Bank Berjaya Sekat RM383 Juta Urus Niaga Penipuan Pada 2023

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Institusi kewangan di Malaysia berjaya menghalang urus niaga mencurigakan dan penipuan bernilai RM383 juta dari Januari hingga Disember 2023, kata Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM).

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Membanteras Penipuan Kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata pencapaian 15 bank di Malaysia membuktikan komitmen mereka terhadap langkah pencegahan penipuan yang kukuh.

Chong berkata pelaksanaan pelbagai langkah keselamatan, mengetatkan parameter pemantauan penipuan dan kawalan penipuan yang dipertingkatkan terus menghasilkan momentum positif dalam memerangi urus niaga yang mencurigakan dan penipuan.

“Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), terdapat pengurangan 58 peratus urus niaga perbankan dalam talian tanpa kebenaran yang dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh lima bulan,” katanya pada Bengkel Penipuan #JanganKenaScam untuk pengamal media hari ini.

Chong berkata bank-bank telah melaksanakan lima langkah utama yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memerangi penipuan sejak Julai 2023.

Lima langkah utama adalah beralih daripada kata laluan satu kali SMS (OTP), mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank, membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat didaftarkan, pengesahan dan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama e-perkhidmatan perbankan atau peranti selamat dan saluran aduan khusus untuk pelanggan yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu (24/7).

Selain itu, bank juga secara proaktif melaksanakan langkah keselamatan lain seperti mengelak daripada menghantar SMS atau e-mel dengan pautan, menguatkuasakan aplikasi mudah alih untuk hanya beroperasi pada versi sistem pengendalian yang selamat, ‘kill switch’, kaedah pemantauan jenama dan pengesahan keselamatan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), diikuti dengan pelaksanaan tempoh bertenang.

“Dalam usaha kami untuk menangani penipuan kewangan secara holistik pada skala yang lebih luas, bank akan melaksanakan langkah menangani penipuan yang serupa untuk segmen perbankan bukan runcit dalam beberapa bulan akan datang, di bawah bimbingan BNM.

“Kami akan menguatkuasakan pengesahan berbilang faktor (MFA) yang kukuh dan tempoh bertenang untuk sebarang pengaktifan MFA bagi peningkatan had pemindahan pihak ketiga dengan penhantaran pemberitahuan kepada pelanggan yang tepat pada masanya. Turut disediakan adalah talian hotline 24/7,” katanya.

Chong berkata bank juga akan terus menilai cara praktikal lain untuk melindungi pelanggan dengan lebih lanjut seperti mengesan perisian hasad dalam Kit Pakej Android (APK).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.