Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia Mahu Tarik Pelaburan Dari Belanda

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) akan mengadakan lawatan ke Belanda untuk menarik syarikat-syarikat semikonduktor negara itu melabur di Malaysia.

Syarikat-syarikat semikonduktor luar negara yang menampatkan semula kilang mereka menyifatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan kerana setiap daripada mereka sedang bersiap sedia untuk pertumbuhan masa depan, didorong oleh fenomena dalam peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) terhadap cip-cip semikonduktor.

Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata misi ke Belanda itu susulan dialog baru-baru ini di antara persatuan itu dan bakal pelabur Belanda yang berpotensi yang sedang meneroka peluang-peluang perniagaan dalam sektor semikonduktor di rantau Asia Pasifik.

“Kami kini cuba membuat lawatan ke Belanda dan meyakinkan mereka untuk datang ke sini. Ini adalah inisiatif industri semata-mata,” katanya.

“Apabila kita melihat adanya peluang seperti ini, adalah penting untuk bercakap dengan mereka dan memberitahu mereka apa yang kita ada di Malaysia, lebih-lebih lagi memandangkan syarikat itu bernilai tinggi yang akan mengukuhkan ekosistem kita,” katanya kepada Bernama.

Lawatan yang dirancang itu datang ketika firma Belanda Neways, iaitu inovator global bermatlamatkan teknologi kritikal untuk syarikat semikonduktor, ketersambungan dan mobiliti pintar terkemuka, menubuhkan kemudahan pembuatan tercanggih di Klang dengan pengeluaran akan dimulakan pada suku keempat tahun 2024.

Wong juga mendedahkan bahawa banyak syarikat China “akan datang ke sini” untuk mengatasi gangguan dalam pengeluaran dan eksport mereka serta mengelakkan tarif Amerika Syarikat (AS) berikutan perang perdagangan AS-China.

Bagi syarikat-syarikat yang bersedia untuk pertumbuhan masa depan, beliau berkata hasil semikonduktor diunjurkan meningkat kepada US$1 trilion (US$1=RM4.7) menjelang 2030 berbanding US$575 bilion pada masa ini.

“Semua ini dipacu oleh pertumbuhan yang luar biasa dalam penggunaan semikonduktor terhadap setiap aspek kehidupan kita,” katanya.

AI kini menjadi kata kunci baharu yang mana dalam Industri 4.0 dan automasi pintar, ia digunakan dalam komputer yang diterjemahkan kepada permintaan yang lebih besar untuk litar bersepadu (IC) dan cip semikonduktor.

Kini terdapat aplikasi yang meluas untuk pelanggan seperti dalam kereta dan telefon, yang mana ia memerlukan cip semikonduktor yang dipertingkatkan bagi membolehkan pengkomputeran awan dan perkongsian data.

“Setiap kali anda kehabisan memori, anda beralih ke pengkomputeran awan dan ini mendorong penggunaan semikonduktor,” katanya.

Syarikat-syarikat AS akan keluar dari China dan ingin berpindah manakala syarikat China tidak dapat mengeksport ke AS kerana Washington menggunakan frasa “keselamatan negara”, dan mereka juga mahu berpindah ke luar negara untuk mengelakkan tarif Amerika.

Malaysia katanya harus memanfaatkan perkara itu dan ini adalah masa yang sesuai berikutan ketegangan geopolitik di antara AS dan China.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA