Pengeluaran KWSP Secara Bersasar Atau Terbuka Akan Burukkan Lagi Isu Ketidakcukupan Simpanan Persaraan

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Sebarang pengeluaran pra-persaraan tambahan baharu sama ada secara bersasar atau terbuka akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini telahpun berada pada tahap yang amat membimbangkan, menurut Kementerian Kewangan.

Katanya langkah itu juga bukanlah penyelesaian kepada punca beban kewangan rakyat yang semakin meningkat.

“Setakat 30 Sept 2023, bagi ahli berumur bawah 55 tahun, seramai 6.3 juta ahli atau 48 peratus mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbanding 4.7 juta ahli atau 37 peratus yang dicatatkan pada April 2020 iaitu sebelum pengeluaran khas berkaitan COVID-19 diperkenalkan.

“Dengan simpanan kurang daripada RM10,000, ahli dijangka hanya mempunyai pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan sedang mengkaji tuntutan rakyat yang mengalami kesusahan hidup sekarang yang memohon supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP mereka secara bersasar dan ingin tahu pendirian kerajaan tentang tuntutan pengeluaran KWSP secara bersasar itu.

Menurut Kementerian Kewangan, ekonomi Malaysia kini bukan lagi berada dalam fasa pemulihan, malah nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah melepasi paras prapandemik.

“Aktiviti ekonomi semakin rancak apabila banyak perniagaan telah beroperasi sepenuhnya dan sebahagian besar pekerja telah kembali bekerja untuk menjana pendapatan.

“Hal ini dibuktikan apabila jumlah ahli aktif KWSP juga telah mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu 8.5 juta setakat September 2023, dengan peningkatan sebanyak 910,000 ahli atau 12 peratus berbanding 7.6 juta yang dicatatkan pada September 2021,” katanya. 

Menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam), katanya pada masa ini, kerajaan belum bercadang untuk mengembalikan semula GST.

“Sebarang perubahan polisi berkaitan cukai akan mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

“Sehubungan itu, kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana.” katanya. 

Kalam meminta Menteri Kewangan menyatakan sejauh manakah kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mengambil kira situasi ekonomi semasa dalam pembaharuan fiskal negara serta implikasinya terhadap rakyat.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan berkata antara 2021 dan Jun 2023, Malaysia telah menyumbang sebanyak RM10.93 juta kepada negara-negara yang telah ditimpa musibah.

Jumlah tersebut merangkumi RM1.68 juta bagi tahun 2021, RM3.64 juta bagi tahun 2022 dan RM5.61 juta bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian