LTAT Mampu Kurangkan Kebergantungan Pendapatan Melalui Penstrukturan Boustead – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) — Penstrukturan semula Boustead Holdings Bhd penting bagi membolehkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengurangkan kebergantungan pendapatan daripada syarikat tersebut, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pengurangan pemegangan dalam Boustead akan memberi impak positif jangka panjang kepada LTAT  yang menguruskan dana pencen untuk angkatan tentera itu.

Menurutnya, impak positif tersebut termasuklah meningkatkan kepelbagaian aset daripada hampir 50 peratus kepada 15 peratus sahaja bagi Boustead dan meningkatkan pelaburan aset mudah cair daripada hanya 20 peratus kepada sekurang-kurangnya 60 peratus.

“Ia juga termasuklah memperoleh semula jumlah pelaburan LTAT dalam Boustead sebanyak RM3.3 bilion bagi membolehkan LTAT melabur semula di dalam aset yang berdaya saing dan mampu memberi pulangan yang stabil dan konsisten serta meningkatkan nilai aset pelaburannya yang kini bernilai RM10 bilion melalui program penstrukturan semula Boustead,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam sesi penerangan menteri mengenai isu dan cabaran yang dihadapi LTAT di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau berkata, sekiranya penstrukturan itu tidak dilaksanakan, Boustead tidak akan berupaya untuk melunaskan obligasi kewangan dan akan mencetuskan ‘cross default’ (kemungkiran silang) ke atas semua pinjaman di bawah Boustead sebanyak RM6.8 bilion.

Selain itu, katanya, Boustead juga berisiko berdepan muflis yang boleh mengakibatkan separuh daripada nilai dana persaraan LTAT iaitu hampir RM5 bilion merosot dan terhapus.

Sementara itu, mengenai cadangan Tawaran Am ke atas semua saham anak syarikat Boustead, Boustead Plantations Bhd, beliau berkata, Kementerian Kewangan bersetuju menyediakan Jaminan Kerajaan kepada LTAT bagi mendapatkan pinjaman sebanyak RM2 bilion daripada institusi kewangan untuk melaksanakan tawaran tersebut.

“Bagi memastikan Jaminan Kerajaan ini dimanfaatkan, saya akan memastikan pihak LTAT akan melaksanakan penstrukturan mengikut Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25),” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.