Guan Eng Saran Pertimbang Semula Cadangan Berkaitan SST

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) — Kerajaan disaran untuk mempertimbangkan dan menangguhkan cadangan berkenaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) buat masa ini berikutan dikhuatiri akan memberi kesan kepada rakyat, kata Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.

“Kalau kita kata logistik, ini akan memberi kesan besar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat berkata kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar SST kepada 8.0 peratus berbanding 6.0 peratus dan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Lim berkata pengenalan cukai baharu di tengah-tengah cabaran ekonomi dan pergolakan geopolitik dunia juga berupaya mempengaruhi pertumbuhan negara, khususnya cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

Pengumuman itu telah menimbulkan kebimbangan bahawa cukai ini akan diperluas kepada semua syarikat di Bursa Malaysia pada masa akan datang, katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama