20 Peratus Hasil Sawit Tidak Dapat Dituai Kerana Kurang Pekerja

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — Sekurang-kurangnya 20 peratus hasil sawit tidak dapat dituai berikutan kekurangan buruh, justeru memerlukan kerajaan memperkenalkan inisiatif tambahan bagi memastikan industri itu kekal mampan.

Pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau berharap perkara itu dapat diatasi dengan segera.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM730 juta untuk sektor perladangan dan komoditi dalam Belanjawan 2024, membolehkan pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi membangunkan industri sawit. 

Selain penambahbaikan, katanya beliau turut berharap cukai yang dikenakan terhadap industri sawit dapat disemak kembali.

“Sektor kelapa sawit menghadapi pelbagai tekanan dengan kadar 24 peratus dikenakan untuk pendapatan bercukai kepada syarikat, cukai luar jangka sebanyak tiga peratus, cukai perkhidmatan (SST) 7.5 peratus bagi Sabah dan 5.0 peratus bagi Sarawak. 

“Kadar ses semasa pula adalah RM16 setiap tan pengeluaran minyak sawit mentah dan Jabatan Imigresen mengenakan RM2,200 seorang untuk lanjutan levi bagi pekerja yang bekerja melebihi 10 tahun,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai tekanan berterusan ke atas pemain industri yang akan menjejaskan prestasi sektor itu yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.