Misi Pelaburan MITI Ke Singapura Raih FDI Berjumlah RM20 Bilion Untuk Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah meraih sejumlah RM20 bilion pelaburan komited dari Singapura sejak Januari 2023, dengan yang  terkini RM7 bilion pelaburan langsung asing (FDI) daripada pelabur melalui misi pelaburan baru-baru ini ke negara itu, diketuai oleh Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Kementerian itu berkata beberapa syarikat termasuk INV New Material Technology, Agrocorp dan SIA Engineering Company secara kolektif komited untuk melabur RM7 bilion di Malaysia dan pelaburan itu dijadual dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“INV New Material Technology ialah anak syarikat Senior International (Singapore) and Shenzhen Senior Technology Material dan syarikat induknya ialah perusahaan terkemuka dalam industri pemisah bateri litium di China,” kata MITI dalam satu kenyataan.

Katanya, INV New Material Technology merancang untuk membina kemudahan pembuatan tercanggih untuk menghasilkan pemisah bateri untuk kenderaan elektrik (EV).

MITI berkata kemasukan satu lagi pengeluar komponen EV utama adalah rangsangan besar bagi matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) untuk menjadikan Malaysia hab serantau bagi industri EV, dan pelaburan ini juga dijangka mewujudkan sehingga 4,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Sementara itu, kementerian turut menambah Agrocorp, firma komoditi pertanian global yang berpengkhususan dalam penjualan produk makanan ruji seperti gandum, kekacang dan beras kepada pengeluar makanan terkemuka di rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah, merancang untuk menubuhkan kemudahan di Johor untuk mengeluarkan bahan ramuan makanan berasaskan tumbuhan.

Agrocorp mula menjalankan perdagangan komoditi pertanian pada tahun 1990 dan sejak itu telah berkembang untuk mencapai perolehan lebih US$3 bilion (US$1=RM4.68), mengendalikan lebih daripada 30 produk komoditi pertanian di 50 negara.

Dalam pada itu, sebuah lagi syarikat tersenarai Singapura, SIA Engineering Company (SIAEC) yang pakar dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di rantau Asia-Pasifik, juga telah memulakan beberapa pelaburan termasuk aktiviti pembaikan komponen dan penyelenggaraan talian sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhannya di rantau ini.

SIAEC mempunyai pangkalan pelanggan lebih daripada 80 syarikat penerbangan antarabangsa dan pengeluar peralatan aeroangkasa. Syarikat itu berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebahagian daripada rangkaian MRO mereka.

Menurut Tengku Zafrul, pengumuman pelaburan komited berjumlah RM7 bilion baru-baru ini dari republik itu adalah bukti daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dan mencerminkan hubungan yang terjalin lama serta saling menguntungkan antara Malaysia dan Singapura dalam perdagangan dan pelaburan.

“Malaysia sentiasa properdagangan, properniagaan dan propelaburan dan kita komited dalam memperhalusi proses pelaburan, memastikan pelabur, tempatan dan asing, mempunyai pengalaman yang lancar apabila mereka memilih Malaysia.

“Kita mahu memudahkan prosedur, menawarkan insentif menarik, dan menyediakan persekitaran kawal selia yang stabil dan telus,” tambahnya.

Tengku Zafrul berkata kementerian dan agensinya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), akan terus mendapatkan pelaburan berkualiti tinggi, strategik dan mampan yang bukan sahaja akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia serta meningkatkan pembangunan ekonomi tempatan, tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan baru.

Semasa misi perdagangan, delegasi MITI turut mengadakan pertemuan dengan wakil dari A.P. Moller – Maersk, sebuah syarikat logistik kontena bersepadu yang beribu pejabat di Copenhagen, yang beroperasi di 130 negara dan menggaji kira-kira 100,000 orang di seluruh dunia.

Maersk kini sedang meninjau tapak untuk mengembangkan hab logistiknya di Malaysia melalui lebih 10 projek infrastruktur logistik pintar strategik.

Syarikat itu telah memulakan operasinya di Malaysia sejak 1974, dan hari ini, ia menggaji lebih 1,100 kakitangan.

Misi pelaburan ini, yang disertai pegawai kanan MITI dan MIDA, merupakan satu pencapaian penting ke arah merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab inovasi global berteknologi tinggi dengan ekosistem pelaburan yang berdaya tahan dan mampan.

Kementerian itu berkata sejumlah RM13 bilion pelaburan komited sebelum ini diperoleh daripada misi pelaburan pertama ke Singapura pada Januari.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

UOB Malaysia Perkukuh Tawaran Pengurusan Kekayaan Untuk Gandakan Asas Pelanggan Mewah Menjelang 2028

Kuala Lumpur, Malaysia, 18 Jun 2026 – UOB Malaysia hari ini mengumumkan rancangan untuk menggandakan asas pelanggan mewahnya menjelang 2028 dengan memperkukuh tawaran pengurusan kekayaan bagi memenuhi tahap pendapatan yang semakin meningkat, kecanggihan kewangan yang lebih tinggi, dan jangkaan pelanggan yang terus berkembang.

Menurut Laporan Kekayaan Global 2026 oleh Boston Consulting Group, segmen pelanggan mewah dan individu bernilai bersih tinggi (HNW) sedang berkembang pesat di pasaran seperti Malaysia, namun segmen ini masih kurang mendapat perkhidmatan dari segi akses kepada nasihat dan sokongan. Sebahagian besar kekayaan masih tertumpu pada deposit, menunjukkan akses yang terhad kepada penyelesaian pelaburan berasaskan khidmat nasihat.

Dengan memanfaatkan kesalinghubungan ASEAN yang teguh, Kumpulan UOB berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan segmen ini, bersandarkan aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah SGD$210 bilion (atau kira-kira RM653 bilion) merentas perniagaan Perbankan Runcitnya. Di Malaysia, Bank telah menyaksikan momentum yang kukuh dalam perniagaan pengurusan kekayaan, dengan AUM yang dilaburkan meningkat 30 peratus sejak 2024, didorong terutamanya oleh penyelesaian pendapatan tetap yang mantap, menunjukkan pendekatan khidmat nasihat kekayaan Bank yang berdisiplin. Bank juga menyaksikan semakin ramai pelanggan mewahnya mempelbagaikan bahagian simpanan dan aset boleh labur yang lebih besar ke dalam produk pelaburan, sekali gus menandakan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan khidmat nasihat Bank untuk melindungi dan mengembangkan kekayaan mereka melalui pendekatan berasaskan portfolio.

Puan Elaine Fan, Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi Negara berkata, “Budaya pelaburan di Malaysia sedang berkembang dengan pesat, namun terdapat jurang yang jelas antara apa yang diperlukan oleh pelanggan dan apa yang biasanya ditawarkan oleh model perbankan tradisional. Tumpuan kami adalah untuk merapatkan jurang tersebut dengan mengukuhkan hubungan bersama pelanggan serta menyokong mereka dengan khidmat nasihat yang tepat apabila mereka beralih kepada strategi kekayaan jangka panjang yang lebih terpelbagai. Tawaran Privilege Banking yang dipertingkat ini adalah berlandaskan pengaturan yang dipercayai dan dipacu khidmat nasihat, disokong oleh rangkaian serantau serta kepakaran pelaburan kami yang kukuh.”

Menyampaikan Tawaran Privilege Banking yang Dipertingkat

Bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap khidmat nasihat berfokuskan portfolio serta akses kepada pelbagai tawaran pelaburan, UOB Malaysia telah menambahkan tawaran Privilege Banking berdasarkan tiga tonggak utama: Khidmat nasihat kekayaan berteraskan nilai yang disokong oleh pandangan pakar daripada Pejabat Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Bank Persendirian, Bimbingan disediakan secara berpusat, serta Keutamaan kepada keistimewaan gaya hidup dan kesihatan.

Memperkukuh Tawaran melalui Pendekatan Nasihat Kekayaan Berteraskan Nilai

Pendekatan Khidmat Nasihat Kekayaan Bank dipandu oleh tiga nilai yang berkekalan: Tanggungjawab, Kehematan dan Kecemerlangan. Nilai-nilai ini mencerminkan falsafah teras Bank dalam membantu pelanggan mencapai matlamat kekayaan jangka panjang mereka dengan melindungi apa yang telah mereka bina, sambil mengembangkannya secara mampan untuk masa hadapan. Ini dilaksanakan melalui kepakaran dalam membina portfolio yang terpelbagai dan berdaya tahan bagi menjana pendapatan yang konsisten, mengekalkan modal dan merebut peluang pasaran untuk pertumbuhan. Melalui semakan portfolio secara berkala, pelanggan memperoleh pandangan tepat pada masanya daripada Pejabat Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Bank Persendirian serantau Bank yang diiktiraf dalam industri, sekali gus membantu mereka mengikuti perkembangan global dan trend pasaran yang membentuk keputusan pelaburan mereka.

Penasihat Pelanggan Khusus yang Sama dengan Bimbingan Berteraskan Khidmat Nasihat yang Dipertingkat

Pelanggan Privilege Banking menerima khidmat nasihat peribadi, bimbingan dan sokongan perkhidmatan daripada Penasihat Pelanggan yang khusus, disokong oleh pasukan pakar kekayaan yang dilantik merentas pelaburan, perbendaharaan, insurans dan gadai janji. Selain deposit, pendekatan Peruntukan Aset Strategik membolehkan pelanggan mendapat akses kepada pelbagai penyelesaian pelaburan seperti Amanah Saham, Bon Runcit, Pelaburan Berstruktur, Pertukaran Asing, Emas, Bankasurans dan perancangan legasi.

Menyampaikan Nilai Bermakna Melangkaui Pencapaian Kewangan

Sebagai tambahan kepada khidmat nasihat kekayaan, pelanggan akan menikmati pengalaman menjamu selera dan pengembaraan yang dipilih khas melalui perkongsian global Bank dengan Michelin Guide, serta akses eksklusif ke pelbagai restoran terkemuka di seluruh ASEAN menerusi program gaya hidup dan santapan, Asia’s Finest Tables.

Selain akses keutamaan ke acara hiburan tajaan UOB di seluruh rantau, tawaran ini dipertingkat lagi melalui kerjasama strategik UOB di Malaysia yang menyediakan peluang pemerkayaan untuk seluruh keluarga, termasuk Rondo Production, bagi menyokong tawaran Generasi Akan Datang Bank melalui inisiatif pendidikan muzik klasik berstruktur; dan Sunway Healthcare Group, bagi menyokong kesihatan dan kesejahteraan pelanggan. Melalui tawaran yang dipertingkat ini, pelanggan UOB Privilege Banking dan seorang tetamu pengiring akan menikmati diskaun 30 peratus untuk pakej saringan kesihatan terpilih di Pusat Perubatan Sunway di Sunway City, Velocity, Damansara, Ipoh dan Pulau Pinang sehingga 31 Julai 2026.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang tawaran Privilege Banking UOB yang dipertingkat, sila layari www.uob.com.my