Demant Buka Hab Teknologi Pertama Luar Eropah Di KL

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Demant dari Denmark, kumpulan penjagaan kesihatan pendengaran dan teknologi audio terkemuka, membuka hab teknologi pertamanya di luar Eropah di sini untuk menyokong perjalanan pertumbuhannya dan meraih bahagian yang lebih besar daripada pasaran penjagaan kesihatan pendengaran. 

Selepas carian global yang meluas dan menilai beberapa bandar, Pengurus Besar Demant Technology and Innovation Hub Christian Daugbjerg berkata kumpulan menyenarai pendek Malaysia untuk kumpulan tenaga kerja yang menarik dan sokongan kerajaan yang baik, seperti daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta InvestKL.

“Dari segi kedudukan geografi, pada separuh pertama 2023, perniagaan Demant di Asia mengatasi semua pasaran lain dengan pertumbuhan sebanyak 34 peratus. 

“Pejabat KL ini akan memberi tumpuan kepada dua bidang pada masa ini. Pertama, ialah penciptaan dan pembangunan perisian untuk bahagian diagnostik (mendiagnosis kehilangan pendengaran) dan kedua, untuk pakar teknologi maklumat (IT) dalam bidang awan, keselamatan siber, data raya dan analitik,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pejabatnya di sini, hari ini.

Daugbjerg berkata syarikat giat mengambil pekerja dan merancang untuk mengambil lebih 200 pakar tempatan menjelang 2024, dengan peningkatan kepada 300 pada akhir 2026.

“Kami adalah syarikat yang memfokus kepada teknologi dan kami mahu pakar yang mempunyai minat yang mendalam berikutan kami mempunyai minat yang tinggi dalam bidang pembangunan perisian, kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, keselamatan siber dan kemahiran IT am,” katanya. 

KL akan menjadi hab diagnostik terbesar Demant di luar Eropah, menempatkan 65 peratus daripada pasukan jurutera dan pakar globalnya yang akan menerajui pembangunan penyelesaian perisian. 

Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri Isham Ishak yang merasmikan acara itu, berkata melalui kerjasama dengan Demant, Malaysia terus meraih momentum sebagai hab yang dinamik untuk teknologi dan inovasi di Asia.

“Kepada rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat teknologi dan inovasi asing ini, tunjukkan kepada mereka bahawa kita rakyat Malaysia boleh memenuhi jangkaan, matlamat dan percaya terhadap keupayaan kita,” katanya dalam ucapannya.

Pasaran penjagaan kesihatan pendengaran global dianggarkan bernilai kira-kira RM102 bilion, dengan purata kadar pertumbuhan kira-kira empat peratus setahun. 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih lima peratus daripada jumlah penduduk dunia atau 430 juta orang, hilang pendengaran. 

Menjelang 2050, kehilangan pendengaran boleh memberi impak kepada satu daripada 10 orang atau lebih 700 juta. 

Demant adalah kumpulan penjagaan kesihatan dan teknologi pendengaran terkemuka dunia dibina atas warisan penjagaan, kesihatan dan inovasi sejak 1904. 

Beribu pejabat di Denmark dan disenaraikan di Nasdaq Copenhagen, Demant menggaji kira-kira 20,500 orang di seluruh dunia, mempunyai pejabat di 30 buah negara dan mempunyai penyelesaian di 130 negara.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian