Malaysia Perlu Proaktif Dapatkan Manfaat Daripada Projek Jambatan Darat Thailand – Penganalisis

ALOR SETAR, 3 Dis (Bernama) — Malaysia tidak boleh menunggu sehingga rancangan Thailand untuk membina jambatan darat direalisasikan bagi mengambil tindakan atau langkah-langkah yang perlu untuk negara mendapat manfaat daripada projek berkenaan.

Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Shazida Jan Mohd Khan menegaskan impak projek itu khususnya kepada ekonomi negara perlu dinilai dan diperhalusi segera.

“Walaupun projek ini masih lama lagi untuk dilaksanakan, kita (Malaysia) tidak boleh hanya menunggu projek ini siap kerana apabila terbinanya infrastruktur bagi projek ini nanti pastinya akan memberi saingan yang utama kepada sektor perkapalan negara.

“Land brigde ini akan menjadi jalan alternatif yang memberi perkhidmatan yang lebih cepat dan murah daripada segi logistik kepada kapal-kapal yang sebelum ini melalui Selat Melaka,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas berhubung rancangan Thailand itu yang diumumkan Perdana Menterinya Srettha Thavisin baru-baru ini.

Menurut Shazida Jan, salah satu langkah yang boleh dilakukan Malaysia adalah dengan membangunkan sektor perindustrian dan logistik di kawasan wilayah utara Semenanjung khususnya di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Beliau berkata projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dicadang dibangunkan di Kedah mampu menjadi nilai tambah yang dilihat dapat menyokong projek jambatan darat Thailand itu yang akan memberi manfaat kepada Malaysia.

“Kita perlu melihat kedua-dua projek ini (jambatan darat Thailand dan KXP) secara positif dan menilai daripada segi kekuatan dan kekangan yang sedia ada.

“Apa yang pasti perkhidmatan hab kargo akan berkembang selaras dengan keperluan masa kini dan KXP ini mampu memberi sokongan kepada pelabuhan Pulau Pinang mahupun perkhidmatan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang secara positif,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan untuk Indonesia, Thailand dan Singapura di UUM (UUM-ITS) Prof Madya Abdul Rahim Anuar pula berkata Malaysia perlu mengambil bahagian secara langsung dalam pembinaan jambatan darat Thailand itu sekiranya mahu mendapat manfaat daripadanya.

Ia boleh dilakukan menerusi penawaran pelaburan atau kepakaran antara syarikat tempatan dengan syarikat Thailand yang akan terlibat dalam projek itu, katanya.

“Saya melihat projek jambatan darat itu mungkin tidak memberi manfaat kepada Malaysia apabila siap nanti kerana kedudukannya yang agak jauh dari Malaysia, justeru untuk dapat manfaat Malaysia harus terlibat dalam pembinaannya,” kata Abdul Rahim.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah Dr. Haim Hilman Abdullah berkata kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu mengambil inisiatif untuk meneliti projek tersebut.

“Projek ini cabaran kepada kita…ia sangat memberi kesan daripada sudut geopolitik dan kerajaan negeri Kedah serta kerajaan pusat perlu meneliti,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, baru-baru ini.

Pada 27 November lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik selesai mengadakan lawatan sehari ke Sadao, Thailand berkata rancangan negara jiran itu untuk membina projek berkenaan turut akan memberi manfaat kepada Malaysia.

Anwar berkata Perdana Menteri Thailand turut menyuarakan pandangan dan memberi jaminan untuk melibatkan Malaysia dalam projek tersebut.

Sebelum ini, Thailand dilaporkan mengemukakan cadangan untuk membina pelabuhan dan jambatan darat bagi mengurangkan masa perjalanan kapal dengan menghubungkan Teluk Siam dan Laut Andaman.

Srettha dilaporkan memberitahu pelabur di San Francisco, Amerika Syarikat bahawa projek yang dianggar bernilai 1 trilion bath (US$28 bilion) itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.