MITI Lebih Selektif Pilih FDI, Mahu Pelaburan Berkualiti, Manfaatkan Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan lebih selektif dalam memilih kemasukan syarikat asing ke negara ini dengan keutamaan kepada syarikat yang berkualiti dari segi pelaburan, kata Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Isham Ishak.

Beliau berkata strategi untuk mempunyai pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti lebih penting kerana kerajaan mahu kesan limpahan FDI dapat dimanfaatkan dan dinikmati rakyat, antaranya menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan penggunaan teknologi terkini. 

“Kalau kita melihat FDI tinggi, ini tidak bermaksud negara mencapai satu kejayaaan dan jika FDI rendah, ini tidak bermakna negara tidak berjaya.

“Melihat kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan dilancarkan Jumaat ini, kita akan menilai FDI yang lebih berkualiti termasuk dari segi teknologi yang dikongsi atau dibina bersama melalui proses tambah nilai atau penciptaan nilai.

“Ini sekali gus dapat memantapkan rantaian bekalan agar ekosistem dapat diperkukuhkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pembukaan hab teknologi pertama Demant di luar Eropah di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Jabatan Perangkaan Malaysia berkenaan FDI yang mencatat aliran masuk bersih yang lebih rendah sebanyak RM3.1 bilion pada suku kedua 2023 berbanding RM12.0 bilion pada suku sebelumnya.  

Isham berkata FDI yang rendah pada suku kedua tidak memberikan sentimen negatif kepada pelabur asing berikutan pelabur menumpukan kepada jumlah kumpulan bakat negara yang membanggakan, infrastruktur maju, sistem politik yang kukuh dan polisi kerajaan yang komprehensif serta dapat menyokong operasi syarikat masing-masing di negara ini. 

“Antara buktinya, syarikat Demant dari Denmark ini telah membuka hab teknologi pertama mereka di luar Eropah di Kuala Lumpur dan bakal menempatkan 65 peratus pasukan jurutera dan pakar global yang akan menjadi peneraju dalam membangunkan penyelesaian perisian yang menggabungkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan,” kata Isham. 

Demant adalah kumpulan penjagaan kesihatan dan teknologi pendengaran terkemuka di dunia yang menggajikan kira-kira 20,500 pekerja di seluruh dunia dan menyediakan perkhidmatan di130 negara.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian