Samsung Malaysia Perkenal Siri Galaxy S24 Dipacu Teknologi AI

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) – Samsung Malaysia memperkenalkan Siri Samsung Galaxy S24 yang baharu baru-baru ini, membuka lembaran baharu untuk kategori peranti mudah alih yang dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

Siri Samsung Galaxy S24 dilengkapi dengan Galaxy AI, menawarkan pengalaman AI mudah alih yang komprehensif, dikuasakan oleh AI yang tersedia dalam peranti dibangunkan di Samsung dan AI berasaskan awan, dijayakan melalui kerjasama terbuka dengan rakan industri lain.

“Daripada evolusi telefon mudah alih asas dengan keupayaan terhad kepada telefon pintar, kami kini akan membuka lembaran baharu untuk kategori mudah alih dengan AI, bermula dengan telefon Galaxy AI.

“AI pada amnya terkenal dengan ciri-ciri pembantu pintar, fungsi chatbot dan pengecaman muka,” menurut Samsung Malaysia dalam kenyataan.

Siri Samsung Galaxy S24 disasarkan untuk memenuhi keperluan golongan muda, terutamanya Generasi MZ, termasuk individu yang celik teknologi, peminat permainan mudah alih serta mereka yang meminati fotografi dan media sosial.

Generasi MZ, istilah yang digunakan di Korea Selatan, merujuk kepada golongan milenial (lahir pada awal 1980-an hingga awal 1990-an) dan Generasi Z (lahir pada pertengahan 1990-an hingga awal 2000-an).

Siri Samsung Galaxy S24 yang baharu akan turut menunjukkan kaedah baharu untuk mencipta, bermain dan menyelesaikan tugasan berikutan ia mendedahkan cara yang tidak dijangka apabila kehidupan boleh menjadi lebih mudah, menjadikan segala-galanya dalam kehidupan lebih hebat daripada sebelumnya, menurut kenyataan itu.

“Kami sering percaya bahawa kami melakukan sesuatu dengan cara yang terbaik. Kemudian wujud sesuatu yang menafikan status quo itu, membuatkan kami berkata, ‘Saya tidak percaya saya pernah melakukannya’ dan mempersoalkan bagaimana kita pernah hidup tanpanya,” menurut Samsung, sambil menambah telefon Galaxy AI boleh merakam detik-detik kehidupan yang epik dengan mudah.

Galaxy AI perkenal ciri-ciri baharu yang menarik 

Samsung Malaysia menekankan bahawa Galaxy AI baharu mempunyai ciri-ciri yang lebih menarik, seperti “menterjemah secara langsung”, terjemahan bahasa pada masa nyata melalui panggilan.

Tiada aplikasi pihak ketiga diperlukan dan pengguna boleh menterjemah atau berkomunikasi dengan serta-merta dalam pelbagai bahasa.

Telefon pintar baharu itu turut menampilkan “chat assist”, yang menterjemah mesej yang masuk pada masa nyata dalam pelbagai bahasa.

Ia membolehkan pengguna berbual seperti penduduk tempatan apabila membalas mesej, dengan bantuan gaya dan tatabahasa, menyesuaikan nada dengan situasi dan menulis secara profesional dengan mudah.

Ciri lain termasuklah “note assist”, yang membolehkan penjajaran dan jarak tulisan tangan secara automatik. 

Ia termasuk “auto format” (untuk menstruktur semula nota yang boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja dengan serta-merta) serta ringkasan dan terjemahan (untuk meringkaskan perkara penting daripada nota, untuk pengguna merujuk kembali kepada perkara utama atau menterjemah kepada bahasa lain).

Selain itu, ia turut menampilkan “correct spelling”, apabila AI mencadangkan ejaan atau format tarikh dan masa yang betul dalam nota.

Peminat fotografi akan berpuas hati dengan Siri Samsung Galaxy S24 yang baharu, apabila menampilkan keupayaan “photo assist”.

Ia menawarkan “background fill”, yang melaraskan sudut imej dan menjana latar belakang baharu untuk mengisi mana-mana ruang pada gambar dan “object re-composition”, yang memindahkan, mengeluarkan atau menukar saiz manusia atau objek dalam gambar.

Peranti baharu itu turut menawarkan “edit suggestion”, yang memaklumkan kepada pengguna mengenai perkara yang boleh dilakukan oleh AI pada gambar tertentu dan “instant slow-mo”, ciri yang memperlahankan detik-detik menarik dengan lancar.

Selain itu, pengguna yang meminati sesuatu di media sosial atau web boleh terus mencarinya dengan melukis bulatan di sekelilingnya, tanpa sebarang istilah carian, yang menjadikannya mudah dengan fungsi “circle to search”. 

Ia turut menyediakan soalan susulan dan hasil lanjutan dengan memahami konteks carian anda.

Promosi pratempah untuk Siri Samsung Galaxy S24 adalah mulai 18 Jan hingga 6 Feb 2024, menawarkan naik taraf storan berganda bernilai RM500; e-baucar bernilai RM500; tukar beli sehingga RM650 dan pembelian dengan pembelian untuk peranti boleh pakai dan tablet (sehingga RM800) serta Samsung Care+ dan aksesori (diskaun sehingga 45 peratus).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.