Malaysia Terbaik Dari Segi Pelaburan Dalam Kalangan Negara Pesat Membangun Asia

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Malaysia disenaraikan sebagai negara yang mempunyai keadaan pelaburan terbaik secara keseluruhan dalam kalangan negara membangun dan sedang pesat membangun (E&D) Asia dalam Indeks Peluang Global (GOI) 2024 oleh badan pemikir ekonomi Amerika Syarikat (AS), Milken Institute.

Di peringkat global, secara keseluruhan, Malaysia berada di kedudukan ke-27, mendahului Thailand (37) dan China (39).

Mengulas mengenai pencapaian itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ia adalah bukti kepada usaha Malaysia dalam mempertingkat kemudahan menjalankan perniagaan dan menangani kekangan utama yang dihadapi oleh pelabur.

“Kami amat gembira dengan pengiktirafan ini yang mencerminkan fokus kami kepada pelaksanaan pelaburan yang diluluskan secara cekap.

“Pengiktirafan ini akan mendorong kami ke arah memberikan perkhidmatan yang lebih baik untuk membantu pelabur menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk mereka ke Asia,” katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas laporan itu.

Menurut laporan itu, E&D Asia mempunyai GOI ketiga terbesar antara negara-negara dalam kalangan rantau E&D.

Katanya empat daripada 10 negara teratas dalam kedudukan E&D Asia mengatasi purata keseluruhan E&D dalam lima kategori GOI.

“Kategori tersebut ialah persepsi perniagaan, asas ekonomi, perkhidmatan kewangan, rangka kerja institusi serta piawaian dan dasar antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Milken Institute berkata Malaysia, negara yang mempunyai keadaan pelaburan terbaik di rantau ini menunjukkan prestasi yang ketara mengatasi purata E&D dalam perkhidmatan kewangan dan rangka kerja institusi.

“Prestasi luar biasa Malaysia dalam rangka kerja institusi sebahagiannya disebabkan hak pelabur yang kukuh, berada di kedudukan kelima secara keseluruhan dalam subkategori GOI ini.

“Selain Malaysia, China, ekonomi terbesar di rantau ini, mencatatkan skor yang ketara melebihi purata E&D dalam akses kewangan serta saiz dan keadaan kewangan, kedua-dua subkategori itu termasuk dalam perkhidmatan kewangan,” katanya.

Milken turut mendapati E&D Asia mencatatkan prestasi yang baik dalam perkhidmatan kewangan dengan purata skornya dalam kategori ini hampir dengan E&D Eropah dan mendahului rantau E&D lain.

“Rantau ini termasuk Malaysia yang mempunyai keadaan pelaburan terbaik (berdasarkan skor GOI tertinggi) dalam kalangan semua ekonomi E&D.

“Selain persepsi perniagaan dan perkhidmatan kewangannya yang kukuh, Malaysia berada di kedudukan yang agak tinggi dalam kategori rangka kerja institusi, sebahagiannya disebabkan hak pelabur yang kukuh di negara ini,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA