Saiz Dana Pelaburan KWSP Cecah RM1.1 Trilion Sehingga 31 Ogos 2023 – Steven Sim

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — Jumlah dana pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebanyak RM1.1 trilion sehingga 31 Ogos, 2023, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim.

Katanya daripada jumlah itu purata pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah 64.9 peratus yang mana 24.4 peratus dalam ekuiti tersenarai domestik. 

Selain KWSP, dana-dana pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) juga merangkumi  Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Bagi tempoh 2019 sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah dana pelaburan PNB adalah RM332 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 84.3 peratus yang mana 74.4 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

“Manakala bagi dana pelaburan KWAP pula, bagi tempoh itu ia berjumlah RM167 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 79.3 peratus yang mana 45.2 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

“Bagi dana pelaburan LTH, sehingga 31 Ogos, 2023, ia berjumlah RM91 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 90.1 peratus yang mana 18.3 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

“Sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah dana pelaburan LTAT adalah RM10.5 bilion dengan keseluruhan dana dilaburkan dalam pasaran domestik yang mana 52 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin mengetahui tentang jumlah pelaburan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan GLIC di Malaysia dan di luar negara dan adakah keseluruhan pelaburan tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menguatkan pasaran ekuiti Malaysia. 

Sim berkata sepanjang tempoh 2019 hingga 31 Ogos, 2023, sebahagian besar atau lebih 60 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam pasaran domestik.

Berdasarkan peruntukan aset strategik, secara purata antara 15.8 peratus hingga 62.7 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam ekuiti tersenarai domestik di Bursa Malaysia.

Selain itu, beliau berkata Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pula selaku pengurus dana kekayaan negara telah membuat pelaburan domestik sebanyak RM9.2 bilion dalam tempoh 2019 sehingga 2022 dan ia bersamaan 32.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang bernilai RM28.3 bilion.

“Dalam hal ini, peranan Khazanah tertumpu untuk mewujudkan nilai tambah melalui ‘active stewardship’ dalam syarikat pelaburannya untuk menyokong dan mengukuhkan nilai pasaran syarikat.

“Di samping itu, tumpuan Khazanah juga adalah kepada aset strategik dan aset pembangunan seperti sektor penerbangan dan pelancongan yang menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19,” katanya. 

Sehingga 31 Dis, 2022, jumlah portfolio pelaburan Khazanah dengan Nilai Aset Boleh Direalisasikan adalah sebanyak RM122.5 bilion dan daripada jumlah berkenaan, nilai pasaran pegangan Khazanah dalam negara adalah berjumlah RM81.2 bilion atau 66.3 peratus. 

Berkenaan GLC, beliau berkata pelaburan syarikat lebih tertumpu kepada perbelanjaan modal domestik bagi mengembangkan syarikat termasuk pembelian aset untuk perniagaan dan operasi syarikat dengan sebahagian besarnya adalah syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd, Malaysian Airport Holdings Bhd dan Telekom Malaysia Bhd yang merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Bhd.

Kementerian Kewangan juga turut menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya GLIC meningkatkan pelaburan dalam negara.

“Kementerian percaya bahawa berdasarkan peruntukan aset strategik masing-masing, GLIC akan kekal komited membuat pelaburan dalam negara termasuk di Bursa Malaysia yang mana, penyertaan GLIC dilihat berupaya memperkukuh pasaran ekuiti tempatan,” katanya. 

Setakat 25 Sept, 2023, saiz pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM1.78 trilion, iaitu peningkatan sebanyak RM42.68 bilion atau kira-kira 2.5 peratus berbanding RM1.74 trilion pada 31 Dis, 2022.

Penyertaan GLIC dalam pasaran ekuiti di Malaysia mewakili 7.7 peratus daripada jumlah purata nilai dagangan harian dengan sektor tumpuan seperti perbankan, industri berkaitan komoditi dan lain-lain.

Berdasarkan data daripada Bursa Malaysia dalam Dokumen Tinjauan Ekonomi 2024 oleh Kementerian Kewangan, prestasi urus niaga pada tahun ini setakat 31 Ogos, 2023 adalah lebih baik berbanding tahun lalu.

Ia khususnya dari segi peningkatan bilangan unit yang diurus niaga iaitu jumlah bilangan unit urus niaga meningkat sebanyak 14.4 peratus daripada 489.4 bilion unit kepada 559.6 bilion unit dan purata urus niaga harian juga meningkat 15.1 peratus daripada 3 bilion unit kepada 3.5 bilion unit.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.