Perbelanjaan Isi Rumah Dijangka Naik 5.0 Peratus Sepanjang 2024 — BMI

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) — BMI, sebuah firma penyelidikan di bawah Fitch Solutions menjangkakan perbelanjaan isi rumah Malaysia akan naik 5.0 peratus dari tahun ke tahun sepanjang 2024 kepada RM903.8 bilion apabila pertumbuhan ekonomi berterusan dan tahap penggunaan menjadi normal.

BMI melalui satu nota penyelidikan berkata ia mempunyai pandangan yang berhati-hati tetapi positif bagi perbelanjaan pengguna di Malaysia sepanjang 2024 memandangkan pemulihan ekonomi akan diterjemahkan kepada pertumbuhan perbelanjaan pengguna sebenar yang kukuh sepanjang tahun penuh.

“Perbelanjaan isi rumah sepanjang 2024 akan menandakan pemulihan ke tahap pertumbuhan pra-Covid (perbelanjaan isi rumah meningkat pada kadar purata sebenar 5.2 peratus dari tahun ke tahun dalam tempoh 2015-2019). Perbelanjaan akan dikekang oleh persekitaran paras hutang yang tinggi dan kos perkhidmatannya.

“Bagaimanapun, pengurangan inflasi serta pasaran buruh yang ketat akan menyokong perbelanjaan, kerana pertumbuhan gaji sebenar mula kembali ke wilayah positif, seterusnya, menyokong kuasa beli sepanjang tahun,” katanya.

Unjurannya untuk pertumbuhan dari tahun ke tahun dalam perbelanjaan pengguna di Malaysia sepanjang 2024 adalah sejajar dengan ramalan pasukan Risiko Negara firma itu yang mendapati bahawa ekonomi akan berkembang pada kadar sebenar 4.4 peratus dari tahun ke tahun sepanjang tahun.

Malaysia akan tetap mencatatkan pertumbuhan yang mantap berbanding pasaran lain selepas didorong oleh pemulihan dalam sektor pelancongan, terutamanya selepas China dibuka semula untuk perjalanan.

Sementara itu, BMI berkata keyakinan pengguna sebahagian besarnya telah merosot, mencerminkan pemikiran pengguna yang semakin lemah susulan tekanan inflasi dalam komoditi tertentu seperti makanan, bahan api termasuk kesan ke atas isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

“Bagaimanapun, data keyakinan pengguna pada suku keempat 2023 yang berpurata 89.4 telah menokok daripada 78.9 pada suku ketiga 2023,” katanya.

BMI ketika mengulas mengenai ringgit menjangkakan ia akan kekal stabil berbanding dolar US pada paras 4.60 daripada 2023 hingga 2024. 

“Malaysia amat bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan tempatan dan kestabilan kadar pertukaran bermakna walaupun ia tidak akan mendapat manfaat daripada import yang lebih murah, pertumbuhan perbelanjaan pengguna tidak akan dihalang oleh kadar pertukaran yang semakin rendah.

“Kami percaya bahawa latar belakang ini akan menyebabkan perbelanjaan pengguna sepanjang 2024 kekal stabil,” katanya. 

Inflasi di Malaysia masih terkawal, memuncak pada 4.7 peratus dari tahun ke tahun menjelang Ogos 2022 dan data terkini bagi Februari 2024 menunjukkan inflasi berada pada 1.8 peratus dari tahun ke tahun.

“‘Pasukan Risiko Negara kami menjangkakan inflasi akan kekal pada tahap ini, dengan purata 2.0 peratus berbanding 2024. Risikonya ialah apabila inflasi melonjak dan kekal tinggi pada tahap tersebut lebih lama daripada yang dijangkakan, ini akan mempercepatkan penghakisan kuasa beli isi rumah,” katanya lagi.

— BERNAMA 

TAG: BMI, Perbelanjaan Isi Rumah, Inflasi

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.