Syarikat Australia Minat Teruskan Pelaburan RM24.5 Bilion Di Malaysia – PM Anwar

MELBOURNE, 6 Mac (Bernama) — Syarikat-syarikat terkemuka Australia berminat untuk melabur dan mengembangkan pelaburan sedia ada berjumlah RM24.5 bilion di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hasrat tersebut telah dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan lebih 20 syarikat Australia di Melbourne pada Selasa.

Perdana Menteri sedang mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke Australia yang memasuki hari kedua hari ini.

Beliau berkata antara syarikat Australia yang akan membawa potensi pelaburan tersebut ialah syarikat pengendali pusat data iaitu AirTrunk sebanyak RM11 bilion dan NextDC kira-kira RM3 bilion.

“Lynas pula berminat untuk meningkatkan pelaburannya di Malaysia manakala syarikat lain yang juga akan membawa potensi pelaburan adalah Fortescue, Macquarie Group dan Arnott’s Group.

“Ini satu kemajuan yang membanggakan serta menunjukkan minat Australia dan keyakinan mereka terhadap dasar yang telah kita umumkan selama ini,” kata beliau pada sidang media bersama media Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata pelaburan tersebut akan memberi peluang kepada kira-kira 1,200 tenaga mahir di Malaysia.

Anwar berkata jumlah potensi pelaburan yang akan memasuki Malaysia juga melebihi jangkaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dari segi perdagangan, beliau berkata potensi jualan eksport Malaysia ke Australia bernilai lebih RM900 juta melibatkan produk seperti urea, kayu, makanan dan komponen elektrik yang dijangka diraih sempena lawatan tersebut.

Beliau berkata usaha kerajaan memberi penjelasan untuk menjawab sebarang kegusaran dan kemusykilan memberi keyakinan kepada pelabur dan ahli perniagaan Australia terhadap prospek Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama