Inflasi Malaysia Kekal 1.5 Peratus Pada Disember 2023

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Kadar inflasi keseluruhan Malaysia kekal 1.5 peratus pada Disember 2023 dengan mata indeks berada pada 131.2 mata berbanding 129.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berlaku peningkatan yang perlahan dalam restoran dan hotel, (3.7 peratus; November 2023: 4.3 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.7 peratus; November 2023: 2.3 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (2.3 peratus; November 2023: 2.6 peratus).

“Kumpulan utama lain yang menunjukkan peningkatan adalah kesihatan (2.5 peratus; November 2023: 2.3 peratus) dan pengangkutan (0.3 peratus; November 2023: 0.1 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Inflasi keseluruhan secara tahunan pada 2023 meningkat 2.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2022.

DOSM berkata ini didorong oleh kenaikan 5.6 peratus dalam kumpulan restoran dan hotel (2022: 5.0 peratus); 4.8 peratus dalam makanan dan minuman bukan alkohol, (2022: 5.8 peratus) dan 2.4 peratus dalam pelbagai barangan dan perkhidmatan (2022: 2.0 peratus).

Ia berkata inflasi keseluruhan secara bulanan menunjukkan kenaikan 0.2 peratus (November 2023: 0.0 peratus) dengan beberapa kumpulan terus mencatatkan peningkatan secara bulanan antaranya perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan pada 0.4 peratus, makanan dan minuman bukan alkohol (0.3 peratus) dan pengangkutan (0.3 peratus).

Sementara itu, inflasi teras meningkat lebih perlahan kepada 1.9 peratus pada Disember 2023 (November 2023: 2.0 peratus) dan masih melepasi inflasi keseluruhan Malaysia pada 1.5 peratus.

Ini didorong oleh kumpulan restoran dan hotel serta makanan dan minuman bukan alkohol yang masing-masing mencatatkan peningkatan sederhana 3.7 peratus dan 3.2 peratus pada Disember 2023.

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5 peratus) adalah lebih rendah berbanding Filipina (3.9 peratus), Vietnam (3.6 peratus), Amerika Syarikat (3.4 peratus), Korea Selatan (3.2 peratus), Zon Eropah (2.9 peratus) dan Indonesia (2.6 peratus).

Bagaimanapun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (-0.8 peratus) dan China (-0.3 peratus).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.