Dasar Pandang Ke Timur Termasuk China Akan Tingkatkan Perdagangan, Pelaburan – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Dasar Pandang Ke Timur Malaysia yang termasuk China akan meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, menjana pertumbuhan ekonomi dan hasil yang lebih tinggi untuk Malaysia, menurut Malaysian Institute of Economic Research (MIER).

Ahli Ekonomi Dr Shankaran Nambiar berkata ini akan merapatkan jurang fiskal Malaysia dan berpotensi menjadikan negara sebagai hab baharu untuk pelaburan di ASEAN.

“Ini adalah isyarat jelas bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu meningkatkan kerjasama ekonomi dengan China tanpa mengorbankan kepentingan negara.

“Selain itu, kita mempunyai sejarah perdagangan sejak beberapa abad yang lepas. Kini dengan China sebagai pemain global, ternyata Anwar mahu memanfaatkan sejarah,” katanya kepada Bernama.

Nambiar berkata syarikat Malaysia perlu memanfaatkan kepakaran China dalam pelbagai bidang dan meneruskan usaha sama, terutamanya dalam Kecerdasan Buatan (AI), robotik, kereta api laju, dron, kenderaan elektrik (EV), bateri elektrik dan penderia kuantum berikutan China adalah peneraju dalam teknologi baharu ini.

Pada 17 Dis 2023, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, memberitahu Asahi Shimbun dalam temu bual di Tokyo bahawa Malaysia, yang telah lama menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai model untuk pembangunan ekonomi, kini turut berminat belajar dari China.

“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita menyebut ‘Pandang ke Timur’, ia adalah Timur (termasuk China),” menurut Anwar yang dipetik sebagai berkata demikian oleh akhbar Jepun itu. 

Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Malaysia dan China boleh mempunyai hubungan yang simbiotik untuk meluaskan capaian pasaran dan pemindahan teknologi, yang akan membantu meningkatkan produktiviti dan daya saing Malaysia.

Beliau berkata idea untuk memasukkan China dalam Dasar Pandang Ke Timur adalah langkah yang bijak berikutan China mempunyai skala ekonomi dari segi saiz pasaran dalam negaranya dan mereka telah membuktikan berkaitan dengan kemahiran teknologi.

“Saya percaya kerjasama pintar antara China dan Malaysia akan mewujudkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk mendapat akses kepada kemajuan teknologi yang mampu meningkatkan daya saing dan produktiviti negara.

“Contohnya ialah bidang teknologi, apabila China telah mencapai kemajuan yang ketara berikutan usaha mereka memperuntukkan sumber yang besar untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata langkah itu juga akan meningkatkan keyakinan perniagaan China untuk melabur di Malaysia dan pada masa yang sama menggalakkan lebih ramai pengunjung dan pelancong dari China ke Malaysia.

Beliau berkata ia adalah langkah tepat untuk memasukkan China dalam dasar itu, yang kali pertama diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed 41 tahun lepas, berdasarkan situasi ekonomi semasa apabila China adalah rakan dagang terbesar Malaysia dan akan kekal sebagai pasaran penting pada masa depan.

“Terdapat banyak bidang yang Malaysia perlu memanfaatkan kepakaran China seperti produk teknologi, agro makanan dan pengekstrakan unsur nadir bumi, teknologi penapisan dan pembuatan,” katanya.

Selain itu, katanya Malaysia perlu memastikan bahawa terdapat akses yang lebih besar dan kemudahan perniagaan antara kedua-dua negara melalui pelbagai koridor untuk perdagangan darat-laut-udara antarabangsa.

Profesor dan dekan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Prof Dr Geoffrey Williams percaya Malaysia akan mendapat manfaat daripada koridor darat-laut untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan dari China.

Beliau berkata China adalah rakan dagang utama Malaysia dengan 14 peratus eksport pada November 2023 berbanding 10.6 peratus untuk Amerika Syarikat manakala ASEAN kekal sebagai terbesar dengan hanya di bawah 30 peratus eksport.

“Malaysia sentiasa bekerjasama dengan China dalam perdagangan dan pelaburan, justeru apa yang Anwar katakan hanyalah untuk menjelaskan apa yang telah berlaku.

“China juga merupakan pelabur yang besar dan rakan usaha sama dengan Geely-Proton yang amat berjaya,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA