TNB Diminta Kemuka Pelan Pembangunan Grid Bagi Integrasi TBB Lebih Tinggi – Nik Nazmi

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Kerajaan telah meminta Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk  mengemukakan pelan hala tuju pembangunan grid untuk integrasi tenaga boleh baharu (TBB) yang lebih tinggi sebagai panduan teknikal dalam peningkatan serta menambah baik pelaksanaan dasar dan inisiatif tenaga lestari. 

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata aspek itu perlu mengambil kira pengembangan kenderaan elektrik dan pusat data, integrasi kuasa rentas sempadan dan penggunaan projek TBB yang lebih meluas, termasuk sepertimana yang diumumkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Saya dimaklumkan bahawa prestasi sistem grid semasa TNB adalah setanding dengan negara-negara maju iaitu dengan 0.18 Minit Sistem dan SAIDI (Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem) selama 45.06 minit.

“Bagi memastikan kita terus kekal maju, penambahbaikan selanjutnya terhadap sistem grid bagi kemudahan peralihan tenaga yang disasarkan, adalah wajar,” katanya dalam ucapan pada hari kedua Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran TNB di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, kerajaan Malaysia juga telah melaksanakan langkah penting dalam usaha meningkatkan dasar serta struktur kawal selia di samping memupuk ekosistem komprehensif untuk mempercepat aspek peralihan tenaga tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha transformasi penting pengeluaran dan penggunaan tenaga tersebut adalah sesuatu yang masih diperlukan.

“Ini melibatkan pelaburan besar dalam pembangunan, pengukuhan serta pemodenan grid tersebut. Malah, dianggarkan RM180 bilion diperlukan sehingga 2050 untuk menampung usaha membangunkan grid yang kukuh serta fleksibel ini,” katanya.

— BERNAMA

TAG: Nik Nazmi Nik Ahmad, NETR, TNB, TBB, persidangan

Previous ArticleNext Article

Harga Barang Dijangka Terkawal Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR: Harga barang di Malaysia dijangka kekal terkawal pada separuh kedua tahun ini seandainya kenaikan harga minyak dunia hanya bersifat sementara, demikian menurut penganalisis.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berkata bagi separuh kedua tahun ini, harga barang dijangka masih terkawal tetapi berisiko meningkat secara berperingkat, terutama jika harga tenaga dan kos logistik terus meningkat.

Beliau berkata, tekanan inflasi mungkin lebih ketara dalam kategori makanan dan pengangkutan, namun langkah kerajaan seperti kawalan harga bersasar serta subsidi terpilih boleh membantu mengekang kenaikan mendadak.

“Secara keseluruhan, inflasi dijangka kekal dalam julat terkawal, tetapi dengan risiko ke arah kenaikan,” katanya kepada BH.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan, pula berkata pihaknya masih menjangkakan harga barangan kekal terkawal pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata, walaupun konflik di Asia Barat meningkatkan risiko kos import, kesannya dijangka terhad sekiranya kenaikan harga minyak hanya bersifat sementara.

Menurutnya, mekanisme subsidi bahan api sedia ada membantu mengurangkan kesan langsung kepada pengguna, manakala sebarang peningkatan kos pengangkutan dan logistik lazimnya mengambil masa sebelum dipindahkan kepada harga pengguna.

Selain itu, Mohd Sedek berkata, pelbagai inisiatif kerajaan bagi mengawal inflasi tolakan kos, termasuk penyasaran subsidi, pemantauan harga barangan keperluan serta usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan, dijangka terus membantu mengekang tekanan inflasi.

“Oleh itu, kami masih mengekalkan unjuran inflasi sekitar 2.0 peratus bagi keseluruhan tahun 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peralihan kepada pasaran seperti perdagangan dan pelaburan yang menghala ke arah BRICS dan Eropah Timur perlu diberi perhatian khusus bagi memastikan komuniti perniagaan serta perundangan dapat diselarikan bagi memudahkan jalinan hubungan diplomatik dan perniagaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Beliau berkata, sekiranya harga bahan api kembali meningkat, maka terdapat kemungkinan kadar inflasi juga meningkat memandangkan tidak semua sektor ekonomi mendapat subsidi bahan api.

Justeru, katanya, risiko inflasi yang meningkat adalah antara risiko makroekonomi yang boleh berlaku pada separuh kedua 2026.

— Berita Harian