SITA Tawar Kios Daftar Masuk, Serahan Bagasi Sendiri ERL Di Terminal Udara KL

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) — Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan melengkapkan Terminal Udara KL di Stesen KL Sentral di sini dengan perkhidmatan kios daftar masuk dan serahan bagasi sendiri pada suku kedua 2024 menerusi kerjasama dengan penyedia teknologi penerbangan, SITA.

Menurut kenyataan pada Isnin, ERL telah menandatangani perjanjian perkhidmatan itu dengan SITA baru-baru ini.

Kemudahan baharu itu akan membolehkan penumpang melakukan daftar masuk dan serahan bagasi sendiri dalam tempoh 30 minit di stesen kereta api itu sebelum menuju ke lapangan terbang dengan menggunakan kereta api KLIA Ekspres.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata perkongsian dengan SITA yang dibaharui itu bertujuan memodenkan proses daftar masuk dalam bandar dan menambah baik pengalaman penumpang.

“Memandangkan perjalanan udara semakin pulih, kami kekal komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang cekap dan lancar kepada para penumpang,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Berdasarkan kontrak baharu selama lima tahun itu, SITA akan menyediakan empat kios daftar masuk layan diri dan dua kios serahan bagasi sendiri pada peringkat awal, justeru usaha ini akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat pada masa depan.

Tiga kaunter daftar masuk konvensional yang dikendalikan petugas masih dikekalkan untuk mereka yang memerlukan bantuan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelaburan RM62 Juta Bagi Kembangan Gloria Jean’s Coffees, 1901 Frankfurters

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan syarikat milik penuh Pernas, Malaysia International Franchise Sdn Bhd akan melabur RM62 juta bagi pengembangan Gloria Jean’s Coffees dan 1901 Frankfurters.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata usaha itu bagi menambah 50 cawangan Gloria Jean’s Coffees dan 100 buah cawangan 1901 Frankfurters pada tahun ini sehingga 2029.

Beliau berkata unjuran pulangan jualan (masing-masing) sebanyak RM1.8 juta setahun bagi Gloria Jean’s Coffees dan RM600,000 setahun untuk 1901 Frankfurters dijangka mewujudkan sehingga 900 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

“Ini sekali gus membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan potensi keusahawanan di Malaysia dengan nilai sasaran jualan francais sebanyak RM100 bilion menjelang 2030.

“Saya berharap ini menjadi titik tolak penting dalam mencetuskan minat masyarakat terhadap keusahawanan francais, sekali gus menyumbang ke arah pencapaian aspirasi Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan dan ekonomi negara,” katanya ketika melancarkan premis ‘flagship’ 1901 Frankfurters dan Gloria Jean’s Coffees di Menara Pernas disini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk R Ramanan dan Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin.

 Mengulas selanjutnya, Ewon juga menyifatkan langkah itu dapat memastikan ekosistem keusahawanan francais negara ini terus berkembang secara teratur, selaras dengan Dasar Francais Negara 2030 yang sedang dimuktamadkan.

Dasar itu juga sejajar dengan Kerangka Ekonomi MADANI khususnya dalam industri francais negara.

Malah, katanya, Jemaah Menteri turut bersetuju meletakkan pemusatan tadbir urus dan kawal selia industri berkenaan menerusi Akta Francais 1998 di bawah Kuskop bagi menjadikan ekosistem keusahawanan yang lebih holistik.

— BERNAMA