Apa Itu Bitcoin

Pernah dengar kawan-kawan sembang pasal Bitcoin? Tapi tahukah anda apa sebenarnya itu Bitcoin?

Mata Wang Digital Alaf Baru

Bitcoin adalah sebahagian daripada mata wang digital atau cryptocurrency. Ianya merupakan pembaharuan yang dibawa dek arus pembangunan teknologi, yang juga dikenali sebagai disruptive technology.

Dan harus diingat bahawa Bitcoin bukanlah sebuah instrumen pelaburan. Ini kerana ramai orang telah mempunyai anggapan yang salah mengenai Bitcoin.

Bitcoin Adalah Mata Wang, Bukan Untuk Dibeli Dan Disimpan

Seperti yang kita tahu, mata wang digunakan sebagai pertukaran untuk transaksi jual beli. Sebagai contoh, di dalam Malaysia kita menjalankan transaksi menggunakan Ringgit Malaysia untuk membeli dan menjual sesuatu. Tetapi apabila kita hendak mengeksport barang pula, Ringgit perlu ditukar kepada US Dolar bagi menjalankan transaksi luar negara.

Bitcoin bukanlah untuk dibeli ketika harganya rendah dan dijual pada harga tinggi seperti mana-mana medium pelaburan yang lain. Ini kerana nilai Bitcoin tersebut sangat tidak stabil. Terlalu banyak spekulasi di dalam Bitcoin, walaupun ia menggunakan konsep bekalan & perminataan atau supply & demand. Secara lumrahnya, apabila permintaan terhadap sesuatu benda adalah tinggi maka harganya pasti akan naik; dan juga sebaliknya.

Jika hendak melabur, pilihlah pasaran saham, hartanah, amanah saham dan sebagainya yang mempunyai status patuh Syariah.

Bitcoin Sebahagian Daripada FinTech

Kalau kita rujuk kepada Wikipedia, nama Satoshi Nakamoto telah dikatakan mencipta Bitcoin dan itu bukanlah nama beliau yang sebenar.

Paling peliknya Bitcoin hanya wujud di Internet dan tidak bersandarkan sebarang aset fizikal atau wujud di alam yang nyata. Memanglah Bitcoin boleh digunakan sebagai mata wang untuk membeli produk atau untuk membayar perkhidmatan di atas talian, dan juga di kedai-kedai terpilih; tetapi tanpa sebarang Bitcoin fizikal. Tidak seperti wang kertas, emas atau minyak yang wujud di depan mata.

Lebih misteri lagi, tiada siapa yang mengawalnya. (Ada yang kata dari rakyat untuk rakyat)

Ini bermakna sebarang transaksi menggunakan Bitcoin tidak dipantau oleh mana-mana bank atau pihak berautoriti. Senang cerita, sebarang transaksi Bitcoin adalah rahsia tanpa perlu ada rekod siapa pembayar dan siapa penerimanya.

Persoalannya, kenapa Bitcoin perlu banyak rahsia? Kalau ditakdirkan suatu hari nanti tiada lagi Internet, maka Bitcoin pun akan lenyap begitu sahaja.

Teknologi Blockchain: Asas Kepada Bitcoin

Sekarang kita perhalusi pula apa itu Bitcoin. Teknologi blockchain merupakan asas kepada Bitcoin, di mana ianya merupakan rantaian maklumat yang tidak dikendalikan oleh mana-mana pihak ketiga.

Semuanya bermula dengan kunci peribadi atau private key. Kod yang unik ini mengandungi maklumat yang telah disulitkan (encrypted) yang mengandungi setiap Bitcoin dan pemilikannya. Ini membolehkan pemegang Bitcoin untuk menjalankan urusniaga tanpa mendedahkan maklumat peribadi.

Transaksi Bitcoin adalah dibenarkan oleh aplikasi rangkaian dan penyelenggaraan protokol blockchain. Ia hampir sama dengan dengan transaksi yang berlaku di atas talian menggunakan kad kredit dan Paypal, tetapi tiada orang tengah dan berhubung terus di antara pembayar dan penerima Bitcoin itu tadi.

Jadi bahasa mudahnya Bitcoin ni terhasil daripada algoritma matematik!

Perlombongan Bitcoin

Bitcoin mining

Biasa dengar istilah melombong Bitcoin? Ianya sangat teknikal dan hanya sesetengah orang sahaja yang mahu melibatkan diri. Ini kerana ia memerlukan kos yang tinggi, di mana pelombong memerlukan kuasa pemprosesan dan kad grafik yang mahal dengan kuantiti yang banyak untuk melombong Bitcoin. Kos elektrik pun akan melambung oleh kerana ianya memerlukan kuasa yang banyak.

Di kalangan pengguna Bitcoin, terdapat individu dan peniaga yang merekod semua transaksi. Rangkaian ini mengumpul semua transaksi pada sesuatu masa ke dalam senarai, yang dipanggil block.

Kemudian barulah pelombong datang dan mengesahkan transaksi dan memasukkan maklumat tersebut ke dalam sebuah lejar atau buku akaun. Senarai yang panjang terdiri daripada beberapa blok inilah yang dikenali sebagai blockchain.

Pelombong yang membantu dalam proses ini, akan diberi penghargaan dalam bentuk Bitcoin. Sebab itulah ramai yang berlumba-lumba untuk melombong Bitcoin ini, kerana lebih banyak transaksi yang berlaku, lebih banyak pelombong perlu menjalankan kerja, lebih banyak Bitcoin yang mereka akan terima.

Ciri-ciri Bitcoin

Di antara kelebihan Bitcoin adalah:

  • Mudah untuk digunakan, kerana ianya mengambil masa yang sekejap untuk berlakunya transaksi Bitcoin; lebih-lebih lagi transaksi antarabangsa
  • Tanpa nama, kerana anda tidak perlu menggunakan butiran peribadi seperti nama, alamat atau apa-apa yang boleh kaitkan anda sebagai pemilik Bitcoin.
  • Setiap transaksi adalah muktamad, yang mempunyai kelebihan dan juga keburukan. Tidak seperti kad kredit, anda boleh batalkan transaksi dan dapat wang anda semula. Dengan Bitcoin, semuanya adalah muktamad. Memanglah anda tidak boleh reversekan transaksi tersebut, tetapi ia dapat mengurangkan penipuan kad kredit. Dengan Bitcoin, anda akan gunakkan dua kunci, satu kunci awam (public key) dan satu kunci peribadi (private key). Kunci peribadi hanya anda seorang yang tahu, dan hanya dengan menggabungkan kedua-dua kunci tersebut; barulah transaksi akan berlaku. Ianya selamat, selagi mana anda tidak bocorkan maklumat berkenaan kunci peribadi anda.

Berapa Besar Bitcoin?

Kalau diikutkan nilai semasa emas di dunia adalah 200 kali ganda daripada nilai semasa Bitcoin.

Sumber: Business Insider

Jepun baru-baru ini telah mengiktiraf Bitcoin sebagai mata wang yang sah. Lebih daripada 260,000 buah kedai di seluruh negara Jepun kini menerima Bitcoin.

Manakala di Amerika Syarikat pula, terdapat lebih daripada 1,000 mesin ATM yang boleh menggunakan Bitcoin. Niaga hadapan Bitcoin juga bakal diperkenalkan, yang akan meletakkan Bitcoin sebaris dengan emas, minyak mentah dan minyak kelapa sawit.

Bagaimana Bitcoin Disimpan?

Buat masa ini, terdapat 3 cara untuk menyimpan Bitcoin:

  1. Wallet perisian yang terdapat dalam cakera keras komputer anda
  2. Perkhidmatan berasaskan web
  3. Perkhidmatan bilik kebal

Kini ada juga mobile wallet yang membolehkan anda menyimpan dan melakukan transaksi Bitcoin menggunakan telefon bimbit melalui aplikasi. Ia dapat menyimpan kunci peribadi, dan laku sepertimana anda membawa kad debit atau kad kredit.

Kelemahan Bitcoin

Bitcoin sebenarnya mempunyai kelemahan juga, seperti berikut:

1. Belum Diterima Seluruh Dunia

Adalah hampir mustahil untuk membeli Bitcoin menggunakan kad kredit atau PayPal. Ini kerana sifat Bitcoin itu sendiri yang tidak membenarkan chargeback, atau membuat transaksi reverse bagi memulangkan wang kepada pembeli sekiranya berlaku sebarang pertikaian.

Sebagai contoh, kita beli barang menggunakan kad kredit, tetapi barang yang diterima tersebut tidak seperti yang kita inginkan atau kita mungkin terima barang yang rosak; dan mahukan refund.

Kalau guna PayPal dan kebanyakan kad kredit, ada jaminan pemulangan wang sekiranya kita mahu. Tetapi tidak dengan Bitcoin, kerana tiada sebarang rekod yang disimpan; mana mungkin kita boleh dapat balik refund itu tadi.

2. Kelemahan Storan Bitcoin

Bitcoin yang disimpan dalam storan cakera keras anda mungkin menjadi rosak. Kalau anda hilang data dalam hard disk anda, maklumat mengenai Bitcoin anda juga hilang.

Manakala kebanyakan wallet atas talian pula, terdedah kerana protokol keselamatannya. Ada yang menggunakan nama dan kata laluan bagi menyimpan ‘rahsia’ Bitcoin anda, dan kita tahu ianya sangatlah tidak selamat dengan cara ini.

3. Reaksi Kerajaan

Kebanyakan kerajaan seluruh dunia pastinya gentar apabila disebut perihal mata wang digital ini. Ini kerana, Bitcoin berpotensi untuk menggantikan mata wang negara masing-masing, perkara yang sangat ditakuti mana-mana kerajaan.

Sebab yang lain pula, jika menggunakan Bitcoin; tidak dapat pula mengesan pemilik Bitcoin. Amat menyulitkan kerajaan dari segi mengenakan cukai pendapatan, sehinggalah ke aktiviti yang kurang sihat seperti jual beli dadah, senjata api dan juga pelacuran. Jika pengguna dan pengusaha itu tidak dapat dikenalpasti, susah bagi mereka untuk membuat tangkapan dan dakwaan.

Adakah Bitcoin Mempunyai Pesaing?

Sudah pasti, dan menurut kepada Investopedia, terdapat sekurang-kurangnya 6 pesaing terdekat kepada Bitcoin iaitu:

  • Litecoin (LTC)
  • Ethereum (ETH)
  • Zcash (ZEC)
  • Dash
  • Ripple (XRP)
  • Monero (XMR)

Daripada keenam-enam mata wang digital tersebut, Ethereum merupakan di antara pesaing terhebat bagi Bitcoin. Mungkin Bitcoin sekarang sangat popular, tetapi siapa tahu apa akan jadi lagi 5-10 tahun akan datang?

Di Mana Nak Beli Bitcoin?

Buat masa sekarang, Bitcoin boleh dibeli terus daripada pasaran atau tempat penukaran Bitcoin yang khusus. Di antaranya ialah:

  • Coinbase
  • BitQuick
  • Circle
  • Xapo
  • Kraken

Ada juga tukaran yang juga menyediakan wallet bagi menyimpan Bitcoin anda, dan kebiasaannya anda tidak akan dikenakan sebarang yuran transaksi untuk membeli Bitcoin.

Kesimpulan

Diharapkan anda sudah faham serba sedikit tentang apa itu Bitcoin. Walaupun harganya telah naik daripada $1,000 US Dolar pada awal tahun 2017 sehingga lebih daripada $8,000 US Dolar, Bitcoin belum lagi dilihat sebagai instrumen pelaburan.

Ini kerana asas Bitcoin adalah sebagai mata wang digital yang memudahkan transaksi di antara pembeli dan penjual, dan tiada pihak yang akan memantau.

Pencipta Bitcoin tidak diketahui, pemilik Bitcoin tidak dikenali, transaksi jual beli dijalankan secara senyap-senyap, dan tiada siapa yang boleh memantau semua perkara ini.

Sumber rujukan: Investor Junkie

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.