Kerajaan Tiada Rancangan Tambat Ringgit Buat Masa Ini – Menteri Kewangan II

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Kerajaan tidak merancang untuk menambat ringgit pada masa ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata melihat kepada penambatan ringgit yang dibuat sekitar tahun 1998, keadaan ekonomi ketika itu berbeza berbanding sekarang.

Menurutnya dari segi kedudukan ekonomi pada 1998, pasaran saham pada masa itu jatuh sebanyak 76 peratus tetapi sekarang jika dilihat dari awal tahun ini pasaran saham sudah naik sebanyak enam peratus.

Selain itu, pinjaman daripada luar negara pada 1998 adalah pada 16 peratus daripada pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding pinjaman daripada luar negara ketika ini hanya pada dua atau satu peratus.

“Kita lihat dari segi reserve (rizab) negara…rizab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah sekitar AS$114 bilion, ia lebih baik berbanding AS$26 bilion pada 1998.

“Sehubungan itu, tiada keperluan untuk kita react (bertindak balas) dengan tergesa-gesa mengenainya. Memang kerajaan peka terhadap isu ringgit dan akan berusaha untuk menanganinya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang ingin mengetahui adakah kerajaan merancang untuk menambat ringgit bagi mengekang atau menjaga aset negara.

Amir Hamzah berkata penganalisa juga berpendapat bahawa ringgit akan mengukuh pada tahun ini ke tahap yang lebih baik dan diunjurkan meningkat kepada RM4.50.

“Menerusi Kerangka Ekonomi MADANI kita yakin ringgit akan berada pada kedudukan lebih baik pada masa depan,” katanya. 

 — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Jun, Julai Titik Kritikal Malaysia Berdepan Krisis Gangguan Bekalan

KUALA LUMPUR: Krisis gangguan rantaian bekalan global dijangka menjadi lebih ketara menjelang Jun dan Julai ini apabila banyak perniagaan mula kehabisan stok lama bahan mentah, sekali gus memberi tekanan kepada operasi syarikat dan pasaran tempatan.

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, berkata situasi semasa amat tidak selesa kerana walaupun bekalan alternatif boleh diperoleh daripada sumber lain, penghantarannya mungkin tidak tiba tepat pada waktunya bagi menampung permintaan industri.

Beliau berkata, tempoh Jun dan Julai dijangka menjadi titik kritikal yang memperlihatkan kesan sebenar krisis berkenaan apabila syarikat-syarikat mula berdepan kekurangan bahan mentah untuk meneruskan pengeluaran.

“Banyak perniagaan ketika ini masih bergantung kepada stok lama yang sedia ada. Namun menjelang pertengahan tahun, stok itu dijangka habis digunakan sedangkan bekalan baharu masih belum tiba,” katanya menerusi satu temu bual dalam audio siar BFM.

Nurhisham berkata, krisis yang berlaku ketika ini bergerak dalam beberapa gelombang kesan ekonomi yang berbeza dan dijangka semakin dirasai oleh industri tempatan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Katanya, gelombang pertama membabitkan kekurangan bekalan bahan api serta kenaikan harga tenaga yang memberi kesan langsung kepada kos operasi dan logistik syarikat.

Gelombang kedua pula, katanya berlaku apabila industri mula kehabisan bahan asas atau feedstock untuk sektor petrokimia yang menjadi komponen penting kepada pelbagai sektor pembuatan.

Menurutnya, hasil perbincangan dengan banyak syarikat sejak beberapa bulan lalu mendapati kebanyakan syarikat besar hanya mempunyai stok bahan mentah mencukupi untuk sekitar dua bulan bermula pertengahan Mac lalu.

“Selepas tempoh itu syarikat perlu mendapatkan bekalan baharu, namun keadaan rantaian bekalan global yang masih terganggu menyukarkan proses tersebut,” katanya.

Nurhisham turut merujuk kepada tinjauan terbaharu diterbitkan oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pada pertengahan April lalu yang menunjukkan syarikat besar masih berada dalam keadaan stabil, namun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mula berdepan tekanan lebih ketara.

Beliau berkata, sebahagian PKS dilaporkan hanya mempunyai baki bekalan untuk satu hingga dua minggu sahaja, menunjukkan kumpulan perniagaan kecil lebih terdedah kepada gangguan bekalan dan kenaikan kos operasi.

Justeru, katanya kesan ekonomi sebenar akibat kekurangan bekalan dijangka mula dirasai pada Jun ini apabila lebih banyak kilang dan syarikat pengeluaran berdepan risiko menghentikan operasi buat sementara waktu akibat kekurangan bahan mentah.

Menurutnya, keadaan itu juga boleh menyebabkan pengurangan kerja lebih masa, pengurangan syif pekerja serta penurunan produktiviti secara berperingkat.

“Ia bukan sesuatu yang berlaku secara mendadak, tetapi proses perlahan yang akhirnya memberi tekanan kepada pekerjaan, pendapatan pekerja dan pertumbuhan ekonomi keseluruhan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Nurhisham berkata, tempoh pemulihan bekalan minyak global dijangka mengambil masa yang panjang walaupun perang di Asia Barat berakhir dalam masa terdekat.

Beliau berkata, ini kerana sebahagian besar pengeluaran minyak di rantau itu tidak dapat dipulihkan serta-merta kerana operasi medan minyak memerlukan tempoh tertentu sebelum kembali berfungsi sepenuhnya.

Malah, katanya jika perang yang berlaku itu berakhir esok (sebagai contoh), sekitar tiga perempat pengeluaran minyak di Asia Barat masih tidak dapat disalurkan semula ke pasaran sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya, selain operasi pengeluaran minyak, kesesakan trafik perkapalan di Selat Hormuz turut menjadi cabaran besar kepada pemulihan rantaian bekalan tenaga global kerana ribuan kapal yang terkandas di laluan strategik itu memerlukan masa tambahan antara dua hingga tiga bulan untuk disusun semula dan keluar dari kawasan berkenaan.

“Walaupun telaga minyak dibuka semula, pengeluaran tidak boleh terus ditingkatkan secara mendadak kerana tekanan dalam sistem perlu dibina secara perlahan dan terkawal.

“Keseluruhan proses daripada pembukaan semula operasi sehingga bekalan kembali stabil boleh mengambil masa sekitar enam bulan dan itu belum termasuk tempoh penghantaran minyak ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Nurhisham berkata, keadaan itu menunjukkan proses normalisasi bekalan minyak global masih jauh dan tempoh pemulihan sebenar hanya akan bermula selepas konflik benar-benar tamat.

“Pemulihan sebenarnya belum bermula kerana perang masih berlanjutan. Berdasarkan unjuran semasa, bekalan minyak mungkin hanya kembali normal menjelang hujung tahun ini atau mungkin berlanjutan sehingga 2027,” katanya.

— Berita Harian