Kerajaan Sedang Bangunkan Pelan Tindakan Baharu Bumiputera – Rafizi

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Kerajaan sedang membangunkan pelan tindakan baharu untuk Bumiputera bagi meneliti semula pendekatan dalam pelaksanaan program membabitkan golongan berkenaan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata sehubungan itu, peruntukan untuk pembangunan Bumiputera menerusi Belanjawan 2024 diletakkan di bawah Kementerian Ekonomi terlebih dahulu berbanding disalurkan terus kepada agensi-agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) atau Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).

“Peruntukan untuk pemerkasaan Bumiputera dan pendidikan di bawah Yayasan Peneraju berjalan seperti biasa, termasuk program pembangunan sebanyak RM300 juta dan program khas peruntukan kepada Bumiputera untuk tahun depan.

“Saya buat keputusan untuk diletakkan di peringkat kementerian terlebih dahulu sementara kita membangunkan pelan tindakan baharu Bumiputera,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Mac lepas, Rafizi dilaporkan berkata keberkesanan Teraju dalam mengendalikan agenda Bumiputera akan diteliti semula berikutan dana yang disediakan kerajaan tidak disalurkan sepenuhnya kepada golongan sasar.

Menurut beliau Teraju masih mempunyai baki dana sebanyak RM800 juta dari tahun-tahun sebelum ini merangkumi peruntukan perbelanjaan pembangunan dan mengurus yang boleh digunakan untuk aktiviti berkaitan Bumiputera pada tahun depan.

“Ya, akan ada program baharu Teraju kerana baki yang diperuntukkan pada tiga, empat tahun lepas (masih ada)… maksudnya program yang dibuat sama ada tidak ada sambutan atau tidak kena, kita perlu tambah baik dan selaras program itu, baru boleh melancarkan program baharu,” tambah beliau.

Teraju yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri berperanan menerajui, menyelaras dan memacu agenda Bumiputera bertujuan meningkatkan penguasaan kumpulan berkenaan dalam ekonomi negara.

Sementara itu, Rafizi berkata pelaksanaan gaji progresif yang dicadangkan adalah bersifat sukarela dengan menggunakan pendekatan “carrot and stick” (ganjaran dan balasan).

Beliau berkata majikan yang menyertai skim gaji progresif dan mula membayar gaji secara progresif mengikut kadar yang ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan sektor dan tahap kemahiran akan menerima insentif tunai tertentu.

“Kebaikan kepada majikan juga ialah kakitangan yang berada dalam skim gaji progresif perlu melalui latihan khusus yang akan meningkatkan kemahiran mereka.

“Manakala “stick” pula kalau mereka tidak masuk (sertai gaji progresif) maka akan hadapi kesukaran mendapatkan bakat,” katanya sambil menambah perincian lanjut akan dibahas melalui pembentangan Kertas Putih Gaji Progresif di Dewan Rakyat pada 30 Nov ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Akta Sewa Beli Baharu Kukuh Hak Pengguna, Pembiayaan Lebih Telus

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bermula bulan ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan ketelusan pasaran pembiayaan serta memodenkan urusan sewa beli menerusi penggunaan teknologi digital.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penguatkuasaan pindaan berkenaan memberi ruang kepada pengguna mengurangkan komitmen pinjaman sekiranya mereka membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman yang diambil.

Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat oleh pengguna sepanjang tempoh pembiayaan.

“Apabila penguatkuasaan ke atas pindaan Akta Sewa Beli bermula, ia akan memberi ruang kepada pengguna untuk mengurangkan komitmen pinjaman mereka jika mereka mengambil keputusan membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman.

“Penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pindaan berkenaan turut membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih memihak kepada kepentingan mereka, namun manfaat itu hanya dapat dimaksimumkan sekiranya pengguna mempunyai kefahaman dan literasi kewangan yang mencukupi.

Katanya, pengguna perlu memahami sepenuhnya perubahan yang diperkenalkan menerusi akta baharu itu supaya mereka dapat menilai pilihan pembiayaan dengan lebih tepat dan berkesan.

Beliau turut menjelaskan, pindaan yang membenarkan penggunaan dokumentasi serta tandatangan digital dalam urusan sewa beli akan memberikan manfaat daripada pelbagai sudut termasuk mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan tahap keselamatan.

“Transaksi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan selamat selain membantu mengurangkan kos transaksi yang ditanggung oleh pengguna dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, pindaan berkenaan dijangka meningkatkan perlindungan kepada pengguna selain mendorong industri menawarkan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan serta kadar pembiayaan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan berkata, pindaan itu tidak semestinya menjamin penjimatan automatik kepada semua peminjam dari segi jumlah ansuran atau kadar pembiayaan yang ditawarkan.

Namun, beliau berkata, perubahan itu mewujudkan struktur pengiraan faedah yang lebih adil kerana ia mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pengguna melalui penggunaan kaedah baki berkurangan atau ‘reducing balance’.

“Di bawah kaedah lama, faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh pembiayaan menyebabkan sebahagian besar bayaran pada tahun-tahun awal digunakan untuk membayar faedah.

“Sebaliknya, di bawah kaedah baki berkurangan, faedah hanya dikenakan ke atas baki prinsipal semasa. Oleh itu, setiap bayaran tambahan yang dibuat akan terus mengurangkan prinsipal dan seterusnya mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Sedek berkata, sebagai contoh, pengguna yang mengambil pembiayaan kenderaan sebanyak RM100,000 bagi tempoh sembilan tahun dan membuat bayaran tambahan RM10,000 selepas lima tahun akan menikmati pengurangan baki prinsipal yang seterusnya mengurangkan caj faedah pada tahun-tahun berikutnya.

Katanya, kesan paling ketara akan dinikmati oleh pengguna yang mengamalkan disiplin kewangan yang baik termasuk membuat penyelesaian awal, bayaran tambahan secara berkala atau memilih tempoh pembiayaan yang lebih pendek.

Beliau menjelaskan, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian oleh pengguna bukanlah kadar faedah yang kelihatan rendah, sebaliknya jumlah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

Katanya, penggunaan kadar faedah efektif (EIR) dan kaedah baki berkurangan membolehkan pengguna melihat gambaran lebih jelas mengenai kos sebenar pembiayaan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewangan sebenar dan bukan sekadar tertumpu kepada jumlah ansuran bulanan.

“Ketelusan yang lebih tinggi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, mengelakkan komitmen hutang yang berlebihan dan menggalakkan amalan peminjaman yang lebih bertanggungjawab.

“Ini bukan sekadar soal formula pengiraan faedah, tetapi membantu rakyat memahami implikasi kewangan sesuatu pinjaman sebelum mereka membuat komitmen yang mungkin berlangsung sehingga tujuh atau sembilan tahun,” katanya.

— Berita Harian