Rakyat Malaysia Perlu Amal Sikap ‘Malaysia First’, Bantu Kukuhkan Nilai Ringgit – MOF

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Kerajaan menggesa agar semua pihak dapat memainkan peranan bersama dalam membantu mengukuhkan nilai ringgit, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu menjelaskan semua rakyat Malaysia digalakkan mengamalkan sikap Malaysia First dalam amalan harian.

“Ini termasuk membeli barangan domestik, serta melabur dalam pasaran modal domestik. Kempen melancong di dalam negara juga perlu diperkenalkan dan ditingkatkan,” menurutnya pada Isnin.

MOF menjelaskan sedemikian bagi menjawan soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah konkrit yang diambil oleh kepimpinan negara dalam kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan daya tahan dan daya saing nilai mata wang ringgit.

Kementerian itu menekankan bahawa kerajaan memandang serius prestasi nilai ringgit dan komited untuk mempertahankan serta memperkukuh kedudukan ringgit.

Oleh yang demikian, pelbagai langkah konkrit telah dan sedang diambil oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani kejatuhan nilai ringgit, menurut MOF.

Kementerian itu memaklumkan antara langkah yanhg dilaksanakan adalah memastikan pasaran pertukaran asing di dalam negara kekal teratur selain memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport.

Selain itu, kerajaan dan BNM turut mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran dana ke pasaran pertukaran mata wang asing di samping mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat swasta termasuk menggalakkan mereka mengutamakan pelaburan domestik serta menangguhkan pelaburan luar negara baharu, jelasnya.

Sementara itu, menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai usaha kerajaan untuk menangani secara holistik isu kejatuhan ringgit dan kesannya kepada urus niaga import yang menyebabkan kenaikan harga barangan kepada pengguna, MOF menjelaskan kerajaan mengakui impak penyusutan nilai ringgit adalah lebih tinggi terhadap barangan import.

Perkara itu termasuk makanan yang merangkumi daging dan tenusu, ikan dan makanan laut, buah-buahan serta sayur-sayuran, tambahnya.

“Namun, harga komoditi global yang menyederhana sedikit sebanyak membendung sebahagian kesan penurunan nilai ringgit terhadap inflasi,” jelasnya.

MOF memaklumkan bahawa kerajaan juga merancang langkah pelaksanaan pemberian subsidi yang lebih berkesan dan bantuan pendapatan bersasar terutama bagi membantu golongan yang terjejas.

“Ini akan memastikan pengukuhan fiskal dapat dicapai melalui perbelanjaan yang lebih produktif,” menurut MOF.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA