Lonjakan Harga Koko Global Jejaskan Rantaian Bekalan Syarikat Coklat Tempatan


KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) — Lonjakan harga koko global baru-baru ini, yang disebabkan kekurangan bekalan telah menjejaskan seluruh rantaian bekalan syarikat coklat tempatan.

Syarikat-syarikat kecil dilihat berhati-hati dalam perancangan mereka, dan situasi turut diburukkan dengan musim hujan lebat serta penyakit yang melanda tanaman koko di negara pengeluar utama koko seperti Ghana dan Ivory Coast.

Kalangan pakar percaya turun naik harga dan manipulasi dalam pasaran akan menyebabkan kebimbangan masa depan industri koko, dan cabaran lain yang mungkin timbul seperti penurunan kadar kemampuan, tekanan kos kepada pengeluar, kesan terhadap peladang, gangguan rantaian bekalan serta kualiti dan kebimbangan terhadap isu kemampanan.

Dilaporkan bahawa bekalan koko global dijangka menyusut kira-kira 11 peratus bagi tempoh 2023-2024, berdasarkan penemuan Pertubuhan Koko Antarabangsa.

Pada 19 April, 2024, harga komoditi untuk menghasilkan coklat itu melonjak empat kali kepada US$12,218 satu tan daripada US$3,515.2 satu tan (US$1=RM4.737) pada 2 Jan, 2024, menurut tradingeconomics.com.

Bagaimanapun, harga pasaran menyusut kepada US$7,878.8 satu tan pada 3 Mei, 2024.

MALAYSIA: ERA KEGEMILANGAN

Pada tahun 1980-an, Malaysia merupakan antara pengeluar koko terkemuka dunia. Bagaimanapun, pada masa ini, negara ini bergantung hampir 98 peratus kepada import koko untuk kegunaan berikutan Afrika Barat telah menguasai pasaran koko untuk tempoh yang lama.

Selain itu, negara lain di Asia Tenggara seperti Indonesia kini mengatasi Malaysia dengan menjadi pengeluar utama koko yang baharu, diikuti Vietnam.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani baru-baru ini berkata sektor koko di negara ini masih belum mencapai tahap ‘self-sustained’ yang baik, dengan pengeluaran biji koko di negara ini jatuh dengan begitu ketara.

“Satu ketika dahulu pengeluaran biji koko Malaysia pernah mencapai sebanyak 225,000 tan berbanding sekarang hanya sekitar 500 tan.

“Pengeluaran biji koko Malaysia yang dilihat semakin rendah ini telah menyebabkan banyak permintaan industri yang menghasilkan produk koko, kini terpaksa mengimport biji koko dari luar negara,” katanya.

Menurut pengasas kilang Coklat Benns Ethicoa Wilfred Ng Chee Wai, sejak 40 tahun lepas, biji koko merupakan salah satu komoditi yang paling rendah nilainya.

“Afrika Barat menghasilkan sehingga 70 peratus koko, tetapi peladang mereka menerima upah yang rendah, yang menjadi penyumbang utama kepada kemiskinan, perhambaan, dan buruh kanak-kanak.

“Ramai peladang terpaksa mencari tanaman alternatif untuk menampung kehidupan, mengakibatkan penurunan bekalan koko sejak beberapa dekad. Bagaimanapun, paras harga yang tinggi sekarang ini membawa kegembiraan kepada mereka, apabila akhirnya koko dijual  pada harga yang lebih berpatutan dan menjana keuntungan yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

MANFAAT KEPADA PEKEBUN KECIL, PELADANG 

Menurut Ng pendapatan baharu ini bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup tetapi turut membolehkan mereka mempelajari teknik pertanian yang lebih baik bagi meningkatkan pengeluaran dan kualiti tanaman dalam jangka panjang. 

“Sudah tiba masanya petani diberi upah yang setimpal atas kerja keras dan dedikasi mereka terhadap industri koko,” katanya.

Sementara itu, ahli ekonomi Dr Geoffrey Williams berkata koko yang dihasilkan pekebun kecil mungkin mendapat harga yang lebih baik dalam jangka pendek, tetapi kos yang lebih tinggi ini akhirnya akan dikenakan kepada pengguna.

“Keadaan ini mungkin mampu merangsang pengeluaran tambahan, tetapi hanya jika keadaan sebegini dapat bertahan lama, ini kerana anda tidak boleh menanam dan menuai koko semalaman sahaja.

“Jadi, untuk jangka pendek, akan berlaku pengambilan untung dengan mengorbankan pelanggan dan pekebun kecil,” katanya kepada Bernama.

Menurut William lonjakan harga koko ketika ini ekoran keadaan cuaca namun terdapat isu struktur yang berlarutan dalam pengeluaran koko.

“Kebanyakan penanam, sekitar 90 peratus, terdiri daripada pekebun kecil yang mempunyai kuasa pasaran yang terhad. Mereka terpaksa menerima harga rendah yang ditentukan oleh syarikat-syarikat besar dan mendapat kurang daripada 10 peratus daripada harga akhir.

“Disebabkan keadaan ini, pendapatan mereka kekal rendah dan tidak mampu untuk melabur dalam produktiviti yang lebih baik atau kadar pengeluaran yang lebih tinggi,” katanya, sambil menambah, situasi ini mengehadkan bekalan, dengan kadar 60 hingga 70 peratus koko dikeluarkan oleh Afrika Barat.

“Semua ini adalah disebabkan oleh pasaran yang tidak berfungsi dan pembelian yang tidak adil dilakukan syarikat-syarikat besar. Ini perlu diubah jika kita mahukan harga yang lebih baik,” katanya.

KESAN RANTAIAN BEKALAN

Mengulas lanjut berkaitan kesan lonjakan harga kepada pengeluar coklat, Ng berpandangan jika keadaan ini berterusan, pengeluar akan berhadapan cabaran seperti peningkatan kos pengeluaran, tekanan untuk menaikkan harga, penurunan permintaan pengguna disebabkan harga coklat semakin mahal dan tekanan terhadap rantaian bekalan disebabkan harga yang turun naik. 

“Untuk kekal berdaya saing dan relevan, pengeluar coklat perlu menggunakan pelbagai strategi. Malah ada yang mempertimbangkan bahan alternatif untuk menggantikan koko, namun ia berpotensi menjejaskan kualiti produk mereka,” katanya.

Ng juga berkata kenaikan harga biji koko, bahan utama pembuatan coklat, secara langsung memberi kesan kepada kos bahan mentah coklat, menyebabkan pengilang memerlukan peningkatan aliran tunai untuk mendapatkan sumber penting ini.

“Oleh itu, jika harga coklat perlu meningkat, pengguna terpaksa membayar lebih untuk hidangan kegemaran mereka. Peralihan ini akhirnya boleh memperlahankan permintaan, dan paras harga semasa telah memberi tekanan besar kepada keseluruhan rantaian bekalan,” tambahnya.

Ng berkata syarikat pengeluar coklat mungkin mengambil pendekatan utama dengan mengurangkan kos di tengah-tengah kenaikan harga koko.

“Sesetengahnya mungkin memilih untuk mengecilkan atau mempelbagaikan perniagaan bagi mengurangkan kesannya. Di Benns Ethicoa, kami menyedari kepentingan pengurusan kos, tetapi kami juga percaya kepada penciptaan berterusan nilai produk dan tawaran yang unik untuk mewajarkan harga yang lebih tinggi dan merangsang permintaan.

“Sekadar menaikkan harga produk sedia ada boleh menyebabkan permintaan berkurangan. Oleh itu, kami komited untuk memacu penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan penglibatan pengguna, dan memperkaya pengalaman coklat secara keseluruhan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Krisis Asia Barat ancam daya tahan, infrastruktur digital Malaysia

KUALA LUMPUR: Krisis Asia Barat bukan sekadar mengganggu bekalan minyak dan rantaian perdagangan global, malah turut mengancam daya tahan serta infrastruktur digital Malaysia yang semakin menjadi nadi kepada operasi sektor kritikal negara.

Di sebalik kebimbangan terhadap bekalan tenaga dan kenaikan kos, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berpandangan, konflik membabitkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran itu turut mendedahkan risiko yang lebih besar, iaitu kebergantungan Malaysia terhadap infrastruktur digital global yang berpotensi terjejas akibat peperangan fizikal mahupun serangan siber.

Menurut KRI, ancaman itu bukan lagi bersifat hipotesis apabila beberapa pusat data di Asia Barat dilaporkan menjadi sasaran serangan, sekali gus menyebabkan gangguan kepada syarikat di Asia Tenggara yang menggunakan kemudahan berkenaan walaupun berada jauh dari kawasan konflik.

Laporan yang disediakan penyelidik KRI, iaitu Jun-E Tan dan Bor Neng Quan itu menegaskan Malaysia kini semakin bergantung kepada teknologi digital, dengan kadar penembusan internet mencecah 98.3 peratus, manakala penembusan telefon mudah alih mencapai 99.6 peratus berdasarkan Tinjauan ICT Isi Rumah 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurutnya, digitalisasi turut berkembang pesat merentasi sektor yang dikenal pasti sebagai Infrastruktur Maklumat Kritikal Nasional (NCII) termasuk perkhidmatan kerajaan, pertahanan, perbankan dan kewangan, pengangkutan, tenaga serta penjagaan kesihatan yang menyediakan perkhidmatan penting kepada rakyat dan negara.

Bagaimanapun, ia berkata, peningkatan penggunaan teknologi digital turut meningkatkan kebergantungan terhadap infrastruktur yang sebahagiannya berada di luar bidang kuasa Malaysia, sekali gus menjadikan sektor kritikal lebih terdedah kepada kejutan dan gangguan rentas sempadan.

“Malaysia bergantung kepada kabel dasar laut antarabangsa bagi menghubungkan sistem negara dengan internet global, dengan kira-kira 99 peratus trafik internet antarabangsa disalurkan menerusi rangkaian kabel berkenaan.

“Lebih membimbangkan, lima daripada 29 kabel dasar laut yang digunakan Malaysia melalui koridor Laut Merah dan Selat Hormuz, iaitu laluan yang berkait rapat dengan konflik Iran ketika ini dan dikenal pasti sebagai titik kelemahan strategik,” katanya.

Menurut laporan KRI itu lagi, insiden kerosakan kabel dasar laut sebelum ini membuktikan gangguan sedemikian boleh menyebabkan kelewatan capaian internet dan proses penghalaan semula yang lebih panjang di Malaysia, walaupun tidak sehingga mengakibatkan gangguan internet di seluruh negara.

Malaysia juga mencatat skor 71 daripada 100 dalam ‘Internet Resilience Index’, lebih tinggi daripada purata global 53, namun memperoleh skor hanya 44 daripada 100 bagi aspek penyetempatan trafik internet, menunjukkan sebahagian besar trafik tempatan masih perlu melalui infrastruktur dan pusat data di luar negara sebelum kembali ke Malaysia.

Selain ancaman fizikal terhadap kabel dasar laut, KRI turut memberi amaran bahawa peperangan moden semakin menyaksikan peningkatan penggunaan serangan siber dan aktiviti penggodaman, dengan kecerdasan buatan (AI) menjadikan halangan untuk melancarkan serangan semakin rendah.

Dalam konteks itu, sektor kewangan Malaysia disifatkan sebagai antara sektor yang paling maju dari segi pendigitalan dan boleh dijadikan contoh dalam membina daya tahan digital berikutan penggunaan meluas pembayaran elektronik serta perbankan digital.

Pada 2025, setiap rakyat Malaysia secara purata melakukan 538 transaksi pembayaran elektronik atau meningkat 25 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala jumlah pengguna aktif perbankan mudah alih mencecah 25 juta, meningkat 8.7 peratus berbanding 2024.

Laporan itu menjelaskan, sektor kewangan bergantung kepada sistem digital yang saling berhubung merangkumi rangkaian pembayaran, infrastruktur penjelasan dan penyelesaian, perkhidmatan telekomunikasi, ekosistem awan, teknologi kewangan serta platform berasaskan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API), sekali gus memerlukan pengurusan risiko teknologi yang menyeluruh.

Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi penekanan kepada aspek daya tahan operasi menerusi dokumen dasar Business Continuity Management (BCM), Risk Management in Technology (RMiT) serta kertas perbincangan Operational Resilience yang menggariskan keperluan wajib bagi memastikan kesinambungan operasi dan pengurusan risiko institusi kewangan.

Menurut KRI, pengalaman sektor kewangan menunjukkan kepentingan mengenal pasti fungsi kritikal, mengelakkan kebergantungan kepada satu penyedia, menyediakan mekanisme sandaran, melaksanakan ujian berkala serta memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia sebagai langkah memperkukuh daya tahan digital ketika berdepan gangguan dan krisis.

— Berita Harian