Kerajaan Akan Pertimbang Cadangan Kelapa Dijadikan Komoditi Negara — Fadhillah

BANTING, 6 Ogos (Bernama) — Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan kelapa sebagai komoditi negara. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan oleh pekebun kecil mengenai perkara itu akan di bawa ke peringkat atasan untuk dibincangkan dan dipersetujui. 

“Ada juga cadangan tadi (daripada pekebun kecil) khususnya daripada sebelah Sabak Bernam Dan Tanjung Karang, meminta kalau dapat kelapa dimasukkan (dijadikan) sebagai komoditi. 

“Jadi Lembaga Koko Malaysia akan menjaga koko dan juga kelapa, ini kita akan bawa cadangan ke peringkat atasan untuk kita bincangkan sama ada boleh dipersetujui ataupun tidak dan bagaimana kita boleh melihatnya,” katanya kepada media selepas sesi santai mesra bersama pengusaha tanaman koko di kebun Lee’s Cocoa, di Tanjung Sepat, Selangor hari ini. 

Sesi tersebut merupakan salah satu daripada pengisian Program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung 2023 anjuran KPK. 

Sesi dialog bersama petani, usahawan dan komuniti koko dari sekitar negeri Selangor itu diadakan untuk mendengar isu dan permasalahan sektor penanaman koko serta mendapatkan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk mempertingkat pengeluaran biji koko dan pendapatan petani.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian