Khazanah, KWAP & Blue Chip VC Labur Sehingga RM3 Bilion Dalam Ekosistem Asia Tenggara, Malaysia – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) — Pelaburan sehingga RM3 bilion akan dibuat oleh dana kekayaan negara Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Blue Chip Venture Capital (BCVC).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan itu akan dibuat dalam ekosistem Asia Tenggara dan Malaysia di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN.

Bercakap pada pelancaran Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini hari ini, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan Khazanah Nasional akan melancarkan “National Fund of Funds” dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia dengan pertumbuhan tinggi dan inovatif. 

Beliau berkata ini susulan pengumuman Belanjawan Malaysia MADANI 2024 pada tahun lepas yang menggariskan komitmen kerajaan terhadap syarikat Malaysia, daripada usahawan bumiputera hingga syarikat pemula niaga, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat-syarikat baharu yang berpotensi untuk berjaya. 

“Kerajaan turut menyasarkan untuk memusatkan agensi pelaburan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) dan Penjana Kapital di bawah Khazanah Nasional,” kata beliau.

BCVC adalah dana khusus yang bertujuan untuk meningkatkan teknologi dan nilai dalam industri semikonduktor.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian