Kementerian Kewangan Perincikan Skop Pengecualian Cukai Perkhidmatan Dalam Sektor Logistik

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) — Kementerian Kewangan (MoF) telah memperincikan skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik untuk membantu mengurangkan kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat serta insiden cukai berganda.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pengecualian cukai bagi sektor logistik dan penyenggaraan itu akan juga membantu memastikan sektor perkhidmatan negara terus berdaya saing. 

“Bagi terus memelihara daya saing negara, kerajaan juga tidak akan mengenakan cukai perkhidmatan di kawasan zon bebas cukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk mengurangkan lagi impak kepada operasi harian aktiviti logistik, dan secara tidak langsung kepada pengguna, kerajaan bersetuju pemindaan dibuat kepada Kumpulan J: Perkhidmatan Logistik dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018.

“Butiran 1(a) berkenaan perkhidmatan logistik dan Butiran 1(b) berkenaan perkhidmatan penghantaran atau pengedaran atau pengangkutan barang digabungkan sebagai satu butiran.

“Melalui penggabungan ini, skop kemudahan pengecualian antara perniagaan (B2B) telah diluaskan iaitu penyedia perkhidmatan logistik yang berada dalam Butiran 1(a) kini layak mendapat pengecualian yang lebih luas dengan tidak lagi perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan perkhidmatan penghantaran atau pengedaran atau pengangkutan barang yang sebelum ini berada di bawah Butiran 1(b),” katanya.

Sebelum ini, penyedia perkhidmatan logistik yang berada dalam Butiran 1(a) hanya layak mendapat pengecualian cukai ke atas perolehan perkhidmatan yang berada dalam Butiran 1(a) yang sama.

Kementerian Kewangan berkata semua perkhidmatan di bawah Kumpulan J: Perkhidmatan logistik yang dibekalkan di dalam dan antara kawasan khas/kawasan ditetapkan atau di antara kawasan khas dengan kawasan ditetapkan atau sebaliknya tidak tertakluk kepada pengenaan cukai perkhidmatan kecuali perkhidmatan Ejen Kastam yang kekal dikenakan cukai tersebut

“Zon Perdagangan dan Perindustrian Bebas seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Barat di Selangor serta Pelabuhan Pasir Gudang di Johor akan memperoleh manfaat daripada pengecualian ini. katanya.

Kerajaan juga menyediakan pengecualian ke atas caj perkhidmatan penghantaran laut bagi semua barang yang dihantar menggunakan mod pengangkutan laut, terhad kepada penghantaran dari Semenanjung Malaysia ke Sabah/Sarawak/Labuan;  Sabah/Sarawak/Labuan ke Semenanjung Malaysia; dan antara Sabah, Sarawak dan Labuan.

Penambahbaikan ini susulan daripada peluasan skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik yang diumumkan pada 11 Mac, 2024.

Selain itu, Kementerian Kewangan berkata pengecualian daripada membayar cukai perkhidmatan juga diberikan kepada perkhidmatan penyenggaraan yang berkaitan dengan perkhidmatan pembaikan bangunan rumah kediaman, kumpulan wang pelepas (sinking fund) dan perkhidmatan penyenggaraan berkaitan tanah atau bangunan bagi kegunaan kediaman yang disediakan oleh pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau persatuan kediaman.

“Ini bermaksud apa-apa perkhidmatan penyenggaraan dan pembaikan di premis kediaman seperti pembaikan bumbung rumah atau apa-apa peralatan dan kelengkapan yang menjadi sebahagian daripada premis kediaman seperti lif, penyaman udara serta sistem pemanas air tidak dikenakan cukai perkhidmatan,” katanya.

Kementerian itu menegaskan kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada 6 peratus ke 8 peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac, 2024, lebih menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan yang tidak melibatkan rakyat secara langsung.

Kenaikan tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi serta parkir kenderaan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Transaksi ‘Beli Dulu, Bayar Kemudian’ (BNPL) Naik Ketara Kepada RM7.1 Bilion – Amir Hamzah


KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Jumlah transaksi skim pengguna ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata setakat Disember 2024, sebanyak 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif, majoritinya golongan berusia 21-45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan manakala 12 syarikat menawarkan perkhidmatan itu pada masa ini.

Beliau berkata kadar penggunaan BNPL di Malaysia yang kian meningkat juga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal.

“Setakat Disember 2024, pinjaman BNPL berjumlah RM2.8 bilion yang hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.

“Kadar jumlah BNPL yang tertunggak juga terkawal pada RM82.6 juta iaitu 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kredit BNPL,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai usaha mengawal aktiviti agensi pemberi kredit seperti perkhidmatan BNPL.

Amir Hamzah menegaskan Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna di Dewan Rakyat pada 4 Mac, 2024, yang menjadi antara usaha kerajaan meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.

Beliau menjelaskan RUU Kredit Pengguna itu menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank.

“Di bawah Akta Kredit Pengguna kelak, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti ditetapkan, termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit secara adil dan memberi peringatan kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.

“Sekiranya RUU ini diluluskan, ia akan ditadbir oleh satu badan berkuasa berwibawa baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Kementerian Kewangan,” katanya.

— BERNAMA