DNB Nafi Dakwaan Bertindak Tidak Telus Dalam Menjalankan Operasi Dalaman

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) — Digital Nasional Bhd (DNB) dengan tegas menafikan dakwaan bertindak tidak telus dalam menjalankan operasi dalaman serta menolak sebarang gambaran negatif terhadap amalan tadbir urus dan perolehannya.

Dalam kenyataan pada Sabtu, DNB menekankan bahawa proses tender dan perolehan pihaknya adalah mengikut struktur piawaian tadbir urus dan amalan terbaik yang paling ketat.

DNB menyatakan demikian bagi menjelaskan beberapa dakwaan mengelirukan yang dibuat oleh Channel News Asia (CNA) dalam sebuah artikel bertajuk ‘Malaysia’s billion-dollar 5G roll-out stumbles as deal breaks down between powerful telcos, state-owned operator’ yang diterbitkan pada 19 April dan kemudiannya dilaporkan oleh beberapa media lain.

Menurut DNB artikel tersebut mendakwa DNB tidak telus dalam menjalankan operasi dalamannya, berkaitan dengan pemberian kontrak kepada vendor pihak ketiga, khususnya untuk peralatan rangkaian 5G Ericsson, serta perolehan perisian dan ‘platform perkhidmatan awan yang berpotensi menguntungkan’.

“DNB sentiasa terbuka dan telus dalam pemberian tender dan kontrak, dan perkara ini telah beberapa kali disebut secara terperinci di Parlimen dan dilaporkan di media. DNB juga telah berulang kali menyangkal dakwaan yang sama,” tegasnya.

DNB ialah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan pada 2021 di bawah Kementerian Kewangan dan kini sebagai pemilik tunggal rangkaian spektrum 5G, malah akan beroperasi tidak lama lagi bersama rangkaian kedua yang masih belum dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, DNB memaklumkan bahawa pemberian kontrak peralatan rangkaian 5G melibatkan proses penilaian yang ketat, dengan Ericsson memperoleh skor tertinggi dalam semua prasyarat yang dikenakan.

“Proses tender yang berlangsung itu telah distrukturkan oleh firma perkhidmatan profesional global yang bebas, selain melibatkan kira-kira 50 pakar tempatan dan antarabangsa dari 10 negara yang berpengalaman dalam pelaksanaan rangkaian 5G.

“Proses ini juga telah disemak semula oleh pelbagai pihak, termasuk semasa kajian semula dasar rangkaian 5G oleh Jemaah Menteri pada 2022 dan 2023,” tambahnya.

Menurut DNB proses berkaitan Perjanjian Langganan Saham (SSA) yang ditandatangani dengan lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) pula masih berterusan sehingga kini.

“Kami dengan tegas menafikan dakwaan yang dibuat sebaliknya tetapi tidak dapat memberi komen spesifik berkenaan syarat-syarat tertentu atas sebab kerahsiaan,” tegasnya.

Memandangkan kedudukan DNB sebagai syarikat awam yang berkhidmat untuk kepentingan umum, sebarang laporan yang diterbitkan seharusnya disahkan dan berdasarkan maklumat yang tepat, jelasnya.

DNB menekankan bahawa pihaknya kekal fokus dalam terus melaksanakan sebuah rangkaian 5G terbaik dan paling dipercayai di dunia dengan kadar dipercepatkan dan pada kos yang ditetapkan.

Pihaknya juga akan meneruskan usaha untuk meningkatkan penggunaan 5G dalam kalangan industri, perusahaan dan masyarakat awam, sekali gus membantu mempercepat transformasi digital negara, tambah DNB.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.