Jualan Bulanan UMW Toyota Pada Oktober Tertinggi Dalam Tempoh Lima Tahun

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — UMW Toyota Motor Malaysia melabuhkan tirai Oktober 2023 dengan mencatat pertumbuhan mampan apabila mencapai jualan sebanyak 10,931 unit, jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun lepas.

Dalam kenyataan hari ini, menurutnya jumlah berkenaan meliputi sebanyak 10,709 unit Toyota dan 222 unit Lexus.

Menurut kenyataan itu, jumlah jualan setakat ini sehingga Oktober 2023 berjumlah 87,422 unit berbanding 80,153 bagi tempoh sama tahun lepas, dengan peningkatan 9.1 peratus tahun ke tahun dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Kemudahan pembuatannya di Bukit Raja dan Shah Alam akan terus dipertingkatkan, yang memaparkan komitmen UMW Toyota Motor untuk menambah baik proses pengeluaran, sekali gus memperkemas operasi dan meningkatkan kapasitinya, katanya.

“Penambahbaikan ini turut menyumbang secara signifikan kepada proses pemasangan tempatan (CKD) yang lebih baik, memperlihatkan usaha berterusan kami terhadap kecemerlangan operasi.

“Selain itu, pengintegrasian teknologi termaju dan amalan mampan di kedua-dua kemudahan, mengesahkan dedikasi kami terhadap kaedah pengeluaran yang bertanggungjawab dan efisien, menetapkan standard baharu dalam industri automotif,” menurut kenyataan itu.

Mengenai potensi segmen kenderaan serba guna (MPV), Toyota Alphard dan Vellfire 2023 menyerlahkan kedudukan sebagai model terkemuka di pasaran MPV, katanya.

Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran Kurusamy berkata kedua-dua model ini adalah lambang inovasi dan kecanggihan dalam landskap automotif yang sentiasa berkembang.

“Mereka menetapkan standard baharu bagi kemewahan dan prestasi dalam segmen MPV, mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan kenderaan istimewa yang melebihi jangkaan,” katanya.

Syarikat itu memperkenalkan pelbagai promosi pada November termasuk pembiayaan 100 peratus bagi model terpilih dan manfaat sehingga RM15,000 disediakan melibatkan pelbagai model Toyota.

Pengeluar kereta ini turut melaksanakan pelbagai inisiatif alam sekitar dan komuniti, antaranya penanaman pokok dan sokongan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian