BNM: Mikro, Perniagaan Kecil Terus Menikmati Urus Niaga Kos Sifar Melalui QR DuitNow

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Bank-bank utama dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank akan mengecualikan yuran transaksi untuk perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran DuitNow QR, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Perniagaan mikro dan kecil akan terus menikmati transaksi kos sifar , manakala bagi pelanggan individu, penggunaan DuitNow QR untuk membuat pembayaran tidak akan dikenakan caj tambahan.

BNM menekankan DuitNow QR kekal sebagai kaedah pembayaran yang berpatutan serta kos efektif.

“Bagi perniagaan, sebarang yuran transaksi yang dikenakan ke atas bayaran QR kekal serendah, atau lebih rendah daripada, yuran yang dikenakan ke atas pembayaran menggunakan kad debit.

Perniagaan menggunakan DuitNow QR sebagai kaedah pembayaran juga tidak perlu menanggung kos berulang untuk penyewaan terminal tempat jualan (POS) bagi saluran pembayaran berasaskan kad atau kos overhed dan tambahan pentadbiran untuk pengendalian pembayaran tunai,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan untuk menangani kebimbangan mengenai pengenaan yuran urus niaga oleh beberapa pemeroleh ke atas perniagaan yang menerima pembayaran DuitNow QR mulai 1 Okt 2023, berikutan tamatnya penepian yuran sementara yang diperkenalkan pada 2019.

Yuran transaksi itu bertujuan untuk menampung kos termasuk pelaburan yang diperlukan oleh industri dalam mengekalkan sistem pembayaran mereka, selain keselamatan siber dan kawalan pencegahan penipuan, bagi mengekalkan standard perkhidmatan serta keselamatan yang tinggi untuk perkhidmatan pembayaran

Sementara itu, BNM menjelaskan industri akan mengambil langkah dalam meminimumkan potensi kesan yuran transaksi ke atas perniagaan kecil.

Bank-bank utama serta penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank terpilih, yang menguruskan 75 peratus perniagaan yang kini menerima pembayaran DuitNow QR, telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengetepikan yuran transaksi untuk perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran DuitNow QR

Di samping itu, pengendali DuitNow QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), akan memperuntukkan sumber untuk membantu membiayai kos yang ditanggung oleh pemeroleh yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran DuitNow QR.

“Bersama-sama, langkah ini akan membolehkan perniagaan mikro dan kecil terus menikmati perkhidmatan pembayaran DuitNow QR pada kos sifar, sambil memastikan perkhidmatan pembayaran QR kekal cekap, boleh dipercayai serta selamat kepada semua pengguna.

“BNM kekal komited sepenuhnya untuk menyokong penggunaan meluas digital pembayaran di Malaysia melalui ekosistem pembayaran yang bertenaga, selamat dan inklusif yang juga mampan dalam jangka panjang,” tambahnya.

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama