KWSP Saran Mekanisme Gaji Kehidupan Wajar Tingkat Simpanan Persaraan

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — Malaysia perlu menerap mekanisme ‘gaji kehidupan wajar’ dengan tahap gaji yang bersesuaian bagi membolehkan pekerja membina simpanan persaraan yang mencukupi, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata isu utama yang menyebabkan simpanan persaraan yang tidak mencukupi kerana gaji di negara ini yang tidak meningkat dengan sewajarnya.

“Untuk menangani perkara ini, KWSP sedang berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan mempengaruhi penggubal dasar bagi melaksanakan mekanisme yang lebih dinamik yang boleh meningkatkan gaji dengan berkesan,” katanya pada sidang media seminar dan mesyuarat lembaga pengarah Persatuan Keselamatan Sosial Asean (ASSA) ke-40 hari ini.

Amir Hamzah juga menekankan galakan daripada KWSP kepada ahli untuk mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan simpanan persaraan mereka.

“Kadar caruman (KWSP) adalah memadai untuk sektor formal. Kami mempunyai 11 hingga 13 peratus caruman daripada majikan dan 11 peratus daripada pekerja.

“KWSP juga menawarkan rangkaian produk yang membolehkan ahli menambah simpanan secara sukarela dengan menaikkan kadar caruman atau membuat caruman tambah nilai apabila mereka mempunyai pendapatan tambahan. Tindakan ini boleh mempercepatkan pertumbuhan simpanan mereka,” katanya.

Amir Hamzah berkata KWSP juga perlu mengisytiharkan dividen yang menarik bagi membantu ahli mengumpul simpanan persaraan yang mencukupi.

“Untuk mengisytiharkan dividen (menarik), KWSP mesti memastikan pulangan yang kukuh dan pengurusan dana yang berkesan supaya pulangan itu mencukupi untuk ahli kami mengembangkan simpanan (persaraan) mereka,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

KWSP: FBM KLCI Lebih Luas Kurangkan Penumpuan Sektor Perbankan

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Usaha memperluas komponen indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melebihi 30 syarikat konstituen sedia ada dijangka dapat mengurangkan kebergantungan indeks penanda aras itu terhadap sektor perbankan, kata Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Mohamad Hafiz Kassim.

Beliau berkata langkah itu akan memperluas liputan indeks kepada lebih banyak sektor, sekali gus mempelbagaikan komposisi FBM KLCI dan mengurangkan tumpuan terhadap saham perbankan.

“Terdapat beberapa sesi libat urus mengenai cadangan memperluas definisi FBM KLCI melebihi 30 syarikat konstituen dan perkara ini amat dialu-alukan.

“Langkah ini akan menjadikan indeks lebih pelbagai dengan mengurangkan tumpuan kepada sektor perbankan. Justeru, tekanan terhadap bank untuk terus mencatat prestasi kewangan yang kukuh juga akan berkurangan,” katanya pada sesi pleno bertajuk ‘Ringgit and Financial Market: Perspective on Current Trends’ sempena Simposium Sasana 2026 hari ini.

Mohamad Hafiz berkata saham sektor perbankan kini menyumbang kira-kira 40 peratus daripada wajaran FBM KLCI.

Beliau berkata empat saham perbankan, iaitu Maybank, CIMB Group, Public Bank dan AMMB Holdings, kini berada dalam kelompok 10 syarikat konstituen terbesar dalam indeks berkenaan.

Pada April lalu, FTSE Russell mencadangkan semakan terhadap metodologi indeks bagi meningkatkan perwakilan pasaran dan memperkukuh kepelbagaian sektor, sekali gus memastikan FBM KLCI dan FBM70 terus kekal sebagai penanda aras yang relevan serta berkesan bagi pasaran Malaysia.

Antara cadangan utama ialah memperluas bilangan syarikat konstituen FBM KLCI daripada 30 kepada 50, selain memperkenalkan mekanisme pilihan had wajaran maksimum 10 peratus bagi setiap syarikat untuk mengurangkan risiko penumpuan.

Sekiranya diluluskan, perubahan yang dicadangkan terhadap FBM KLCI dan FBM70 dijangka berkuat kuasa sama ada pada 21 Dis, 2026 atau 21 Jun, 2027, tertakluk kepada hasil proses perundingan pasaran.