Malaysia Boleh Tarik Lebih Ramai Pelabur Susulan Peralihan Rantaian Bekalan Di Asia

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) — Malaysia mempunyai potensi yang amat besar untuk menarik lebih ramai pelabur sekiranya negara ini memanfaatkan peralihan dalam rantaian bekalan di Asia apabila syarikat multinasional mempelbagaikan hab pengeluaran mereka di rantau ini.

Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelbagai syarikat multinasional kini cuba memendekkan rantaian nilai masing-masing dan mempelbagaikan sumber pengeluaran serantau memandangkan mereka membina daya tahan rantaian bekalan.

Beliau yang memetik kajian oleh Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) berkata hasil dapatan menunjukkan langkah pemindahan semula hab pembuatan yang semakin beralih dalam lingkungan rantau Asia dilihat menjadi trend jangka masa panjang pascapandemik.

“Ditambah dengan transformasi struktur China ke arah ekonomi dipacu pengetahuan, berpendapatan tinggi, semua ini akan menstrukturkan semula aliran perdagangan utama dan rantaian nilai global (GVC) secara amat ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2023 sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di sini, pada Selasa.

GHaS 2023 dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Zafrul berkata sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12, pihaknya akan terus memacu industri halal berdasarkan dua pelan induk utama — Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

HIMP 2030 bertujuan meransang pertumbuhan industri halal yang berkualiti tinggi, inovatif dan berdaya saing.

Selain membangunkan daya saing syarikat tempatan, ia juga menyasar untuk membina bakat, mengukuhkan standard, perkhidmatan akreditasi dan pensijilan, merapatkan jurang akses kepada sokongan kewangan Islam dan memastikan keselamatan dan integriti perniagaan halal melalui ekosistem logistik yang teguh.

“Ringkasnya, ia memacu pembangunan sosio-ekonomi yang lebih mampan, seimbang dan inklusif,” katanya.

HIMP 2030 dan NIMP 2030 saling melengkapi antara satu sama lain.

Beliau berkata melalui misi NIMP 2030, Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) berusaha mempertingkatkan penerapan teknologi dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)/kemampanan untuk membina kekompleksan ekonomi dan daya saing industri halal.

“Transformasi industri penting, antara lain, untuk melonjakkan produktiviti dan gaji pekerja. Seterusnya, dengan peningkatan kekompleksan produk, sektor eksport kita akan menjadi lebih berdaya tahan terhadap kejutan permintaan atau penawaran dalam pasaran global,” katanya.

Tengku Zafrul berkata dari segi pembangunan modal insan, Halal Development Corporation Bhd (HDC) menyediakan pelbagai program latihan yang sentiasa dikemas kini, seiring dengan permintaan industri dan perubahan pasaran semasa.

Beliau berkata ini memastikan tenaga kerja memiliki pengetahuan menyeluruh dalam bidang halal dan perkara itu amat penting dalam memacu pertumbuhan industri halal dan ekonomi negara.

“Justeru, GHaS tahun ini mengetengahkan seminar profesional halal selaras dengan agenda HIMP 2030, yang bertujuan mewujudkan 700,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Pada 2022, eksport halal Malaysia hampir mencecah RM60 bilion (RM59.46 bilion), iaitu lonjakan 64 peratus daripada angka yang dicatatkan pada 2021.

Kategori produk makanan dan minuman merupakan penyumbang terbesar kepada eksport halal, dengan pertumbuhan 58 peratus.

Meskipun menghadapi cabaran ekonomi global, pertumbuhan itu jelas menyerlahkan daya tahan industri halal dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.