ASM 3 Umum Agihan Pendapatan Berjumlah RM681.96 Juta

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM681.96 juta untuk dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2023.

Pembayaran itu memanfaatkan 563,460 pemegang unit yang pada masa ini memiliki 15.2 bilion unit.

PNB berkata pengagihan pendapatan sebanyak 4.50 sen seunit melebihi penanda aras bagi pulangan deposit tetap 12 bulan Maybank pada paras 2.86 peratus sebanyak 164 mata asas bagi tahun kewangan sehingga 27 Sept, 2023.

“Dana itu mencatatkan pendapatan realisasi bersih sebanyak RM653.88 juta setakat 26 Sept, 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PNB berkata pendapatan untuk ASM 3 diperoleh daripada keuntungan yang direalisasikan, dividen dan pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Dana itu juga meneruskan strategi kepelbagaiannya sementara pasaran ekuiti tempatan mendapat manfaat daripada kembalinya keyakinan pelabur asing dan pasaran global mengalami pulangan positif daripada revolusi kecerdasan buatan (AI) generatif,” katanya. 

PNB menyatakan pengiraan pengagihan pendapatan ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana berkenaan.

“Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Okt, 2023,’’ tambah kenyataan itu.

Katanya urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 27 hingga 30 Sept, 2023.

“Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Oktober 2023, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 2 Okt, 2023,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.