PM Anwar Umum Tambahan Geran iTekad Berjumlah RM6 Juta Untuk Bantu Usahawan PMKS

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Kerajaan akan menambah peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya golongan B40, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini akan menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad untuk tahun ini sebanyak RM10 juta, meningkat daripada RM4 juta yang telah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2023.

Katanya kerajaan bertekad untuk menghapuskan kemiskinan negara dan mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

“Kalau (iTekad) sudah berjaya dengan RM4 juta dana awalan Kementerian Kewangan, (beserta) andaian lebih banyak penyertaan bank dan ada lagi dana tambahan dari Bank Negara Malaysia (BNM), maka saya boleh tambah dari RM4 juta kepada RM10 juta untuk tahun ini,” katanya di Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di sini hari ini. 

iTekad merupakan program penaung yang diwujudkan oleh BNM bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan. 

Setiap program iTekad menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyeru lebih banyak institusi perbankan di Malaysia untuk menyertai inisiatif iTekad ini dalam masa terdekat.

“Setakat ini, kita ada 11 bank sahaja yang menyertai program iTekad dan saya harap dalam beberapa bulan ini, angka tersebut dapat mencecah kepada 20 institusi perbankan. 

“Kalau tidak, saya hendak minta untuk melihat senarai yang belum masuk dan kemudiannya dikembangkan kepada sektor-sektor swasta,” katanya. 

Beliau berkata penglibatan bank adalah penting kerana kerajaan akan lebih yakin dari segi kecekapan, kekerapan dan impaknya apabila bank pusat dan bank lain menguruskan inisiatif itu bersama-sama.

“Saya juga teliti tentang tahap kejayaannya kerana dari segi kos pengurusan, ia lebih rendah daripada beberapa agensi yang dikendali oleh pihak kementerian dan dari segi tekanan kewangan kepada kerajaan juga jauh lebih kurang,” jelas Anwar.

Justeru, beliau menegaskan penyertaan pihak perbankan penting untuk menjadikan inisiatif iTekad sebagai satu tonggak kejayaan sektor perbankan di Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Hyundai Motor Malaysia Pratonton ‘Wehicle’ Keluarga Baharu Hyundai STARGAZER di KLIMS 2026, Kini Dibuka Untuk Tempahan

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026 – Hyundai Motor Malaysia (HMY) menyuntik keterujaan baharu ke dalam Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 yang sedang berlangsung menerusi pratonton eksklusif pertengahan acara bagi Hyundai STARGAZER yang dinanti-nantikan. Sebagai pratonton awam untuk tempoh terhad, pameran khas ini memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri perkembangan rangkaian mobiliti Hyundai serta hala tuju produk masa depan yang progresif untuk pasaran Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada naratif pertumbuhan HMY selepas penubuhannya sebagai subsidiari langsung, pengenalan Hyundai STARGAZER baharu mengukuhkan komitmen jenama tersebut dalam menawarkan kenderaan yang versatil, inovatif dan berorientasikan gaya hidup yang memenuhi keperluan pengguna tempatan.

Pratonton di KLIMS 2026 ini menyerlahkan keupayaan Hyundai untuk mempelbagaikan portfolio tempatan dengan pantas, daripada kenderaan elektrik berprestasi tinggi kepada kenderaan keluarga serba guna, sekali gus memastikan terdapat sebuah kenderaan Hyundai premium dan inovatif yang sesuai untuk setiap fasa kehidupan rakyat Malaysia.

“Hyundai STARGAZER baharu ialah apa yang kami panggil sebagai sebuah ‘Wehicle’,” kata Puan Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia. “Ia bukan sekadar sebuah kereta, tetapi tentang orang yang berada di dalam dan di sekelilingnya. Kami percaya bahawa ‘WE’ dalam ‘WEhicle’ adalah bahagian yang paling penting. Oleh sebab ‘WE’ itu penting, Hyundai mereka bentuk kenderaan ini sebagai teman perjalanan yang pintar dan melindungi keluarga moden di Malaysia. Hyundai STARGAZER baharu menawarkan kelebihan dari segi keselamatan, teknologi dan kemudahan untuk setiap ahli keluarga.”

Rangkaian Produk Yang Semakin Berkembang

STARGAZER baharu yang bakal dilancarkan dijangka memperkukuh lagi landskap mobiliti keluarga di Malaysia. Direka dengan penekanan terhadap penggunaan ruang yang selesa, reka bentuk futuristik, kepraktisan harian dan teknologi pintar, ia dibangunkan sebagai teman gaya hidup ideal untuk perjalanan jauh, perjalanan harian dan aktiviti keluarga.

Dibina Untuk Keluarga Malaysia

Hyundai STARGAZER baharu tampil berbeza daripada reka bentuk konvensional dengan siluet aerodinamik yang moden serta lampu LED penuh berbentuk “H” di bahagian belakang yang menjadi identiti Hyundai.

Bagi memenuhi citarasa keluarga muda yang mahukan penampilan lebih berani, HMY turut memperkenalkan varian STARGAZER X di KLIMS. Varian berinspirasikan SUV ini dilengkapi bampar sporty, spoiler belakang sporty, overfender dan elemen penjenamaan berwarna hitam.

Di bahagian dalaman, kabin tiga baris tempat duduk direka sebagai ruang yang luas dan selesa untuk kehidupan keluarga moden, bukan sekadar kenderaan penumpang biasa. Ia menawarkan kemudahan premium menerusi teknologi yang mudah diakses dan mesra gaya hidup, termasuk paparan digital sehingga 10.25 inci, pengecas peranti tanpa wayar serta meja lipat terbina pada belakang tempat duduk untuk keselesaan penumpang.

Dikuasakan oleh enjin Smartstream 1.5 liter bersama transmisi Intelligent Variable Transmission (IVT) yang lancar, kenderaan ini mengutamakan keselamatan keluarga melalui pakej bantuan pemanduan Hyundai SmartSense ADAS, yang menawarkan ciri-ciri seperti Smart Cruise Control dengan fungsi Stop & Go.

Hyundai STARGAZER baharu juga akan hadir dengan jaminan yang mengubah landskap segmennya iaitu jaminan 8 tahun atau 160,000 kilometer.

Pratonton Eksklusif di MITEC

Pratonton Hyundai STARGAZER baharu merupakan antara tarikan utama KLIMS 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 21 Jun 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

Hyundai STARGAZER baharu kini dibuka untuk tempahan dengan tiga pilihan varian dan anggaran harga seperti berikut:

  • Style 7 tempat duduk: RM99,XXX
  • Prime 7 tempat duduk: RM109,XXX
  • X 6 tempat duduk: RM121,XXX

Pengunjung juga boleh memandu uji “WEhicle” terbaharu Hyundai ini bermula 16 Jun 2026 serta membuat tempahan terus di acara tersebut.

Pameran khas ini memberikan satu lagi sebab menarik untuk pembeli kereta dan keluarga mengunjungi pameran tersebut serta melihat sendiri Hyundai STARGAZER baharu dari dekat sebelum ia membuat kemunculan rasmi di bilik pameran dalam masa terdekat.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.hyundai.com/my/en