yang terlibat.

Di Malaysia, kajian mendapati 75% pembuat keputusan IT dan 70% pemimpin perniagaan berasa tertekan untuk meluluskan penggunaan AI walaupun terdapat kebimbangan keselamatan, dengan satu daripada tujuh responden menyifatkan kebimbangan tersebut sebagai “sangat serius” tetapi tetap diketepikan demi mengejar pesaing dan memenuhi permintaan dalaman.

Penggunaan AI Mengatasi Kawalan

Dari segi kematangan tadbir urus, hanya 29% pembuat keputusan perniagaan di Malaysia berasa sangat atau amat yakin dalam memahami rangka kerja undang-undang berkaitan AI, berbanding 63% dalam kalangan pembuat keputusan IT.

Kira-kira separuh (52%) pembuat keputusan IT telah mempunyai dasar AI yang komprehensif, manakala 39% masih dalam proses merangka. Hampir separuh (51%) pemimpin IT menyatakan kekurangan kepakaran keselamatan atau data sebagai halangan utama kepada penggunaan AI yang selamat, diikuti kekurangan peraturan dan piawaian pematuhan (49%).

Pengarah Urusan Malaysia, TrendAI, Goh Chee Hoh berkata, “Organisasi di Malaysia melaksanakan AI lebih pantas daripada keupayaan mereka mengurus risiko berkaitan, sekali gus mewujudkan jurang yang semakin melebar antara aspirasi dan pengawasan. Jurang ini turut dipengaruhi oleh perbezaan tahap kematangan tadbir urus dalam kalangan pemimpin perniagaan. Untuk merapatkan jurang ini, kepimpinan perlu bergerak melangkaui pendekatan keselamatan reaktif. Ia bermula dengan keterlihatan menyeluruh mengetahui dengan tepat bagaimana AI berinteraksi dengan data serta mewujudkan kerangka berpusat yang menggabungkan akauntabiliti dan pengawasan risiko dalam seni bina sistem.”

Beliau turut menyatakan bahawa piawaian MY-AI adalah langkah positif dalam menangani risiko seperti deepfake dan bias algoritma. Namun, ketika Malaysia mempercepatkan usaha menjadi negara AI menjelang 2030, organisasi perlu memberi tumpuan kepada tadbir urus yang kukuh dan daya tahan defensif bagi memastikan penggunaan AI yang pesat dapat diterjemahkan kepada masa depan digital yang mampan.

Ketua Platform & Perniagaan TrendAI, Rachel Jin berkata, “Organisasi bukan tidak sedar akan risiko, tetapi kekurangan keupayaan untuk menguruskannya. Apabila pelaksanaan didorong tekanan persaingan dan bukannya kematangan tadbir urus, AI akan dimasukkan ke dalam sistem kritikal tanpa kawalan yang mencukupi. Kajian ini mengukuhkan fokus kami untuk membantu organisasi mencapai hasil perniagaan kukuh dengan AI sambil mengurus risiko dengan baik.”

Risiko Pelaksanaan AI Dipacu Tekanan Semakin Meningkat

Risiko ini diperburuk oleh ketidakkonsistenan tadbir urus dan ketidakjelasan tanggungjawab terhadap risiko AI, yang kini semakin meluas. Dalam banyak kes, pasukan keselamatan terpaksa bertindak secara reaktif terhadap keputusan pelaksanaan AI dari pihak atasan, yang sering membawa kepada penggunaan alat AI tidak rasmi atau “shadow AI”.

Kajian ancaman terkini TrendAI menunjukkan penjenayah siber sudah mula menggunakan AI untuk mengautomasikan proses pengintipan, mempercepat kempen phishing dan menurunkan halangan kemasukan kepada jenayah siber, sekali gus meningkatkan kelajuan dan skala serangan.

Keyakinan terhadap AI Autonomi Masih Rendah

Keyakinan terhadap sistem AI yang lebih maju dan autonomi masih berada pada tahap perkembangan. Kurang daripada separuh (44%) pembuat keputusan perniagaan di Malaysia percaya AI berasaskan agen (agentic AI) mampu meningkatkan pertahanan siber secara signifikan dalam jangka masa terdekat, dengan kebimbangan berterusan terhadap akses data, penyalahgunaan dan kekurangan pengawasan.

Data menunjukkan kebimbangan utama organisasi adalah:

  • 57% melihat akses AI kepada data sensitif sebagai risiko terbesar
  • 45% bimbang arahan berniat jahat boleh menjejaskan keselamatan
  • 37% risau penyalahgunaan status AI yang dipercayai dan risiko pelaksanaan kod autonomi

Selain itu, 36% mengakui mereka kekurangan keupayaan pemantauan dan audit terhadap sistem ini, menimbulkan persoalan serius tentang kawalan selepas AI digunakan.

Hampir separuh (48%) organisasi menyokong mekanisme “kill switch” AI untuk menutup sistem sekiranya berlaku kegagalan atau penyalahgunaan, manakala lebih separuh masih belum pasti. Ini menunjukkan organisasi sedang bergerak ke arah AI autonomi tanpa kesepakatan jelas tentang cara mengekalkan kawalan apabila diperlukan.

Rachel Jin menambah, “AI berasaskan agen membawa organisasi ke dalam kategori risiko baharu. Kajian kami menunjukkan kebimbangan sudah jelas daripada pendedahan data sensitif hingga kehilangan pengawasan. Tanpa keterlihatan dan kawalan, organisasi sebenarnya melaksanakan sistem yang mereka sendiri belum faham sepenuhnya dan risiko ini hanya akan meningkat jika tiada tindakan diambil.”

Untuk laporan global penuh: Securing the AI-Powered Enterprise – Governance Gaps, Visibility Challenges and Rising Risk

*TrendAI melantik SAPIO Research untuk meninjau 3,700 pembuat keputusan IT dan perniagaan di 23 negara seluruh dunia.