KWAP Meterai Perjanjian Dengan Operator Penginapan Pekerja Berpangkalan Di Singapura

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merancang untuk mengambilalih dua aset penginapan pekerja Centurion Corporation Limited pada harga RM227 juta. 

Dana pencen sektor awam itu telah memeterai perjanjian jual beli dan pajakan semula dengan pengendali penginapan pekerja berpangkalan di Singapura berkenaan membabitkan pengambilalihan Westlite Bukit Minyak di Pulau Pinang dan Westlite Tampoi di Johor. 

“Apabila perjanjian jual beli selesai, Centurion, melalui anak-anak syarikatnya, akan memeterai perjanjian pajakan dengan KWAP bagi pajakan semula hartanah itu selama 15 tahun,” kata KWAP dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Centurion berkata langkah melepaskan aset itu adalah sebahagian daripada usaha rasionalisasi strategik berterusan kumpulan bagi portfolio asetnya, penggunaan semula modal dan mengembangkan lagi portfolio aset di bawah pengurusannya.

Penjualan dan pajakan semula hartanah itu juga sejajar dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan perniagaan menerusi kaedah mengurangkan modal aset.

Centurion giat mengembangkan kapasiti pembinaan penginapan khusus pekerja (PBWA) sebagai respons kepada peningkatan permintaan terhadap PBWA yang turut dikenali sebagai kuarters pekerja berpusat di negara ini.

Inisiatif strategik itu juga seiringan dengan langkah-langkah pengawalseliaan progresif, termasuk Akta Standard Minuman Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 1946) dan peningkatan kesedaran oleh majikan, pekerja dan pengguna akhir serta kerajaan yang melibatkan keperluan kebajikan tenaga kerja migran.

Sementara itu, kumpulan tersebut juga dalam proses mengembangkan portfolionya di Malaysia, inisiatif peningkatan aset (AEI)  di Westlite Senai yang sedang dijalankan dan dijangka siap dalam suku keempat 2023 yang melibatkan tambahan kira-kira 770 katil.

“Kumpulan ini turut memperoleh kontrak pengurusan baharu PBWA, Westlite Cemerlang, yang membabitkan kira-kira 2,196 katil di Johor yang dijangka beroperasi pada suku keempat 2023.

“Dua AEI lain pula disasarkan untuk Westlite Johor Tech Park dan Westlite Senai II, iaitu tambahan kira-kira 2,720 katil yang dijangka siap secara berperingkat pada 2024 dan 2025,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.