Sektor Kewangan Kekal Paling Utama Alami Serangan Siber Di Malaysia Tahun Ini – Kaspersky

BALI (Indonesia), 27 Ogos (Bernama) — Sektor kewangan kekal sebagai sektor paling utama mengalami serangan siber di Malaysia tahun ini walaupun kesedaran dan daya tahan siber yang semakin meningkat dalam kalangan institusi kewangan, demikian menurut firma keselamatan siber global Kaspersky.

Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata mengikut rapat sektor kewangan ialah sektor kerajaan serta sektor penjagaan kesihatan yang mana pancingan data adalah bentuk serangan siber yang paling lazim berlaku.

Trend yang sama turut dilihat berlaku di negara Asean lain tahun ini, katanya.

“Sektor kewangan adalah lubuk wang, manakala sektor kerajaan dan penjagaan kesihatan mengandungi banyak data termasuk data peribadi yang mana data tersebut mempunyai nilai yang tinggi untuk diambil kesempatan oleh penyerang siber.

“Terdapat juga komponen pengintipan dalam sektor-sektor ini, manakala bentuk serangan lain yang kita lihat lebih kerap berlaku termasuk serangan ransomware (perisian tebusan) di mana penyerang melakukan ransomware-as-a-service (RaaS), serta cryptojacking,” katanya kepada Bernama di luar acara Kaspersky Cyber Security Weekend 2023, yang diadakan di sini.

Namun begitu, Yeo menekankan bahawa walaupun menghadapi paling banyak serangan, sektor kewangan telah mencatatkan sedikit peningkatan dalam daya tahan siber apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan bank-bank untuk mengikuti rangka kerja Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT).

Kerjasama dengan agensi kerajaan

Mengenai ancaman dan risiko serangan siber yang semakin meningkat, dari perspektif kerajaan, Yeo menegaskan bahawa kerajaan perlu menangani isu itu dari sudut pandangan peraturan dan juga dasar.

“Bagi pihak kami, kami bekerjasama rapat dan menjalin kolaborasi dengan agensi kerajaan iaitu Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Cybersecurity Malaysia (CSM) agar kami boleh berkongsi maklumat dengan mereka dan kemudian mereka mendapat isyarat awal daripada kami jika kami melihat ada apa-apa yang berlaku,” katanya.

Pada tahun ini, NACSA telah melawat Pusat Data dan Pusat Ketelusan Kaspersky di Switzerland manakala CSM mengadakan lawatan ke Pusat Ketelusan Kaspersky di Belanda, baru-baru ini.

“Kerajaan Malaysia sedang menimbang kemungkinan untuk melakukan beberapa perubahan ke atas kedua-dua agensi yang terlibat dalam keselamatan siber itu dan kami masih menunggu hasil daripada lawatan baru-baru ini.

“Sudah tentunya kami masih giat berbincang dengan kedua-dua pasukan sambil kami menunggu keputusan akhir,” kata Yeo.

Sementara itu dari segi korporat, beliau berkata, organisasi perlu belajar dan melakukan usaha wajar mereka dengan melaksanakan proses perkongsian adil untuk melindungi persekitaran mereka sendiri, dan dari perspektif pengguna, kesedaran adalah cara paling berkesan.

“Proses pelaksanaan mengguna pakai keselamatan siber adalah langkah penting seterusnya bagi industri, di Kaspersky, kami akan sentiasa menghubungi industri setiap kali ada perkara berlaku untuk ditangani dengan segera.

“Sebaik sahaja kami melihat sebarang serangan yang akan berlaku atau mendengar desas desus daripada laman web gelap, kami sudah pastinya akan bekerjasama dengan mereka (industri),” katanya. 

Masa depan keselamatan siber

Dengan ekonomi digital semakin berkembang pesat di seluruh rantau Asean pada jangkaan kadar pertumbuhan 20 peratus tahun ke tahun, lebih banyak data akan digunakan oleh industri, justeru teknologi maklumat (IT) dan teknologi operasinya (OT) perlukan lebih perlindungan.

Kaspersky mengumumkan bahawa syarikat itu mengesan purata 400,000 serangan hasad baharu setiap hari dan telah bertindak balas terhadap pengesanan itu dengan menggunakan teknologi terkini.

“Tidak ada cara bagi syarikat keselamatan siber untuk memproses semua pengesanan baharu ini dan di sinilah kecerdasan buatan (AI) berfungsi, kerana kami mengesan kemunculan perisian hasad baharu atau cara baharu melaksanakan perkara yang melibatkan risiko siber,” kata Yeo.

Sementara itu, Kasperksy berkata AI telah muncul sebagai alat yang berkuasa dalam bidang keselamatan siber dan seterusnya dengan ketibaan ChatGPT pada November 2022, mencetuskan perdebatan dan perbualan tentang AI.

Ia menunjukkan impak ketara daripada teknologi rangkaian neural ini dan mendedahkan potensi AI yang boleh mengganggu industri di seluruh dunia.

Sejak itu, Kasperksy telah melakukan revolusi dengan mencari cara untuk membangunkan sistem IT dengan perlindungan “semula jadi” – Kekebalan Siber, satu konsep yang membayangkan bahawa kebanyakan jenis serangan siber tidak berkesan dan tidak boleh menjejaskan fungsi kritikal satu-satu sistem dalam senario penggunaan yang ditentukan pada tahap reka bentuk.

“Kaspersky Cyber Immunity ialah satu pendekatan yang telah kami tandakan dengan tanda dagangan baru-baru ini di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Ia merangkumi sistem reka bentuk selamat yang memungkinkan untuk mencipta penyelesaian yang hampir mustahil untuk dikompromi dan yang meminimumkan bilangan potensi kelemahan.

“Dalam era yang mana teknologi boleh digunakan oleh orang baik dan orang jahat, keselamatan siber tradisional sudah tidak lagi mencukupi.

“Kita perlu merevolusikan pertahanan kita untuk memastikan kita mencipta dunia digital yang lebih selamat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kaspersky, Eugene Kaspersky.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.